kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Integriti penentu ekonomi makmur

KELMARIN, Institut In­­­teg­riti Malaysia (IIM) se­kali lagi me­ngan­jur­­kan satu forum bagi membicarakan akan pen­tingnya integriti da­lam dunia korporat yang mem­bariskan Pengerusi Telekom Ma­laysia, Tan Sri Sulaiman Mahbob sebagai pembicara utama dan Pe­ngerusi Pantai Holdings Berhad, Datuk Khairil Anuar Abdullah dan Pengerusi Audit Oversight Board, Suruhanjaya Sekuriti Nik Hasyudeen Yusof sebagai dis­cussants.

Kehadiran peserta yang rata-ratanya ialah pegawai tinggi kerajaan dan peneraju korporat yang secara kolektif bersetuju bahawa demi kemakmuran ekonomi negara, semua pihak perlu berganding bahu membersihkan negara kita daripada sebarang persepsi negatif dalam kalangan pelabur dengan memberikan penerangan yang betul terhadap apa juga isu integriti yang melanda negara terutama sekali berkaitan isu korporat.



Nik Hasyudeen Yusof

Apa sahaja fitnah yang tidak bertanggungjawab perlu ditentang habisan-habisan demi survival negara dalam persaingan yang kian mencabar agar gene­rasi akan datang tidak menderita kerana perbuatan setengah pihak yang suka menangguk di air yang keruh demi untuk kepentingan politik dan sebagainya.

Integriti dalam mencari rezeki telah diajar berkurun lamanya oleh salah seorang Imam Ahli Sunnah Wal jamaah. Imam Muhammad Idris Al Syafie (767-820) iaitu pengasas Mahzab Shafie yang lahir di Asqalan, Syria dalam pesanannya, berpada-padalah dalam mencari rezeki.

Apa yang diperkatakan oleh Imam Syafie itu adalah supaya kita sentiasa bersederhana dalam mencari rezeki dan sentiasa menitik beratkan soal halal haramnya rezeki yang kita bakal peroleh itu.

Sulaiman Mahbob

Dewasa ini apa yang membimbangkan adalah statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lalu menunjukkan bahawa jenayah perdagangan di Malaysia mening­kat 168%, melibatkan kerugian lebih RM1.3 bilion.

Ini satu perkembangan yang cukup membimbangkan di mana jenayah ekonomi ini seringkali dikaitkan dengan mereka yang bijak pandai dan berkelulusan tinggi.

Tentunya kita masih ingat akan the world biggest accounting fraud yang dilakukan oleh Ramalinga Raju iaitu Ketua Eksekutif Kumpulan Satyam Computer Services, syarikat Fortune 500 yang tersenarai di tiga bursa saham iaitu di Mumbai, New York dan London.

Kebijaksanaan memanipulasi akaun yang dilakukan oleh lulusan MBA dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat (AS) itu telah berjaya menyembunyi­kan penipuannya selama beberapa tahun dan hanya terbongkar pada Februari 2002, apabila pihak CBI India mula menjalankan penyiasatan sehinggalah Ramalinga dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun dan didenda RM5.5 Crore Rupees (RM3.3 juta) oleh Mahkamah Tinggi di Hyd­rabad, India pada Mei lalu.

Natijah daripada perbuatannya itu telah menyebabkan Syarikat Satyam Computer Services mengalami penggulungan operasi dan menyebabkan 30,000 warga kerjanya kehilangan pekerjaan.

Khairil Anuar Abdullah

Kebankrapan terbesar dunia pula melibatkan syarikat gergasi Worldcom Corporation , syarikat telekomunikasi AS berlaku pada 2002, melibatkan kerugian lebih AS$100 bilion adalah gara-gara perbuatan Ketua Pegawai Eksekutifnya yang bernama Bernard John Ebbers,lulusan Doctorate In Law dari Missisippi College, AS. Walaupun beliau kini terpaksa meringkuk dalam penjara selama 25 tahun tetapi perbuatannya telah menyebabkan banyak pihak mengalami kesukaran hidup.

Kita juga masih tidak lupa terhadap skandal Enron Corporation yang berlaku pada Oktober 2001 di mana syarikat gergasi yang pernah memenangi anugerah American Most Innovative Company selama enam tahun berturut-turut ini juga akhirnya tumbang gara-gara perbuatan tiga orang peneraju utamanya iaitu Kenneth Lay, Pengerusinya, Jeffery Skilling, Ketua Pegawai Eksekutifnya dan Andrew Fastow, Ketua Pegawai Kewangannya, melibatkan kerugian AS$64 bilion dan seterusnya menyebabkan 20,000 warga kerja syarikat berteraskan tenaga itu kehilangan pekerjaan masing-masing.

Sebab itulah, seorang penulis dan penyair Inggeris yang terkenal iaitu Dr. Samuel Johnson (1709-1784) dalam karyanya The Rasselan mengatakan bahawa - “Integrity without knowledge is weak and useless, and knowledge without integrity is dangerous and dreadful”.

Mengekang jenayah korporat bukanlah satu perkara yang mudah malah memerlukan pendekatan program pendidikan secara inklusif dan berterusan. Hukuman yang berat juga belum tentu boleh mengekang masalah integriti dan ini terbukti di mana negara China yang mengenakan capital punishment kepada penjenayah ekonomi di China juga gagal mengekang masalah rasuah di negara itu apabila Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa China yang dikeluarkan oleh Transparencies International jatuh merudum dari posisi 80/177 pada 2013 kepada tangga 100/175 pada 2014.

Ini bertepatan sekali dengan apa yang diperkatakan oleh Lord Betrand Russel iaitu pemenang Hadiah Nobel bagi kategori kesusasteraan yang mengatakan bahawa - “ No amount of rules could ensure morality”.

Kita sentiasa berdoa agar negara kita akan terhindar dari segala bentuk fitnah dan mala petaka kesan dari tadbir urus yang tidak baik dalam dunia korporat.

Satu perkara yang paling utama yang perlu kita hayati dan amalkan adalah sebagai ketua keluarga yang berintegriti tinggi, kita wajib memastikan bahawa rezeki yang kita bawa pulang untuk meme­nuhi keperluan keluarga di rumah adalah rezeki yang baik lagi halal.

Bagi orang Islam perintah untuk memakan rezeki yang baik itu telah difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud “ Wahai orang yang beriman, makanlah kamu dari rezeki yang baik (lagi halal) yang telah Kami Anugerahkan kepada kamu dan bersyukurlah jika benar kamu beriman kepada Allah” (Al-Baqarah -172).

Sebagai orang Islam, kita wajib percaya bahawa rezeki yang baik yang dibawa pulang untuk keluarga akan mampu melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.

Penulis ingin menutup diskusi pada kali ini dengan mutiara kata dari negarawan ulung India iaitu Mahatma Gandhi yang mengatakan bahawa - “ The world is enough for everybody need, but not enough for one man greed.” (Dunia ini cukup untuk semua manusia, tetapi tidak cukup untuk ketamakan seorang manusia).

Selagi ada sifat ekstrim ketamakan dalam diri seorang manusia maka selagi itulah masalah integriti seperti rasuah, penipuan dan penyelewengan akan terus berleluasa.

Tags: ekonomi, integriti
Subscribe

Posts from This Journal “integriti” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments