kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Akhir perjalanan yang penuh risiko

“KAMI travel jauh... 41 kilometer (km) pergi, 41 km balik. Perjalanan kami begitu terdedah dengan risiko kemalangan.” Itu antara yang pernah diluahkan dan menjadi kebimbangan Zuarida Mohyin, Pengarang Meja Agama Utusan Malaysia.

Topik itulah juga yang selalu dibincangkan dengan rakan baiknya, Ketua Meja Kota, Roslah Othman. Sekali-sekala penulis tumpang sekaki mendengar keluh-kesah mereka, rakan sepejabat yang sama-sama menghadapi masalah terpaksa melalui perjalanan jauh untuk ke tempat kerja.

Zuarida dan Roslah tinggal berjiran tetapi berlainan taman perumahan di Bukit Beruntung, Selangor. Kadang-kala Zuarida menumpang kereta Roslah balik ke rumah. Namun kelazimannya beliau membonceng motosikal suaminya ke tempat kerja.

Rutin mereka setiap hari ialah bertolak dari rumah di Bukit Beruntung ke Sungai Besi iaitu kira-kira 41 km. Suami Zuarida kemudiannya sambung bermotosikal sejauh 20km lagi ke tempat kerjanya di Damansara. Selepas habis kerja, dia kembali ke Sungai Besi mengambil isteri sebelum bertolak balik ke rumah mereka di Bukit Beruntung.

Begitulah rutinnya setiap hari bekerja. Lima kali seminggu.



Gambar terakhir arwah Zuarida Mohyin dengan anak-anak pada 1 Syawal yang baru lalu.

Dijumlahkan perjalanan mereka setiap hari sejauh 61 km pergi dan 61 km balik atau 122 km setiap hari.

Bayangkan betapa penatnya.

Mungkin sebab itu Zuarida pernah meluahkan betapa be­risikonya perjalanan yang perlu dilaluinya dan suami hanya untuk ke tempat kerja, tempat mencari rezeki halal di tengah-tengah ibu kota ini.

Dan malam Jumaat lalu, kebimbangan beliau menjadi kenyataan.

Zuarida dan suami menemui ajal apabila terlibat kemalangan dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah mereka di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

Arwah meninggalkan empat anak perempuan - yang sulung bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan yang bongsu baru berumur empat tahun. Anak-anak mereka menjadi yatim piatu sekelip mata.

Zuarida dan suaminya adalah antara ribuan warga kota yang terpaksa melalui perjalanan berisiko ketika pergi balik dari rumah ke tempat kerja setiap hari.

Kebanyakan mereka sebagaimana arwah, bukan tidak ada kereta namun memilih motosikal sebagai kenderaan untuk bergerak.

Mungkin untuk menjimatkan kos petrol, tol dan belanja sara hidup di tengah-tengah ibu kota yang cukup mendesak dengan pelbagai tuntutan bil untuk dibayar. Atau mungkin sahaja untuk mengelakkan tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas jika berkereta.

Realiti inilah yang dilalui oleh kebanyakan rakyat marhaen seperti penulis yang bekerja di kota metropolitan ini.

Nama sahaja warga kota. Bekerja di ibu kota Kuala Lumpur namun kebanyakan kami tinggal di pinggir bandar atau bandar lain yang jauh dari Kuala Lumpur, tempat kami mencari rezeki.

Kenapa? Kerana rumah yang elok sedikit yang mampu dibeli dengan gaji yang ada, terletak nun jauh di hujung kota. Bukan di Kuala Lumpur.

Kami yang kononnya kumpulan kelas menengah atau berpendapatan sederhana ialah golongan miskin bandar jika mahu terus ‘berlagak’ tinggal di tengah-tengah ibu negara.

Penulis sendiri berulang alik sejauh 70 km pergi dan balik dari pejabat ke rumah setiap hari. Itu belum kira perlu menempuh kesesakan lalu lintas.

Ramai lagi rakan sepejabat yang terpaksa menempuh perjalanan pergi balik yang lebih jauh dan panjang. Ada yang berulang alik dari Kuala Lumpur sehingga ke Seremban, Negeri Sembilan malah ada yang sampai ke Melaka dan Temerloh, Pahang.

Kalau ada pilihan yang lebih baik, penulis percaya tidak ada siapa akan memilih membuang masa lama di atas jalan raya. Namun apakan daya, itulah pilihan yang ada untuk golongan marhaen seperti kami.

Bagi mengelak kesesakan jalan raya pada waktu puncak iaitu pada sebelah pagi ketika orang ramai berpusu-pusu ke tempat kerja, ramai yang keluar lebih awal hatta sebelum subuh dari rumah. Bagi mengelak kesesakan jalan raya pada waktu puncak pada sebelah petang pula, iaitu ketika warga kota berasak-asak meninggalkan ibu kota untuk pulang ke rumah masing-masing di luar Kuala Lumpur, ramai yang menangguhkan waktu pulang walaupun sudah habis bekerja.

Jika tidak, hanya merugikan masa dan minyak kereta kerana tidak ada beza antara keluar awal atau tangguhkan sejam dua kerana tetap akan tiba di rumah lebih kurang masa yang sama.

Namun hidup perlu diteruskan. Dan perjalanan yang sama perlu juga dilalui. Sebabnya sehingga kini belum nampak ada penyelesaian kepada permasalahan ini.

Harga rumah di ibu kota tetap terlalu mahal untuk dibeli. Pengangkutan awam yang boleh diharapkan seperti kereta api laju atau setidak-tidaknya MRT masih belum nampak bayangnya lagi. Kalau ada bayang pun laluannya bukan ke kawasan pinggir bandar seperti Bukit Beruntung, Hulu Selangor atau Rawang yang menjadi tempat tinggal golongan marhaen seperti kami.

Sementara menunggu pihak berwajib terpandang masalah kami, perjalanan berisiko ini terpaksa diteruskan jua.

Allahyarham Zuarida dan suami adalah korban perjalanan berisiko dan berbahaya yang ditempuh oleh warga kota saban hari.

Bagi kedua-duanya, perjalanan berisiko mereka terhenti di sini. Al-Fatihah.

Tags: kerja
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments