kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tangani kebanjiran wartawan ekspres

SALAH satu kesan besar fenomena media sosial adalah munculnya satu kelompok pengguna media sosial yang layak digelar sebagai ‘wartawan ekspres’. Kebanjiran wartawan ekspres ini umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Secara umumnya, istilah wartawan ekspres boleh dirujuk kepada kelompok individu atau pengguna media sosial yang sering memuat naik, menghebahkan mahupun menyebarkan sesuatu gambar, penulisan atau berita sama ada sahih ataupun tidak dengan segera menggunakan pelbagai aplikasi dan laman sosial. Antara aplikasi dan laman sosial yang sering digunakan ialah, Facebook, WhatsApp, Telegram, Twitter, Instagram dan WeChat.



WARTAWAN ekspres ialah kelompok individu yang sering memuat naik sesuatu gambar, penulisan atau berita sama ada sahih ataupun tidak dengan segera menggunakan pelbagai aplikasi dan laman sosial. GAMBAR HIASAN

Modus operandi kelompok wartawan ekspres yang sentiasa bertindak sebagai keyboard warrior ini ialah masing-masing seolah-olah bersaing menyebarkan sesuatu maklumat sepantas kilat untuk menarik perhatian masyarakat. Ukuran kehebatan, pengaruh, kejayaan dan kepuasan mereka banyak bergantung kepada berapa banyak like yang mereka peroleh serta berapa ramai pengguna laman sosial share ataupun kongsikan berita terbabit.

Demi kepuasan ini wartawan ekspres sanggup menghebahkan apa jua maklumat mahupun berita tanpa diperiksa asal usulnya terlebih dahulu sama ada sahih ataupun tidak. Lebih merisaukan apabila mereka juga tidak pedulikan isi kandungan berita dan maklumat terbabit sama ada menyentuh isu sensitif, berbaur hasutan, fitnah, menghina mahupun boleh mencetuskan provokasi.

Hakikatnya kebanyakan daripada wartawan ekspres ini boleh dikatakan tidak pernah mendapat pendidikan, pendedahan mahupun pengalaman formal sebagai seorang wartawan yang profesional maka jelas sekali mereka tidak mampu menghayati etika kewartawanan yang sewajarnya.

Tambahan pula kejahilan mereka cukup terserlah apabila dibaca gaya penulisan mereka yang boleh disifatkan cukup tidak beretika yang sekali gus boleh dipertikai dari segi ketelusan, keadilan, keseimbangan dan fakta yang disebarkan kepada khalayak.

Penelitian penulis mendapati kebanyakan wartawan ekspres ini menggunakan laman sosial dan pelbagai aplikasi lain untuk beberapa tujuan seperti menulis untuk kepuasan diri sendiri, meluahkan perasaan tidak puas hati, mencemuh atau menyebarkan berita palsu secara suka-suka, menyebarkan gambar untuk mengaibkan orang lain serta ada juga yang menggunakan medium ini untuk mengenakan atau mensabotaj mana-mana individu terpilih untuk tujuan tertentu seperti ‘pembunuhan watak’ di samping mencetuskan provokasi dalam kalangan kelompok masyarakat tertentu.

Jelas ini bukan saja budaya kita malah satu budaya yang tidak sihat dalam masyarakat kita. Walaupun ledakan teknologi maklumat dan digital tidak boleh dikekang mahupun dibendung namun kita tidak boleh membiarkan budaya tidak sihat ini terus berleluasa kerana dikhuatiri boleh mencetuskan pelbagai masalah dalam kalangan masyarakat kita.

Masakan tidak dengan hanya berbekalkan telefon pintar mahupun tablet setiap seorang daripada kita boleh menjadi wartawan ekspres dengan menulis mahupun memuat naik apa jua gambar mahupun berita yang ak­hirnya boleh menjadi viral di seluruh negara.

Hakikatnya kebanyakan daripada mereka ini tidak sedar kesan daripada perbuatan tidak beretika ini. Kita akui media sosial banyak kebaikan dan kelebihannya. Misalnya, sesuatu maklumat itu dapat disebarkan, dihebahkan dan dikongsi kepada kumpulan sasaran dengan mudah, cepat dan dengan kos yang sangat minimum ataupun percuma.

Namun perbuatan segelintir pengguna media sosial yang menyalahgunakan kemudahan ini menyebabkan ada kalanya kita terpaksa terlalu berhati-hati dan prejudis dengan sesuatu maklumat yang disebarkan oleh wartawan ekspres ini. Baru-baru ini masyarakat panik sekejap apabila ada menyebarkan berita bahawa harga petrol untuk bulan ini dinaikkan oleh pihak kerajaan dan lebih malang lagi ia dikatakan datangnya daripada seorang pegawai kanan kerajaan.

Akibatnya pengguna mula panik, marah dan berpusu-pusu menyerang stesen minyak pada malam 31 Julai untuk mengisi minyak. Malah tindakan wartawan ekspres ini yang mendahului pengumuman rasmi pihak kerajaan menyebabkan berlaku perbalahan dan perdebatan dalam media sosial. Boleh dikatakan media sosial seperti Facebook dan Twitter bertukar menjadi medan peperangan.

Hakikatnya berita tersebut jelas palsu dan fitnah semata-mata di mana pengumuman rasmi pihak kerajaan menunjukkan harga petrol diturunkan dan bukan seperti yang telah disebarkan oleh wartawan ekspres ini.

Jelas penyebaran berita palsu dan fitnah semakin berleluasa dan mula menjadi virus yang begitu sukar untuk dikawal. Kita risau ini juga bakal menjejaskan kerukunan hidup masyarakat majmuk negara kita. Misalnya, sebelum ini isu jual beli telefon serta pergaduhan di Plaza Low Yat juga menjadi isu besar dalam media sosial. Kelompok wartawan ekspres mula menyebarkan pelbagai berita dan versi cerita tentang kejadian di plaza terbabit.

Ada yang kata ia hanya membabitkan kes penipuan jual beli telefon, ada pula menghebahkan ia sebagai kes jenayah pencurian dan lebih dahsyat lagi apabila ada yang menyebarkan provokasi bahawa ini adalah kes perkauman dan pergaduhan antara orang Melayu dan juga orang Cina. Akibatnya negara kita dikejutkan dengan peristiwa dan tragedi berdarah pada 13 Julai 2015 lalu.

Percaya ataupun tidak, kejadian pergaduhan pada 13 Julai sebenarnya banyak dipengaruhi oleh tindak tanduk wartawan ekspres yang mengapi-apikan keadaan dengan pelbagai berita yang berbentuk provokasi.

Oleh kerana wartawan ekspres seperti ini sudah mula mencetuskan pelbagai provokasi dan ketegangan dalam kalangan masyarakat maka adalah wajar untuk pihak berkuasa bertindak lebih tegas terutamanya menambahbaik hukuman sedia ada supaya mampu mengekang perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak beretika seperti ini.

Dalam konteks ini penulis menyokong penuh cadangan yang pernah dikemukakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini agar pesalah siber dikenakan hukuman penjara mandatori sekurang-kurangnya tiga tahun dan sebatan bagi menangani kes fitnah alam maya yang dilihat semakin membimbangkan.

Menurut SKMM cadangan ini sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara selepas suruhanjaya mendapati hukuman sedia ada iaitu setahun penjara atau denda RM50,000 ke atas mereka yang disabit kesalahan mengikut Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masih tidak memadai.

Seksyen 211 adalah mengenai larangan terhadap pemberian kandungan jelik di Internet manakala Seksyen 233 pula adalah mengenai penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Dalam pada itu, kita juga perlu sedar betapa semuanya bermula daripada peribadi dan akhlak individu itu sendiri. Oleh kerana kita tidak mungkin mampu menyekat sepenuhnya kebanjiran wartawan ekspres ini maka apa yang kita harapkan ialah agar mereka lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan beretika dalam menggunakan media sosial.

Tags: akta, ict, media
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments