kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Seimbangkan prestasi pelajar lelaki, perempuan

Permasalahan membabitkan pendidikan amat dititikberatkan oleh ahli masyarakat di negara ini, termasuk ibu bapa. Dalam hal ini, suatu isu yang sering menghantui mereka ialah mengenai kegagalan anak dalam pembelajaran di sekolah.

Kegagalan dalam pelajaran ini dirasakan secara mendalam kerana dikhuatiri masa depan anak mereka turut terjejas. Bagaimanapun, suatu fenomena yang amat merisaukan sekarang ialah wujudnya kecenderungan berjaya dalam pelajaran yang didominasikan oleh kalangan pelajar perempuan berbanding lelaki.

Di sekolah, pelajar perempuan sering diletakkan dalam kelas terbaik. Pelajar perempuan juga menunjukkan pencapaian cemerlang yang lebih menyeluruh dan konsisten dalam kebanyakan peperiksaan awam di negara kita.

Malah, amat membimbangkan apabila bilangan pelajar lelaki yang cemerlang dalam pelajaran agak kurang menyerlah, menyebabkan kurangnya calon lelaki layak ke sekolah berasrama penuh dan juga universiti.

Mengapa fenomena ini berlaku? Apakah benar pelajar perempuan lebih berkeupayaan dari segi kognitif berbanding pelajar lelaki? Dalam hal ini banyak andaian sering kedengaran.

Antaranya pelajar perempuan lebih rajin berbanding pelajar lelaki; pelajar perempuan lebih mengikut disiplin berbanding lelaki; pelajar perempuan lebih pandai berbanding pelajar lelaki dan bermacam-macam lagi.

Demi masa depan negara, isu kemerosotan pelajar lelaki dalam pelajaran pada semua peringkat ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang mudah.

Kesan kepada masyarakat, negara

Kesannya amat mendalam kepada masyarakat dan negara.

Antaranya adalah pengangguran yang lebih tinggi dalam kalangan pemuda, yang mendorong kepada masalah sosial dan bermacam-macam penyakit masyarakat.

Malah, dewasa ini banyak lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan stabil. Ini bukanlah bermakna kekuatan yang ada pada perempuan tidak dihormati. Sebaliknya, permasalahan ini perlu dilihat dari sudut sosial dan pembaziran tenaga kerja yang amat berguna kepada negara.

Apakah tindakan masyarakat, khususnya ibu bapa dan pendidik dalam menangani permasalahan ini? Suatu perkara yang perlu diberi pertimbangan oleh ibu bapa dan guru ialah perbezaan perlakuan dan gaya belajar antara pelajar lelaki dan perempuan.

Pelajar lelaki dan perempuan cenderung memiliki gaya pembelajaran tersendiri. Pelajar lelaki dilihat lebih agresif yang mungkin membawa kepada suatu generalisasi sebagai tidak berdisiplin.

Andaian masyarakat dan guru yang mungkin salah mengenai mereka boleh membawa masalah dalam bilik darjah. Sebagai contoh wujud situasi di mana seorang guru pelatih melakukan kesilapan apabila berkata kepada pelajar menengah rendah: "Anda semua mesti diam, kalau tidak saya tidak akan meneruskan pelajaran hari ini".

Kata-kata guru itu menimbulkan reaksi berbeza apabila pelajar perempuan menganggapnya sebagai positif dengan mendiamkan diri, manakala pelajar lelaki pula menganggapnya sebagai peluang untuk bebas yang membawa kepada situasi bilik darjah bertambah buruk.

Suatu panduan kepada guru, elakkan daripada terlalu terkongkong kepada sesuatu pendekatan pengajaran, khususnya pendekatan secara formal.

Yang dimaksudkan pengajaran dengan pendekatan secara formal ialah apabila guru dengan secara aktif menyampaikan isi pelajaran, manakala pelajar pula dianggap sebagai menerima ilmu pengetahuan yang pasif.

Pengajaran dengan pendekatan secara formal ini kurang berupaya menggalakkan pelajar membuat penerokaan (discovery) ketika pengajaran, membuat aktiviti bagi menggalakkan proses inkuiri dan melaksanakan aktiviti secara berkumpulan (koperatif), sedangkan aktiviti seperti ini amat selari dengan sifat pelajar lelaki yang lebih tertarik kepada aktiviti yang agak mencabar, di samping memberi peluang kepada mereka menunjukkan kebolehan dan kemahiran masing-masing.

Malah, pelajar lelaki lebih mudah berasa bosan apabila pengajaran secara penerangan oleh guru dilaksanakan sepanjang tempoh keseluruhan pengajaran kelas.

Perasaan bosan terhadap pelajaran kelas ini boleh membawa kepada terjejas tumpuan mereka terhadap pelajaran dan seterusnya mungkin membawa kepada kegagalan menguasai pelajaran yang diajar pada keseluruhannya.

Permasalahan mengenai pengajaran dan pembelajaran di sekolah perlu ditangani dengan berkesan oleh semua pihak yang berkait dengan pendidikan, khususnya guru. Kemampuan guru menangani permasalahan ini amat diharapkan.

Satu perkara yang penting ialah, guru mestilah membina keyakinan diri bahawa setiap pelajar memiliki kebolehan kognitif semula jadi (yang dikurniakan oleh Allah) untuk berjaya.

Manipulasi kebolehan kognitif

Apa yang perlu dilakukan oleh guru ialah memupuk dan memastikan bahawa kurniaan Allah ini dimanipulasikan secara sepenuhnya.

Bagaimanapun suatu kesedaran perlu ada dalam diri guru bahawa setiap pelajar adalah berbeza. Oleh itu, cara menangani permasalahan pelajar juga seharusnya berbeza.

Dalam hal ini, mungkin ramai guru yang mengeluh kerana agak sukar mengawasi pelajar yang dikatakan agak ramai dalam sesebuah kelas.

Dalam hal ini, disarankan agar guru sentiasa berpegang kepada prinsip dan teori membabitkan pendidikan yang tentu membatu dalam menangani masalah pembelajaran pelajar seperti ini.

Berdasarkan teori dalam pendidikan, perbezaan yang ada pada pelajar itulah sebenarnya yang menjadi kekuatan kepada sesuatu pengajaran yang berkesan.

Dengan wujudnya perbezaan dalam kalangan pelajar ini sebenarnya membolehkan pengajaran berlaku dalam suasana lebih harmoni melalui aktiviti perbincangan, perkongsian, penerokaan dan seterusnya membina pengetahuan dan kemahiran dalam pelajaran mereka.

Kegagalan dan keciciran dalam kalangan sebilangan pelajar lelaki perlu dihindari. Apatah lagi apabila keciciran berlaku bukan disebabkan oleh kemampuan kognitif yang rendah, tetapi mungkin berpunca daripada keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran yang kurang menyeluruh.

Dalam menangani masalah ini, satu pegangan yang boleh diambil ialah memastikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran sesuai untuk semua pelajar, sama ada pelajar lelaki mahupun perempuan.

Mungkin banyak langkah yang boleh diambil dalam memenuhi hasrat ini, tetapi di sini digariskan beberapa langkah umum yang boleh diambil oleh guru.

Pertama, bina keyakinan bahawa semua pelajar mempunyai kebolehan semula jadi, yang Allah berikan, untuk maju dalam pelajaran mereka.

Kedua, tingkah laku dan personaliti berbeza antara pelajar lelaki dan perempuan boleh mempengaruhi sikap dan pendekatan mereka semasa pembelajaran kelas.

Ketiga, pendekatan pengajaran perlu dipelbagaikan supaya sesuai untuk semua pelajar sama ada lelaki atau perempuan.

Keempat, sumber ilmu adalah pelbagai dan pelajar harus dibimbing untuk membina sendiri pengetahuan mereka melalui pengalaman bermakna.
Tags: lelaki, pendidikan, perempuan
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments