SELEPAS digugurkan daripada Jemaah Menteri dalam satu pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Julai lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dilihat seolah-olah cuba disisihkan daripada arena politik negara.
Masakan tidak, terdapat UMNO bahagian yang telah menjemput mereka untuk merasmikan persidangan perwakilan telah menarik balik jemputan tersebut.
Berkemungkinan besar tindakan beberapa UMNO bahagian terbabit ada kaitannya dengan pengguguran kedua-dua pemimpin UMNO itu daripada barisan Kabinet.
Muhyiddin Yassin |
Agak menghairankan juga langkah yang diambil beberapa UMNO bahagian itu kerana kedua-dua mereka masih kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Naib Presiden UMNO yang dipilih dalam satu pemilihan parti dua tahun lalu.
Jawatan mereka dalam parti bukan calang-calang, seharusnya kedudukan itu dihormati oleh semua Ketua UMNO bahagian kerana Muhyiddin dan Mohd. Shafie masih pemimpin utama UMNO dalam hierarki parti ketika ini.
Mereka hanya digugurkan dalam barisan pentadbiran kerajaan namun posisi dalam parti masih tinggi.
Jika berlaku Perhimpunan Agung UMNO dijangka beberapa bulan lagi, Muhyiddin dan Mohd. Shafie akan berada di atas pentas utama dan akan membuat ucapan penggulungan pada akhir perhimpunan, bahkan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO seperti lazimnya akan dipertanggungjawabkan merasmikan persidangan perwakilan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.
Mohd. Shafie Apdal |
Tambahan, tiada pula kedengaran Muhyiddin dan Mohd. Shafie mahu bertindak memecahbelahkan parti malah kedua-dua pemimpin Melayu itu berikrar untuk membantu Najib yang juga Presiden UMNO untuk mengembalikan sokongan orang Melayu dan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) serta kerajaan.
Kedua-duanya ialah pemimpin berjiwa besar. Muhyiddin sendiri menegaskan bahawa mustahil beliau yang telah berada dalam UMNO selama 41 tahun dan 37 tahun dalam kerajaan mahu melakukan sesuatu yang boleh menggugat kestabilan negara.
Begitu juga Mohd. Shafie selaku Naib Presiden UMNO memberi jaminan akan terus berbakti kepada parti itu demi rakyat dan negara walaupun tidak lagi menyandang jawatan dalam Kabinet.
Kedua-dua kenyataan mereka ini terpapar di dada-dada akhbar dan sudah tentu dibaca oleh ratusan ribu dan mungkin jutaan orang selepas masing-masing merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kluang dan perasmian serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Hulu Selangor.
Ini janji mereka dan seperti mana peribahasa Melayu yang cukup terkenal ‘kerbau dipegang pada talinya, manusia berpegang pada janjinya’.
Berhubung pembatalan jemputan UMNO Bahagian terhadap Muhyiddin dan Mohd. Shafie sebagai perasmi persidangan, sewajarnya perkara itu tidak lagi berlaku kerana urusan tersebut berkaitan dengan perjalanan parti manakala kedua-duanya masih pemimpin utama parti.
Penulis tertarik dengan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan seperti dilaporkan oleh portal-portal berita ketika mengulas tindakan beberapa UMNO bahagian membatalkan jemputan Muhyiddin bagi merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian.
Mesej Mohamad cukup jelas apabila beliau menyatakan; “Kita semua orang Melayu. UMNO ini parti Melayu dan untuk membatalkan jemputan itu, orang Melayu ini susah untuk membatalkan, tetapi terpulang kepada masing-masing. Kita jangan hilang budi bahasa.”
Dalam isu sama Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Abdul Rahman Dahlan turut menyifatkan tindakan beberapa UMNO bahagian membatalkan jemputan Muhyiddin dan Mohd. Shafie untuk merasmikan perwakilan bahagian sebagai tidak wajar.
Apatah lagi katanya, jemputan itu dibuat sebelum kedua-dua pemimpin itu digugurkan daripada Kabinet. Lebih malang lagi terdapat pula pemimpin yang dalam ucapan mereka membuat kecaman terutama kepada Muhyiddin yang sepatutnya tidak berlaku kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu masih ketua mereka dalam UMNO.
Ini bukannya cerita rekaan sebaliknya ini yang telah berlaku dan penulis sendiri pernah mendengar ucapan seperti itu dalam satu majlis hari raya anjuran satu kementerian, baru-baru ini.
Sepatutnya kata-kata seumpama itu tidak wajar diucapkan oleh mana-mana pemimpin khususnya pemimpin UMNO kerana Muhyiddin mahupun Mohd. Shafie bukannya pemecah belah UMNO sebaliknya mereka hanya digugurkan dalam pentadbiran kerajaan. Jasa dan pengorbanan mereka kepada UMNO dan kerajaan sememangnya tidak boleh dipertikaikan.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak dan juga ahli MT, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam isu tersebut mengingatkan pemimpin-pemimpin muda dalam parti agar tidak mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya terhadap Muhyiddin yang banyak menabur jasa terhadap parti.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, mereka tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan melulu termasuk menggesa tindakan diambil terhadap Timbalan Presiden UMNO tersebut semata-mata kerana mahu dilihat sebagai jaguh.
“Muhyiddin telah menabur jasa besar terhadap UMNO sejak beliau menjadi Ketua Pemuda pada 1980-an sehingga dipilih sebagai Timbalan Presiden parti. Ini lebih 30 tahun, takkan kita hendak lupakan itu semua,” ujarnya.
Jelas Tajuddin lagi, semasa UMNO diharamkan dan UMNO baharu ditubuhkan pada 1987, UMNO begitu goyang dan Muhyiddin telah bersilat menjadi ‘panglima’ untuk memulihkan kembali UMNO terutama di Johor.
Justeru, penulis amat mengharapkan mesej ketiga-tiga pemimpin tersebut sama ada Mohamad, Abdul Rahman mahupun Tajuddin diambil perhatian sewajarnya terutama dalam kalangan pemimpin UMNO pelbagai peringkat dan paling utama di peringkat UMNO bahagian serta pemimpin-pemimpin muda.
Jangan disebabkan mahu menjadi juara dalam isu pengguguran dua pemimpin itu daripada Kabinet, ada daripada pemimpin UMNO mengambil kesempatan cuba mengetepikan mereka dengan membatalkan jemputan sebagai perasmi.
Lebih malang lagi bertindak mencemuh kedua-dua pemimpin itu dalam ucapan masing-masing demi kelangsungan dalam politik. Jika itu yang berlaku, pasti perpecahan dalam UMNO akan terus berlaku kerana Muhyiddin serta Mohd. Shafie yang merupakan pemimpin lama UMNO sudah pasti mempunyai pengaruh serta penyokong masing-masing.