kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Membentuk peradaban

MUKADIMAH - RAMAI pihak yang tidak menyangka DATUK SERI MAHDZIR KHALID akan membuat come back dalam politik.

Ada pihak yang menyangka kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sebagai jawatan terakhir sebelum "nyawa" politiknya berakhir. Apatah lagi dengan kedudukannya sebagai bekas Menteri Besar Kedah yang buat pertama kalinya tewas kepada Pas, membuatkan rekodnya sedikit tercalar.

Namun apabila nama beliau terpilih sebagai Menteri Pendidikan yang baharu, segalanya dilihat berubah.

Saya sudah lalui semua itu. Hari ini, kamu Menteri Besar tetapi besok hari, tidak adalah. Siapa pun tidak datang rumah lagi. Inilah politik," ujar Mahdzir kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI ketika di temui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau yang juga bekas pendidik turut meluahkan beberapa idea dan perancangan yang mungkin boleh dilakukan bagi menjayakan misinya di kementerian tersebut.

Guru di sekolah pun ada 500,000 orang dan sekolah sahaja ada 10,172 buah termasuk sekolah Cina dan Tamil. Maknanya, dari segi pengurusan, eloklah dipisahkan seumpama ini.

Oleh itu, kita akan lebih fokus," ujar beliau ketika ditanya signifikan perpisahan antara dua kementerian yang bergabung sebelum ini iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

MINGGUAN: Boleh Datuk Seri kongsikan bagaimana dapat tahu pelantikan sebagai Menteri Pendidikan?

MAHDZIR: Saya bersyukur kepada Allah SWT telah dirahmati dan diberi tempat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri memberi tanggungjawab kepada saya sebagai Menteri Pendidikan yang juga satu kementerian yang besar. Saya juga merakamkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas sumbangannya sebagai Menteri Pendidikan sebelum ini.

Saya kira kalau dikatakan sebagai tanggungjawab dan amanah sebab ia ada kaitan dengan modal insan dan bagaimana mahu memacu pendidikan negara. Ini sebenarnya bagi membentuk disiplin dan sahsiah masyarakat yang berilmu dan terpelajar. Ini bukan satu benda yang mudah.

Pada minggu lepas, saya masih ada program di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA). Pada hari Perdana Menteri buat pengumuman itu, saya ada mesyuarat di pejabat dan selepas itu saya ada temujanji dengan beberapa kumpulan yang datang berjumpa saya. Pada pukul 1 petang itu, saya ada jamuan Aidilfitri bersama Suruhanjaya Tenaga. Khabar angin sudah bertiup pada masa itu, Perdana Menteri hendak buat pengumuman rombakan pada pukul 3 petang.

Ada kawan-kawan dalam media pun beritahu hendak pergi ke Pejabat Perdana Menteri pada pukul 3 petang sebab ada sidang akhbar. Masa itu, saya ada di Suruhanjaya Tenaga. Saya makan pada pukul 1.30 petang dan saya keluar dari Suruhanjaya Tenaga dalam pukul 1.40 petang. Ada pegawai telefon beritahu saya, Perdana Menteri sudah selesai buat pengumuman dan cakap “Tahniahlah Datuk Seri sebab jadi Menteri Pendidikan”.

Selepas itu barulah dalam telefon bimbit saya, bertalu-talu ucapan tahniah masuk. Maknanya, Perdana Menteri buat pengumuman dengan tidak memberitahu orang-orang yang dilantik.

Jadi, apa perasaan Datuk Seri apabila mendapat tahu dilantik sebagai Menteri Pendidikan?

MAHDZIR: Saya berasa agak terkejut jugalah. Saya berlatar pendidikan. Kita tahu tugas ini bukan sesuatu yang mudah dan banyak cabarannya. Saya balik ke pejabat dan duduk sekejap. Selepas solat Zuhur, saya fikir banyak dan kemudian buat keputusan terima cabaran ini.

Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan, apakah fokus utama Datuk Seri selaku Menteri Pendidikan?

MAHDZIR: Saya fikir antara benda yang kita hendak lakukan ini bukan sekadar kejayaan dari segi akademik. Kalau kita cakap pasal kejayaan dalam akademik, dalam tempoh lebih 50 tahun kita merdeka, kalau ambil tahun 1970 bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), pembangunan pendidikan sudah berkembang.

Tetapi apa yang kita hendak hari ini adalah proses peradaban bangsa. Proses peradaban bangsa ini dibina di antara sistem pendidikan formal dengan pembangunan nilai dalam masyarakat itu sendiri. Sistem pendidikan formal akan berjalan dari prasekolah kemudian pergi kepada sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti. Tetapi pada masa sama, seluruh masyarakat itu dapat dibangunkan secara serentak.

Jadi, apakah nilai apa yang ada dalam masyarakat yang kita hendak bawa? Nilai seperti disiplin, kesungguhan, pemuafakatan dan beberapa nilai lain yang boleh dimasukkan sekali. Bangsa-bangsa yang maju dalam dunia hari ini, kita tengok proses peradaban bangsa itu berjalan serentak. Walaupun proses pemodenan itu berlaku, nilai tradisional yang ada dalam diri seseorang itu masih ada. Ini kalau kita rujuk kepada bangsa Korea (Selatan) dan bangsa Jepun.

Selepas dilantik sebagai Menteri Pendidikan, apakah Perdana Menteri ada memberikan satu tugas khas yang perlu dilaksanakan dalam pembangunan pendidikan negara?

MAHDZIR: Dasar sudah ada, apa yang difokuskan oleh kementerian bukan mengenai dasar atau peraturan tetapi lebih kepada pelaksanaan. Pelaksanaan itu hendaklah dijayakan. Pelaksanaan ini, yang pertama sekali apabila bercakap tentang sekolah adalah guru yang boleh membantu. Guru itu satu fokus. Kemudian yang kedua, pelajar sekolah dan ketiga, pembangunan infrastruktur. Saya selalu sebut, pembangunan ini melibatkan sekolah di bandar, pinggir bandar dan luar bandar. Sekolah di luar bandar ini elemennya ada tiga. Satu, sekolah di kampung. Yang kedua, sekolah di hulu dan ketiga, sekolah di pedalaman.

Jadi, ada lima zon yang perlu tengok kalau cakap pasal infrastruktur. Kita masih ada sekolah yang belum ada bekalan elektrik dan menggunakan janakuasa. Jadi komponen yang saya sebut tadi iaitu guru, pelajar dan pembangunan infrastruktur. Kemudian baru datang yang keempat iaitu kurikulum iaitu apa yang hendak dihidangkan kepada anak-anak di sekolah. Yang kelima, yang hendak diberi sokongan kepada sistem ini adalah masyarakat. Ibu bapa hendak lihat kejayaan anak-anak. Jadi, kesedaran masyarakat itu perlu tinggi.

Sebelum ini Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi (kini Kementerian Pendidikan Tinggi) digabungkan sebagai satu kementerian tetapi kini kembali diasingkan. Apakah Datuk Seri melihat ini akan mengganggu sistem pendidikan itu sendiri atau lebih memudahkan?

MAHDZIR: Bagi saya inilah yang terbaik. Sebab ada pengurusan tersendiri yang melibatkan kolej dan satu kelas di atas ini, diuruskan oleh pengurusan lain manakala sistem persekolahan ini diuruskan oleh satu pengurusan lain. Guru di sekolah pun ada 500,000 orang dan sekolah sahaja ada 10,172 buah termasuk sekolah Cina dan Tamil. Oleh itu, dari segi pengurusan, eloklah dipisahkan seumpama ini. Maknanya, kita akan lebih fokus.

Kerajaan membuat pelaburan besar dalam bidang pendidikan sejak sekian lama. Dalam Belanjawan 2015 sahaja, kerajaan memperuntukkan RM56 bilion kepada Kementerian Pendidikan. Namun, negara berada dalam kedudukan tercorot dalam ujian piawaian antarabangsa seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) serta Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS). Mungkin ada aspek yang terlepas pandang?

MAHDZIR: Kita perlu lihat masalah itu datang dari mana, sama ada sistem atau kekurangan guru atau minat murid itu sendiri di sekolah. Itu hendak kena tengok. Kita kena perhalusi perkara ini. Kita tidak boleh membuat kesimpulan mudah sistem pendidikan kita bermasalah. Kita telah melalui proses yang lama dan dalam sistem pendidikan kita sudah ada kejayaan.

Cuma barangkali apa yang hendak kita buat hari ini, macam mana hendak mengurus kejayaan yang ada. Kalau ambil tahun 1970 sampai hari ini, dalam tempoh 45 tahun itu sudah ada pelbagai kejayaan sama ada dalam Matematik dan Sains. Dalam satu masa lain, kita ada masalah dengan kurikulum pelajaran. Kita kena tengok macam mana mata pelajaran Sains dan Matematik yang berada di kedudukan tidak seronok di dengar.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ada menegur tentang masalah sistem sekolah pelbagai aliran dan melihat perlu dilakukan sesuatu. Apa pandangan Datuk Seri dalam hal ini?

MAHDZIR: Saya rasa perkara yang patut menjadi fokus ialah nilai bersama di antara budak Melayu, Cina, India dan budak-budak kaum lain. Kalau kita tidak ada nilai bersama daripada awal, umur 17 tahun baru jumpa semasa hendak masuk kolej. Sebab seluruh sistem itu duduk dalam sistem masing-masing. Kita ada program dipanggil Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Jadi, kita hendak kena perkukuhkan RIMUP ini. Contohnya, sekarang apa benda yang boleh ketemukan anak bangsa yang berlainan kaum ini di peringkat rendah?

Mungkin atas sifat sukan atau kebudayaan dan aktiviti luar darjah. Jadi, apa salahnya kalau kita jadikan sukan, kebudayaan dan aktiviti luar darjah ini untuk mewujudkan perpaduan. Kita bentuk penglibatan itu dalam kumpulan yang kecil. Contohnya, di kawasan A ada dua sekolah Cina, tiga sekolah kebangsaan dan sebuah sekolah Tamil. Jadi, buatlah sukan dan pesta kebudayaan yang melibatkan enam sekolah ini. Tidak payahlah pergi berlawan dengan sekolah yang jauh. Kita buat yang dekat ini. Kalau hendak mula dari tahun satu pun boleh. Contohnya, pengawas sebuah sekolah ada 20 orang.

Kalau darabkan dengan enam buah sekolah ini, maknanya jumpa 120 orang. Kita adakan satu kursus kepimpinan sekolah selama dua hari satu malam melibatkan anak Cina, Melayu dan India. Ini contoh bagaimana titik nilai yang sama boleh dicari. Itu perlu ada mekanisme tersendiri nanti. Kita tidak boleh buat sekolah satu aliran sebab kita sudah lama amalkan sistem sedia ada. Macam mendiang Lee Kuan Yew, ketika menjadi Perdana Menteri Singapura, beliau tutup semua sekolah berasaskan kaum dan berubah kepada satu sistem persekolahan.

Kalau kita hendak buat seperti itu, memang agak susah tetapi kita masih boleh mencari pilihan-pilihan yang lain. Tetapi semua kaum kena ada semangat untuk membentuk negara bangsa. Kalau hanya satu kaum sahaja ada perasaan hendak bentuk negara bangsa tidak jadi juga. Suruh hantar budak dalam program tak hantar, tak guna juga. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 mungkin akan diberikan tambah nilai dengan aspek-aspek ini.

Bagaimana Datuk Seri melihat tentang guru yang bukan setakat melaksanakan tugas sebagai pendidik, malah mempengaruhi kecenderungan politik pelajar di sekolah?

MAHDZIR: Saya ingat kalau kita ambil sejarah atau latar belakang, golongan guru berada di barisan hadapan dalam membentuk negara bangsa, sama ada dari segi sahsiah. Pada waktu itu, kalau kita bercakap tentang orang Melayu, belum ada lagi ahli perniagaan dan profesional. Jadi, guru yang paling banyak di hadapan. Jadi guru yang memegang jawatan dalam parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Apabila tiba satu masa, ada sekatan untuk guru aktif dalam politik, ramai ambil keputusan untuk berundur secara terhormat. Apabila dibuka balik untuk kumpulan A misalnya kembali berpolitik, ia sudah jadi macam “basi”.

Jadi, lambat sedikit untuk datang balik. Pada waktu itu juga timbul satu istilah “politik kebencian” misalnya. Jadi, guru ini berada dalam keadaan bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Bagi saya, guru-guru yang ada di sekolah ini, bukan sangat menyokong pembangkang. Kalau memang keluarga mereka daripada penyokong pembangkang, itu tidak boleh buat apalah. Tetapi majoriti guru yang ada di sekolah bukan dalam kalangan mereka yang totok menyokong pembangkang.

Cuma barangkali atas masalah setempat yang akhirnya mereka dilihat macam tak berapa menyokong kerajaan. Tetapi pada saya, kalau kita boleh berterus-terang, berjumpa dan mempunyai program yang jelas, saya ingat ramai guru boleh membantu. Cuma, kena meyakinkan dan beri komitmen tentang agenda dan program kerajaan. Tetapi bagi saya, penglibatan dengan guru-guru perlu dibuat. Yang keduanya, macam saya kata tadi istilah “antara dua darjat”, kita kurangkan protokol. Kalau hendak pergi ke sekolah di kampung atau hulu, tidak payah berkot atau bertali leher walaupun kita dalam Kementerian Pendidikan.

Kita boleh pakai baju korporat. Kemudian tidak payahlah budak kena buat persiapan selama 10 hari untuk sambut menteri. Macam bernasyid atau berkoir. Jadi, budak-budak tidak belajar. Kita perlu buat anjakan paradigma. Perlu ada paradigma baharu.

Bercakap tentang politik, ada pihak melihat kenaikan pangkat Datuk Seri dan pelantikan semula Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Johari Baharum sebagai usaha mengganggu gugat kedudukan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. Sejauh mana kebenarannya?

MAHDZIR: Saya pernah mengalami kekalahan negeri sewaktu saya menerajui kepimpinan. Sebab kalah, yang pertama katanya tsunami politik tetapi sebab yang kedua ialah pertelingkahan dalaman. Tsunami politik ini melibatkan orang Cina dan India tetapi kita juga kalah di beberapa kerusi sebab pertelingkahan dalaman, kita tidak puas hati sesama kita. Orang lama dengan orang baharu dan orang ada jawatan dengan orang tidak ada jawatan.

Akhirnya, jadi kumpulan, jadi puak dan kita pergi kepada perpecahan. Apabila datang pilihan raya, mereka kata “Apa jadi, jadilah. Asalkan awak tak menang.” Akhirnya kita kalah. Lepas itu, kita mula bangun balik di Kedah. Saya percaya kepada solidariti kepimpinan di semua peringkat daripada kampung, bahagian dan negeri tidak menoleh ke belakang, semua buat kerja.

Macam dulu, ayatnya “Kalau kau, matilah kau.” Tetapi semasa solidariti “Siapa pun tidak apa, asalkan menang.” Maknanya, gerak kerja dan tumpuan kita sampai. Kita boleh sampai ke tahap mengira setiap pengundi di kawasan masing-masing. Maknanya, setiap orang daripada kepimpinan buat kerja. Orang inilah juga yang buat kerja (kerajaan negeri) tambah lagi Mukhriz sebagai Menteri Besar.

Saya melihat bagaimana komponen yang ada sama ada di negeri atau Persekutuan boleh memberi bantuan untuk melihat pilihan raya akan datang. Politik pada saya, itulah yang dikehendaki. Kita menjeritlah dan buatlah apa pun dalam parti, kalau kita kalah, sebenarnya tidak ada apa-apa pun.

Sebab saya sudah lalui semua itu. Hari ini, kamu Menteri Besar tetapi besok hari, tidak adalah. Siapa pun tidak datang rumah lagi. Inilah politik. Saya ingat Perdana Menteri punya fokus. Beliau hendak tengok macam mana Datuk Mohd. Johari Baharum, saya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah boleh membantu Kedah.

Tags: kabinet, pendidikan
Subscribe

Posts from This Journal “pendidikan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments