kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Agresif sekat bacaan perosak akidah, moral

Sungguhpun bahan bacaan dan tontonan menerusi peranti digital makin popular, peranan buku belum boleh diketepikan. Memang peranti moden digital mudah dibawa ke mana-mana.

Perisiannya juga banyak. Tetapi buku masih mengekalkan peranan sebagai pemberi pengetahuan, informasi dan hiburan. Pengusaha menerbitkan buku dan perisian digital kerana beberapa sebab.

Dari aspek komersial, penerbitan terbabit diharap menjana keuntungan. Tujuan ini menjadi matlamat pengusaha yang ingin berniaga mencari keuntungan.

Akan tetapi, ada juga penerbitan yang dikeluarkan atas sebab lain. Umpamanya untuk menyebarkan sesuatu fahaman atau ideologi.

Bagi tujuan ini, keuntungan dalam bentuk wang mungkin kurang penting. Yang utama ialah menyebarkan ideologi terbabit. Tidak kiralah sama ada fahaman atau ideologi terbabit akan merosakkan atau menggegar fahaman yang sudah mantap dalam masyarakat.

Penerbitan berunsur lucah juga diusahakan untuk meraih keuntungan. Ia menarik minat masyarakat, terutama generasi muda. Penerbitan lucah dikeluarkan dalam bentuk buku novel, majalah, cakera padat, klip video dan sebagainya.

Peniaga oportunis, penguat kuasa

Dalam pasaran yang terbuka, selalu terjadi pertembungan antara peniaga oportunis dengan pihak penguat kuasa. Yang dimaksudkan peniaga oportunis itu termasuk mereka yang menjual barang tiruan, menaikkan harga sesuka hati, mengelak cukai serta menjual bahan terlarang.

Penguat kuasa pula terbahagi kepada dua.

Pertama yang tertakluk di bawah peruntukan perdagangan komersial. Penguat kuasa ini memantau dan mengambil tindakan jika ada salah laku yang membabitkan perkara seperti menjual barang tiruan, menaikkan harga sesuka hati, tidak meletak tanda harga, menjual barang luput tarikh, mengelak cukai dan sebagainya.

Penguat kuasa kedua terdiri daripada pihak memantau aspek keselamatan awam, akidah dan moral. Pemantauan lebih menjurus kepada isi kandungan sesebuah penerbitan.

Masalah utama pemantauan penguat kuasa golongan kedua ini ialah penerbitan yang sensitif sudah beredar dalam masyarakat. Tidak ada peraturan khusus yang mewajibkan setiap penerbit mesti menghantar salinan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dahulu untuk disemak dan diluluskan.

Peraturan seperti ini hanya melengahkan proses penerbitan, yang tidak disukai oleh usahawan yang ingin bekerja dengan pantas. Selepas penerbitan itu beredar dalam pasaran, barulah disedari ada kandungan yang sensitif di dalamnya.

Mengenai pemantauan yang dilakukan oleh KDN terhadap akhbar harian, pada setiap hari bekerja, pihak KDN akan mengambil akhbar tempatan dalam semua bahasa seawal jam 5 pagi.

Jika ada unsur sensitif di dalamnya, tindakan yang dikenakan adalah secara berperingkat, iaitu membuat panggilan kepada syarikat penerbitan berkenaan, menegur, memberi peringatan, amaran dan akhir sekali surat tunjuk sebab.

Pembanterasan berterusan

Baru-baru ini, KDN mengumumkan pengharaman tiga buah buku, berkuat kuasa mulai 23 Jun yang lalu. Ini membabitkan perintah larangan terhadap pencetakan, penerbitan dan pengedaran dua buku berunsur keagamaan dan sebuah buku berunsur lucah yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan moral.

Dua buku agama itu berbahasa Indonesia bertajuk Doa Jausyan Shaghir diterbitkan oleh Zahra Publishing House, dan Doa Nudbah, Doa Ahd, Doa Faraj (Keluasan), Doa Ziarah dan Doa untuk Kegaiban Imam Mahdi juga diterbitkan oleh Zahra Publishing House.

Sebuah lagi novel berbahasa Mandarin, To Love Ru Darkness terbitan Tongli Publishing Co yang berunsur lucah. Masyarakat kita sedang dilanda pelbagai kemelut politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Setiap kemelut diharap akan ditemui penawarnya oleh mereka yang pakar dalam bidang terbabit.

Dan tidak kurang bahayanya adalah kemelut akidah serta moral. Semua kemelut itu terjadi kerana sebahagian kita sudah tergelincir dari landasan akidah dan moral.

Sehubungan itu, wajar sekali usaha membanteras penerbitan yang bertentangan dengan akidah dan moral terus dilaksanakan.

Dalam sebuah negara yang mudah bergolak ini, kita memerlukan warga yang jernih akidah dan bersih moralnya untuk berganding bahu membangunkan negara serta kemaslahatan umat. Anwar Ridhwan Berita Harian Kolumnis 4 Ogos 2015
Tags: akidah, moral
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments