kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jangan dipatuk ular di lubang yang sama

PAKATAN pembangkang baharu yang bakal dilancarkan pada 14 September nanti adalah gabungan komponen yang dalam sejarahnya tidak sekata. Terdapat komponen yang mendukung imej Syiah dan republikan di dalamnya dan terdapat komponen gerakan Islam, iaitu Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Angkatan Belia Malaysia (ABIM) yang saling bercanggah pendekatan jamaahnya.

Sejarah Ikram adalah sejarah parasit atau dedalu yang pernah menyusup ke dalam UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas dan akhirnya tertendang keluar kerana baiah dan taahnya bukan kepada parti yang disusupinya. Mereka ada agenda tersendiri untuk menguasai politik.

ABIM sangat partisan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Orang ABIM ada dalam UMNO, dalam PKR dan dalam Pas. Jika ABIM menjadi salah satu komponen yang komited mendukung pakatan pembangkang baharu seperti yang disebut oleh Anwar, ini adalah kerana partisan kepada Anwar yang dibuat oleh pemimpin ABIM dan Wadah terkini dan dalam masa yang sama ramai orang ABIM mendukung PKR.

Antara faktor yang menyebabkan DAP menolak Pas ialah kerana pelaksanaan Syariah (takzir Kelantan). DAP hanya boleh menerima Islam dalam batas individu bukan Islam yang sifatnya bernegara. Bila Pas menerusi jalan tengah Anwar berjaya menukar hala perjuangan Pas dari negara Islam ke negara berkebajikan, DAP boleh bersetuju. Tetapi Pas akhirnya menyedari negara berkebajikan tanpa syariat boleh menjadikan Pas parti liberal dan humanis .

Mohamad Sabu pengasas pakatan pembangkang baharu menyatakan parti baharu ini akan memperjuangkan Islam yang progresif tanpa meninggalkan hudud. Kerana takzir Pas , DAP menolak. Apa pula corak perjuangan Islam dan hudud yang ingin dibawa oleh Mohamad Sabu dan kawan-kawannya yang boleh diterima oleh DAP?

Komponen Ikram dan ABIM dalam pakatan pembangkang baharu sekian lama memperjuangkan sistem Islam dan pelaksanaan syariah. Apakah mereka akan jadi liberal pragmatik kerana ingin menyesuaikan diri dengan DAP atau menjadikan Islam sistem bernegara dan pelaksanaan syariah sebagai yang utama? DAP kena faham kelompok Ikram dan ABIM ini sudah ditarbiah bertahun-tahun dan terkait dengan pengaruh Ikhwan Muslimin iaitu gerakan dakwah antarabangsa. DAP yang terkait dengan fahaman agnostik dan evangelis sudah tentu tidak akan selesa dengan mereka. Sekali lagi ungkapan tidur sebantal, igau lain-lain akan berlaku.

Mereka bergabung kerana mahu menjatuhkan UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan yang ada. Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mereka terangsang menyakini dukungan popular berada bersama mereka. Mereka ingin menegakkan negara baharu dan bakal menukar struktur bernegara di mana kekuatan Melayu-Islam bakal tumbangkan dan digantikan dengan apa yang dimahukan DAP iaitu impian Malaysia yang memperjuangkan pendekatan Malaysian Malaysia.

DAP mempunyai strategi jangka panjang untuk memerintah Malaysia. Di tahap ini, mereka memerlukan sokongan orang Melayu supaya gerak kerja politiknya berjalan lancar. DAP tahu menguasai Malaysia, orang Melayu kena dipecahkan.

Kebimbangan pakatan pembangkang baharu nanti ialah cita-cita DAP bakal terjadi dan melahirkan sistem Islam dan pelaksanaan syariah akan terhalang lagi dan usia perjuangan terbuang dengan mengulangi kesilapan yang sama ibarat dipatuk ular untuk kali keduanya di lubang yang sama.

Pendukung Ikram dan ABIM adalah orang dakwah. Pendekatan dakwahnya tidak akan mampu melakukan islah kepada DAP kerana orang DAP tetap menganggap isu agama adalah isu peribadi. Negara Islam dan pelaksanaan syariah tidak ada dalam kamus perjuangan mereka. Sosialis demokratik yang diperjuangkan bakal menjadikan Malaysia negara sekular dan liberal pragmatik. Apakah kelompok Islam mahu ini terjadi?

Apabila mengurus kemenangan nanti pasti masalah utama akan berbangkit. Apakah Perkara 3(1) mengenai Islam sebagai agama Persekutuan akan diberi makna yang sekular atau Islam terhubung dengan pembangunan sistem. Apakah isu bahasa (Perkara 152) akan kekal dimartabatkan atau akan jadi seperti apa yang berlaku di Singapura.

Apakah Hak Istimewa Orang Melayu (Perkara 153) akan lupus dan bakal mendedahkan umat Melayu kepada cengkaman kapitalis dalam sistem ekonomi yang tidak adil dan seimbang. Kata pepatah, “Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna”. Lantaran “orang Melayu mudah lupa” ia bakal menjebak diri dalam gelanggang politik yang memerangkap. - Jendela To Ki Utusan Malaysia Rencana 04 Ogos 2015 12:16 AM

Tags: politik
Subscribe

Posts from This Journal “politik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments