kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik Awang Selamat ~ SPRM lawan Polis, Rumah Tangga Manek Urai Buat Suami

SPRM vs polis

Ketegangan hubungan antara Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi isu paling panas diperkatakan sekarang.

SPRM mendakwa penahanan beberapa pegawainya sebagai cubaan mengganggu siasatan terhadap kes 1Malaysia Development (1MDB) sementara polis menegaskan ia bagi menangani kes kebocoran maklumat dokumen rasmi.

Setakat hari ini, sentimen orang ramai lebih memihak kepada SPRM tetapi hal seperti ini tidak mengejutkan Awang.

Begitu juga keadaannya di Indonesia yang kerap menyaksikan perbalahan antara Komuniti Pencegah Korupsi (KPK) dan Polis Republik Indonesia (POLRI). Masyarakat di sana juga menyokong KPK.

Dalam konteks sejarah hubungan SPRM dan Polis, belum pernah berlaku situasi sebagaimana sekarang. Kini, gelombang kemarahan SPRM sudah sampai mesejnya kepada semua pihak. Pada masa yang sama, Awang yakin dengan jaminan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar bahawa tidak timbul soal polis mengganggu siasatan SPRM (badan bebas, telus dan profesional seperti termaktub dalam Akta SPRM 2009).

Para pegawai SPRM yang diakui komited memerangi rasuah dan salahguna kuasa, juga harus menerima hakikat peranan polis.

Kebocoran maklumat menjadi ancaman besar kepada negara dan polis berhak melaksanakan tanggungjawab mereka biarpun perlu menyoal dan menahan pegawai SPRM. Sesiapa pun tidak terkecuali. Kepentingan keselamatan negara mengatasi segala-galanya. Di banyak negara terutama China, tiada kompromi dalam perbuatan membocorkan maklumat dan dokumen rasmi yang hukumannya amat berat.

Awang berharap kemelut SPRM dan polis dapat diselesaikan segera. Kedua-dua institusi penting negara itu perlu terus dihormati dan diyakini, bukannya sebaliknya. Khalid dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed boleh merintis kepada pemulihan hubungan dengan mengambil semangat bulan Syawal. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

DAP menangguk

Seperti yang dijangka, DAP bersama PKR dan Gerakan Harapan Baru atau GHB (kumpulan serpihan yang ditolak oleh akar umbi Pas) bertindak cepat menangguk di air keruh dalam isu siasatan polis ke atas beberapa pegawai SPRM.

Kalau selama ini, DAP banyak menghina dan mentohmah SPRM terutama dalam kes kematian Teoh Beng Hock, kali ini mempertahankannya.

Hanya disebabkan siasatan SPRM melibatkan pemimpin kerajaan maka parti itu tanpa rasa malu mahu berbaik dengan SPRM sambil menyerlahkan sekali lagi siapa sebenarnya musang berbulu ayam.

Sebab itu Awang senyum lebih-lebih lagi melihat gambar penasihat DAP, Lim Kit Siang di pejabat SPRM di Putrajaya.

Cuma agak hairan mengapa SPRM dalam situasi yang panas membenarkan delegasi pembangkang masuk ke bangunan dan berdialog.

Seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan pegawai tertentu dan ia mengundang pelbagai tafsiran termasuk dilihat "cuba bermain politik".

Memandangkan Kit Siang mahu jadi hero, Awang berharap DAP setuju untuk telus dalam soal mendedahkan sumber dana politik.

Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak telah menyatakan komitmen Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat untuk berbuat demikian, mengapa DAP masih enggan. Jika benar-benar mahu membuktikan integriti, tidak perlu takut melainkan memang terlalu banyak yang mahu disembunyikan.

Kasih Meliah

Awang tidak dapat menahan sebak melihat gambar Abd. Rahman Saud, 64, orang kurang upaya (OKU) apabila dipangku jiran-jiran untuk menatap wajah ibunya, Meliah Md. Diah, 101, buat kali terakhir.

Abd. Rahman yang hanya mampu berbaring, tidak boleh berjalan mahupun bercakap sejak lahir kerana diserang sawan, sudah hilang tempat bergantung.

Meliah meninggal dunia di sisi anak di Padang Terap, Kedah, kelmarin. Selama ini, Rahman mendapat bantuan sepenuhnya daripada Meliah, yang kematian suami 20 tahun lalu. Dimandikan, disuapkan makanan dan disalinkan pakaian. Semua itu diuruskan Meliah sepanjang 64 tahun tanpa mengeluh dan putus asa.

Kisah ketabahan wanita tua itu mendapat perhatian masyarakat selepas disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 8 Februari tahun lalu.

Kasih sayang Meliah kepada anak bongsunya itu tiada bandingan. Biarpun sudah uzur dan selalu tidak sihat, dia tidak sedikitpun mengalah. Malah bertekad untuk terus menjaga anaknya. Ketika menghembuskan nafas terakhir Meliah berpesan kepada seorang anak saudaranya agar tolong menjaga Rahman, yang kita juga harus terpanggil mengambil berat tentang lelaki OKU itu. Awang tersentuh dengan pengorbanan wanita hebat ini. Kasih ibu membawa ke syurga. Al-fatihah.

Mat Hassan, rumah

Lebih 30 tahun lalu, penyanyi Sohaimi Mior Hassan telah menzahirkan keresahan yang mendalam tentang harga rumah untuk rakyat.

"Aku sering memikirkan harga rumah, makin melambung tinggi, langsung tiada batasnya," antara lirik dalam lagu Apabila Isteriku Tertawa.

Sampai hari ini, isu tersebut terus membelenggu masyarakat termasuk golongan berpendapatan sederhana. Pelbagai langkah dan inisiatif telah diambil oleh Kerajaan Pusat tetapi nampaknya seperti tidak memadai. Ternyata banyak lagi yang perlu dilakukan, bukan sahaja oleh Kerajaan Pusat malah semua pihak.

Sebab itu, Awang teruja dengan polisi perumahan yang perkenalkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan iaitu 50 peratus daripada pembangunan mesti dibina rumah mampu milik.

"Kita mahu pemaju membina rumah mampu milik, bukan mampu tengok," kata beliau. Awang angkat topi kepada Mohamad atas ketegasan beliau dalam isu rumah mampu milik.

Biarpun tidak disenangi oleh banyak pemaju, beliau tidak terganggu. Awang sangat setuju. Memang kerajaan perlu lebih campur tangan dan kawal selia supaya polisi perumahan lebih adil kepada rakyat.

Bukan itu sahaja, Mohamad merintis pembaharuan. Di bawah polisi baharu, pemaju yang membangunkan kawasan perumahan melebihi 40 hektar perlu menyediakan pengangkutan bas dalaman bagi kemudahan penduduk.

Pendekatan Mohamad, tidak mahu menambahkan beban rakyat benar-benar diterapkan. Beliau tetap bertegas tidak membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu menaikkan cukai taksiran sejak beberapa tahun lalu. Sebaliknya kerajaan negeri diarah menjana pendapatan melalui pelaburan yang agresif di kawasan Sendayan, Nilai dan Seremban serta inovasi lain dalam mempelbagai sumber kewangan negeri. Itu cara Mohamad. Syukur.

Manek Urai

"Inilah majlis terbesar di Manek Urai selepas banjir besar. Terima kasih kerana berkongsi kegembiraan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan kami semua penduduk di sini."

Demikian antara ucapan ringkas Penghulu Kampung Manek Urai Lama, Che Din Noh pada majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri anjuran Kumpulan Utusan di padang SK Manek Urai Lama, Kuala Krai, Jumaat lalu.

Di padang itu dan rata-rata kawasan sekitar Manek Urai ditenggelami banjir besar yang melanda Pantai Timur pada Disember 2014. Para penduduk di situ paling terjejas teruk dan ramai yang masih trauma terutama yang hilang tempat tinggal.

Awang yang turut hadir tersentuh dengan ucapan Che Din. Rupa-rupanya majlis itu begitu besar makna buat penduduk Manek Urai. Lebih 5,000 hadir memeriahkan majlis. Mereka menikmati pelbagai juadah dan dihiburkan dengan persembahan dikir barat pimpinan Sabri Yunus serta artis Izzue Islam. Lebih 1,000 sampul berisi duit rakyat turut diedarkan kepada kanak-kanak dan golongan yang memerlukan. Sebagai insan dan pengamal media, Awang puas melihat riak-riak keceriaan di wajah mereka. Juga syukur, kerana syarikat akhbar tempat Awang bekerja membawa majlis raya khas nun jauh di penempatan rakyat yang ditimpa musibah. Ketika kita semua sibuk dengan majlis-majlis rumah terbuka termasuk yang gah dan dilimpahi makanan, Manek Urai - simbol kesengsaraan mangsa banjir di seluruh negara - tidak dilupakan.

Buat suami...

Apa agaknya reaksi suami jika dikejutkan ketika sedang lena tidur pukul 3 pagi oleh isterinya, bukan kerana kecemasan tetapi isu dan hal dalam telefon bimbit?

Seorang kenalan baru-baru ini menceritakan pengalaman beliau yang disifatkannya sebagai detik menakutkan. Rupa-rupanya telefon dia sudah diceroboh oleh si isteri.

Lalu ada teks dan gambar yang menyebabkan isterinya naik angin dan tidak keruan. Maka bertalu-talu tuduhan dan andaian bahawa si suami bermain kayu tiga dan sebagainya.

Sebenarnya sudah banyak kali Awang mendengar sendiri kisah seperti ini seolah-olah menjadi fenomena. Penggunaan telefon bimbit yang banyak manfaat turut membawa cabaran kepada rumah tangga. Secara peribadi Awang tidak setuju telefon bimbit diceroboh. Telefon adalah umpama diari. Tidak manis untuk mengetahui kandungan diari orang lain, begitu juga telefon.

Lagipun pun, ada perkara-perkara dalam kehidupan ini yang lebih baik jika kita tidak tahu. Ini termasuk kata laluan telefon pasangan kita melainkan memang itu dipersetujui bersama. Pada Awang, kebahagian rumah tangga bukan ditentukan oleh perkongsian kata laluan. Kejujuran dan saling percaya adalah polisi yang terbaik. Apa pun, kepada suami yang kategori nakal, berwaspadalah. Pastikan elak telefon diceroboh jika tidak mahu dilanda tsunami. Jangan ambil mudah naluri isteri. Nasihat Awang, jika dikejutkan isteri daripada tidur dalam kes seperti itu, bertenang dan usah melenting kepada isteri. Biarkan sahaja. Pulihkan hari anda kemudian dengan renungi diri dan perbanyakkan senyuman.

Di banyak negara terutama China, tiada kompromi dalam perbuatan membocorkan maklumat dan dokumen rasmi yang hukumannya amat berat...

- Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 9 Ogos 2015
Tags: keluarga, keselamatan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments