kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Padah gugat kewibawaan Bank Negara

MINTA maaflah kalau Kunta Kinte bincang banyak sikit hal ekonomi yang mungkin pembaca rasa berat dan susah nak ikut. Bukan apa, tapi sekarang ini banyak masalah dan isu ekonomi yang berat-berat berlaku di dunia dan di negara kita.

Ekonomi kita kena jangkit oleh faktor dalam dan luar. Lagipun, inilah asal usul pojok kita ini. Bila Kunta Kinte mula tulis pojok ini pada tahun 1987 dalam surat khabar kita ini, memang tugas Kunta Kinte tulis berkenaan ekonomi.

Saudara kembar tiga Kunta Kinte iaitu Kamikaze tulis hal politik dan Si Kitol tulis berkenaan masyarakat. Tapi hari ini tinggal Kunta Kinte saja.

Balik kepada isu ekonomi, Kunta Kinte harap sangat-sangatlah pandangan optimistik Agensi Penarafan Malaysia (RAM) iaitu ringgit Malaysia tak akan jatuh ke bawah RM4 bagi setiap dolar Amerika berasas dan jadi kenyataan.

Ahli ekonomi dan ketua penyelidik RAM, Kristina Fong kata, dia tak jangka nilai ringgit akan jatuh bawah RM4 sedolar tahun ini atau tahun depan.

Tapi dia akui ada banyak ketidaktentuan luar negara yang jadi punca turun naik nilai. Dia kata, kemeruapan nilai ringgit sejak setahun kebelakangan ini lebih banyak disebabkan oleh sentimen pasaran.

Orang yang faham hal ekonomi, kewangan dan mata wang sangat takut dengan apa yang berlaku sekarang. Mereka cukup takut kadar tukaran ringgit akan jatuh sampai RM4 atau lebih rendah.

Tiga sebab utama rizab jatuh

Isnin lalu, duit kita jatuh kepada RM3.8517 bagi setiap dolar Amerika iaitu paras paling rendah dalam masa 17 tahun.

Laporan dalam surat khabar The Star kata, ringgit adalah mata wang paling buruk prestasinya di Asia buat masa ini. Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, kita seolah-olah tak mampu atau tak ada masa nak tumpu perhatian kepada isu ekonomi dan kewangan.

Ahli ekonomi tentulah tidak mahu kaitkan apa yang sedang terjadi kepada ringgit sekarang dengan apa yang dalam ekonomi disebut kesan jangkitan (contagion effect).

Tapi suka tak suka, tanda-tanda jangkitan dah ada. Cuma kita nak mengaku atau tidak.

Macam Kunta Kinte dah kata, sebab nilai duit kita jatuh, kos import naik. Bila kos import naik ia jangkiti pula harga runcit. Baru-baru ini timbul satu lagi kesan jangkitan akibat jatuhan ringgit iaitu rizab mata wang asing Bank Negara merosot teruk.

Ada tiga sebab besar rizab jatuh iaitu Bank Negara guna rizab untuk pertahan ringgit, pengaliran keluar modal dan pembayaran hutang luar negara.

Dah 14 minggu berturut-turut modal asing mengalir keluar daripada Bursa Malaysia bila pelabur asing jual saham-saham syarikat tempatan.

Minggu lepas saja mereka jual saham bernilai RM845juta. Dalam tujuh bulan pertama tahun ini saja, mereka dah bawa keluar RM11.7 bilion daripada Bursa Malaysia berbanding RM6.9 bilion yang mereka bawa keluar sepanjang tahun lalu.

Ikut perangkaan Bank Negara, pada 15 Julai lalu rizab jatuh 4.7 peratus kepada AS$100.5 bilion berbanding dua minggu sebelum itu. Inilah paras paling rendah dalam masa lima tahun.

Pada paras itu, rizab Bank Negara cukup untuk bayar 7.9 bulan import tertahan (retained imports) dan 1.1 kali ganda hutang jangka pendek negara.

Kesan buruk rizab asing rendah

Ini sangat-sangat menakutkan sebab lagi rendah rizab asing, lagi lemahlah kedudukan ringgit. Nilai duit kita juga bergantung pada harga barangan utama macam minyak mentah, minyak kelapa sawit dan barang kilang yang semuanya jatuh.

Kejatuhan nilai ringgit bukan saja lonjakkan harga barang dan perkhidmatan import malah ia juga beri kesan buruk ke atas hutang, tak kira hutang kerajaan, hutang syarikat berkaitan kerajaan - macam 1MDB dan Khazanah - atau hutang syarikat swasta.

Mana-mana hutang yang dibuat berdasarkan dolar dan pada kadar tukaran terapung, akan jadi lebih mahal. Misalnya kalau kita pinjam AS$100 juta pada 15 Julai tahun lalu, kita kena bayar balik RM319 juta tak masuk faedah.

Tapi pasal nilai duit kita jatuh, jumlah itu dah naik jadi RM381 juta pada 15 Julai tahun ini. Bayangkan beban syarikat yang pinjam berpuluh bilion dolar dari luar negara.

Lagilah teruk beban hutang yang kena tanggung. Inilah yang berlaku kepada banyak syarikat negara kita, termasuk MAS, masa krisis kewangan Asia 1997/98 bila nilai ringgit jatuh sampai RM4.

Jadi kita wajiblah perkukuhkan pengurusan kewangan, fiskal dan mata wang negara. Jangan sekali-kali gugat Bank Negara atas apa alasan sekalipun.

Kalau Bank Negara kita hilang keyakinan dunia, duit kita akan merudum dan tak mustahil kita jadi macam Greece yang muflis atau Zimbabwe yang terpaksa buang langsung mata wang sendiri sebab dah tak laku.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, negara kita sekarang nampak macam tak berapa berkat.

Ada saja bala dan balasan yang timpa kita. Ini orang Islam kena fikir dan kena ubah apa yang tak betul, mungkar, syirik dan bidaah.

Wallahuaklam. Kunta Kinte Berita Harian Kolumnis 8 Ogos 2015
Tags: ekonomi
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments