kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rombakan Kabinet, cabaran urus masa depan

UCAPAN setinggi tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana berani merombak Kabinet pada saat kita sedang berdepan pelbagai cabaran dari dalam dan luar negara.

Penyusunan semula kepemimpinan pentadbiran negara bukan bererti semua cabaran boleh diatasi. Sebaliknya ia memberi ruang kepada pucuk pimpinan mengatur pasukan dan strategi baharu untuk berdepan pelbagai cabaran getir yang belum pernah dialami warganegara berdaulat ini.

Sebagai bekas Penasihat kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu, saya berasa amat gembira status Kementerian Pendidikan Tinggi dikembalikan semula. Ini adalah langkah bijak meneroka potensi kepemimpinan ilmu sebagai asas membina negara yang mampu membangun inovasi ilmu dan teknologi untuk mencapai wawasan negara maju 2020.

Lebih manis lagi, jika Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi digembleng bersama Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mewujudkan kesatuan ilmuwan berinovasi luar biasa.

Masyarakat aset utama negara

Pada prinsipnya sebuah negara maju, berwawasan dan dihormati terbina berasaskan gabungan tiga sumber utama - sumber manusia, sumber asli dan kepemimpinan berwawasan.

Masyarakat adalah aset utama dan modal insan negara yang perlu diberi perhatian tinggi. Negara perlu akui, Malaysia terbina daripada bangsa majmuk dengan pelbagai agama dan kepercayaan, tetapi didasari oleh bangsa Melayu (termasuk Bumiputera) dan cirian ini menjadi asas pembentukan sebuah negara bangsa bersatu padu yang berpegang kepada nilai murni.

Status semasa bangsa Malaysia, umumnya mempunyai asas pendidikan tinggi, kedudukan ekonomi yang baik, pegangan amalan tradisi yang kukuh dan dengan munculnya Generasi-Y yang terdedah kepada senario amalan global - adalah sesuatu yang perlu diterima dan dihayati semua pihak.

Kepemimpinan negara perlu mengambil kira cirian modal insan begini bagi membina dasar pembangunan dan mengurus negara. Kepemimpinan negara juga perlu melihat alam sekitar dan sumber asli sebagai sumber terpenting negara.

Malaysia sangat bernasib baik kerana dirahmati dengan sumber minyak dan gas yang banyak, sumber mineral, batuan dan hutan yang meluas, kepelbagaian biologi, sumber air bersih yang melimpah dan tanah pertanian yang subur.

Bayangkan banyak negara dunia yang kekurangan dan ketiadaan sumber asli berdepan cabaran besar untuk mengurus negara. Jika pengurusan sumber ini tidak dilakukan secara lestari, negara bakal berdepan krisis sumber asli yang turut boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan kestabilan ekonomi.

Kementerian Sumber Asli perlu diberi peranan besar untuk menjadikan agenda Pembangunan Alam Sekitar sebagai wawasan negara yang kedua terpenting selepas pembangunan modal insan.

Dengan dasar jelas dan amalan baik, negara mampu mengurus sumber asli dan alam sekitar berasaskan gagasan Pembangunan Lestari dan beriltizam menjadi peneraju amalan yang dihasratkan untuk mengharungi abad ke-21 ini.

Lebih penting lagi, negara maju dan dihormati perlu mempunyai kepemimpinan yang berilmu, berwawasan, beretika dan berjiwa besar bagi memimpin komuniti negara dan dunia.

Kepemimpinan tidak saja berkaitan dengan pemimpin politik dan pentadbiran kerajaan, malah membabitkan kepemimpinan dalam konteks meluas.

Setiap sektor masyarakat perlu mempunyai pemimpin dan kepemimpinan berwawasan. Ini meliputi kepemimpinan ilmuwan (sarjana), kepemimpinan kerohanian (tokoh agama, ulama), kepemimpinan komuniti dan badan bukan kerajaan, masyarakat, perniagaan, sukan dan pelbagai lagi.

Perhatian perlu diberi kepada pemimpin keilmuwan, khususnya pemimpin mendahului zamannya. Mereka yang pakar dalam pelbagai bidang ilmu sains dan kemanusiaan, teknologi, perubatan dan kejuruteraan adalah pemimpin modal insan yang maju, berjiwa besar dan sanggup meneroka untuk kelestarian dan kebaikan masyarakatnya.

Kerajaan dan masyarakat perlu memberi ruang kepada pembangunan kepemimpinan pelbagai sektor ini untuk bergerak menjadi sebuah negara maju yang dihormati.

Peluang nilai cabaran getir

Kepemimpinan pentadbiran terbaru mempunyai peluang untuk menilai kembali cabaran getir yang sedang dihadapi negara, merancang dan membina strategi untuk mengatasinya dan lebih penting lagi membina semula kepercayaan masyarakat kepada kewibawaan dan kejujuran kerajaan yang memerintah untuk menaungi warganya.

Masanya untuk bersatu hati, berjiwa besar dan menghormati kepentingan ramai demi kepentingan negara. Perdana Menteri memilih barisan kepemimpinan pentadbiran untuk meneruskan agenda besar menjadi negara maju mengikut acuan sendiri dan berpendapatan tinggi.

Beliau juga perlu didampingi oleh sejumlah ilmuwan yang berupaya menempatkan ilmu di tempatnya dan menggunakan ilmu untuk kebaikan bangsa dan masa depan negara. Prof Emeritus Ibrahim Komoo Berita Harian Kolumnis 7 Ogos 2015
Tags: kabinet, pemimpin
Subscribe

Posts from This Journal “pemimpin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments