kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pertingkatkan komunikasi kepimpinan

KOMUNIKASI mempunyai peranan penting dalam kejayaan sesebuah organisasi. Pemimpin yang bijak berkomunikasi dan sentiasa berusaha mempertingkatkan keberkesanan komunikasi akan dihargai dan berjaya mencapai hasrat dan matlamat dirinya serta organisasi.

Komunikasi kepimpinan dianggap penting kerana menjadi perantaraan antara pemimpin dengan pengikut atau pekerja dalam sesebuah organisasi. Di setiap peringkat pemimpin akan berhubung dengan pengikutnya dengan pelbagai tujuan terma­suklah menyampai dan memberi arahan, amanat, taklimat dan penjelasan, memberi tunjuk ajar, teguran dan nasihat, mempengerusikan mesyuarat, menyelia, menyelaras dan sebagainya.

Arahan dan amanat disampaikan melalui pelbagai kaedah seperti ucapan di dalam perhimpunan, e-mel, surat, hebahan di laman web dan sebagainya. Hebahan maklumat seperti ini memerlukan komunikasi yang baik iaitu menjaga tutur kata dengan bersopan. Allah SWT menuntut manusia agar berbicara dengan perkataan yang baik dan ucapan yang elok dan sesuai bagi menyuburkan kasih sayang dan mengeratkan hubungan antara pemimpin dan orang yang dipimpin.

Firman Allah SWT: “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan kepada Allah, dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, dan kaum kerabat, anak yatim dan orang-orang miskin, dan katakanlah sesama manusia perkataan-perkataan yang baik...” (al-Baqarah, 2:83).

Pemimpin kadangkala akan turut berhujah terutama semasa menyampaikan pengucapan awam. Dalam situasi ini mereka perlu berusaha mengelakkan sesuatu isu yang boleh menyebabkan pertelingkahan dan kontroversi. Hal ini kerana tujuan utama berhujah bukanlah untuk mencari kemenangan, tetapi menyerlahkan kebenaran. Firman Allah SAW: “Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali dengan orang-orang yang zalim di antara mereka.” (al-Ankabut, 29:46)

Selain itu, dalam berkomunikasi setiap pemimpin perlu mempunyai sifat empati yang tinggi dan peka kepada pe­rasaan orang yang dipimpin. Mereka perlu memahami situasi dan keadaan pekerja di bawah mereka. Arahan yang diberikan perlu jelas dan mudah difahami. Arahan juga perlu diberikan dalam keadaan tenang dan penuh diplomasi.

Penggunaan bahasa yang tidak difahami akan menyukarkan komunikasi dan menghalang penerimaan mesej yang ingin disampaikan. Sebagai contoh dalam hal ini, Allah SWT telah mengutuskan setiap rasul menggunakan bahasa kaum mereka supaya kaum mereka dapat memahami apa yang cuba disampaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.” (Ibrahim, 14:4)

Di samping itu, usaha mempertingkatkan komunikasi ke­pimpinan turut memerlukan seseorang pemimpin itu menguasai kemahiran berkomunikasi menerusi penggunaan teknologi maklumat (ICT). Ini cabaran terbesar bagi pemimpin hari ini. Memandangkan kebanyakan pekerja hari ini terdiri daripada Generasi Y yang membesar dalam suasana ICT, maka pe­mimpin juga seharusnya menguasai kemahiran ini dengan baik.

Pemimpin tidak sepatutnya alah terhadap perkembangan ICT. Sebaliknya perlu berani menerokai keluasan dunia ICT seiring dengan kepantasan perkembangan dunia tanpa sempadan hari ini. Pemimpin yang menolak teknologi komunikasi itu akan terkebelakang dari segi mendapat maklumat terkini.

Penggunaan WhatsApp, We Chat, Twitter, Facebook, dan Line, antara contoh bentuk komunikasi sekarang. Hampir setiap pekerja mempunyai akaun laman sosial mereka sendiri. Kepelbagaian alat komunikasi seperti telefon pintar, tablet, komputer, faks dan lain-lain kemudahan komunikasi hari ini turut membantu dalam menjalankan urusan komunikasi kepemimpinan di antara pemimpin dengan pengikutnya tanpa batas.

Kesimpulannya, usaha mempertingkatkan komunikasi kepimpinan penting diberikan keutamaan bagi menjamin suasana kerja yang lebih harmoni, seterusnya membantu mencapai matlamat organisasi. - Nor Hartini Saari Utusan Malaysia Rencana 03 Ogos 2015 1:06 AM

Tags: komunikasi, pemimpin
Subscribe

Posts from This Journal “komunikasi” Tag

  • hasil hebat komunikasi

    Bagi pendidik, mereka seharusnya mengetahui nilai komunikasi yang hebat: Mereka harus berkomunikasi secara berkala dengan pelajar untuk…

  • Berkomunikasilah dengan baik

    Apabila kita menyampaikan sesuatu maklumat atau menerima arahan, sering dimaklumkan untuk kita berkata ‘ya, baiklah atau akan di…

  • Bagaimana pemimpin terbaik perlu berkomunikasi?

    Peranan seorang pemimpin telah berkembang sejak sedekad yang lalu. Pemimpin biasanya melibatkan ‘penyokong’ mereka untuk melakukan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments