kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Gajet, internet sumber rujukan pelajar abad 21

KEPERLUAN membaca terutama dalam kalangan pelajar mengalami peralihan daripada keperluan membaca bahan bercetak kepada membaca bahan yang diperoleh melalui internet.

Walaupun ia nampak mudah, namun dalam kalangan pelajar terutama yang berada di institusi pengajian tinggi, sumber ini turut mempunyai permasalahannya.

Untuk itu, beberapa strategi perlu dalam mengatasi permasalahan ini dalam meningkatkan tahap pemahaman mereka terhadap bahan ilmiah yang diperoleh melalui internet, seterusnya membantu pelajar dalam usaha menyiapkan tugasan, menjawab soalan kuiz dan ketika membuat persiapan menghadapi peperiksaan.



KEMUDAHAN internet menjadi keperluan pelajar abad ke-21 dalam menguasai pembelajaran. - Foto hiasan

Oleh kerana kebanyakan bahan bacaan ilmiah di internet adalah dalam bahasa Inggeris, ramai pelajar menghadapi masalah memahami apa yang dibaca sepenuhnya disebabkan kurangnya penguasaan kosa kata serta terminologi dalam disiplin akademik bagi bahasa Inggeris.



ANTARA laman web dan kamus dalam talian yang memberikan pelbagai kemudahan kepada pelajar.

Kamus atas talian percuma

Namun, semua ini boleh diatasi melalui penggunaan kamus secara atas talian. Kamus atas talian memberikan pelbagai kemudahan kepada pelajar.

Antara kelebihannya, ia ditawarkan secara percuma. Selain itu, ia turut memberikan panduan tatacara sebutan dengan betul.

Pelajar hanya perlu mendengar cara sebutan perkataan berkenaan dan meniru sebutan itu. Ada dua jenis sebutan yang biasa digunakan iaitu sebutan cara British dan sebutan cara Amerika.

Ada juga kamus secara atas talian yang menggunakan visual  bagi membantu dan meningkatkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu persoalan atau permasalahan.

Bagi pelajar dalam bidang sains dan perubatan, mereka boleh melayari laman web Merriam-webster online dictionary memandangkan di dalamnya terkandung definisi bagi terminologi bidang sains dan perubatan.

Selain itu, ada juga kamus atas talian lain yang tidak kurang popular dalam kalangan pelajar iaitu DictionaryReference.com.

Ini memandangkan, kamus ini menggunakan perkataan yang mudah untuk difahami pelajar terutama mereka yang lemah dalam bahasa Inggeris.

Ada kalanya, kamus yang menggunakan perkataan agak kompleks sehingga menyukarkan pelajar memahami definisi diberikan.

Malah, ada juga kamus atas talian yang menyenaraikan cadangan perkataan mempunyai pengertian hampir menyamai sesuatu perkataan cuba dicari pelajar.

Pelajar juga boleh menggunakan Google Images memaparkan imej yang memberi gambaran sesuatu perkataan. Contohnya, perkataan gallbladder stones.

Pelajar hanya perlu menaip perkataan berkenaan menggunakan Google Images dan imej berkaitan batu hempedu boleh dilihat melalui paparan imej di skrin komputer. Penggunaan Google Translate juga didapati agak popular dalam kalangan pelajar.

Google Translate membantu pelajar mendapat gambaran kepada makna bahan bacaan berkenaan.  Namun begitu, terjemahan yang diberikan tidak memberi makna tepat.

Contohnya, perkataan bahasa Inggeris Run! There's a fire memberikan terjemahan 'Jalankan. Kebakaran berlaku.' Namun begitu, terjemahan sebenar ialah 'Lari! Terdapat kebakaran.'

Ada juga bahan bacaan daripada laman web tertentu yang menggunakan kosa kata sukar dan memaparkan informasi terlalu baharu kepada pelajar.

Oleh itu, untuk memahami bahan bacaan berkenaan atau sesuatu topik yang sukar difahami, ada beberapa laman web yang boleh membantu seperti SlideShare dan juga YouTube.

SlideShare adalah laman web yang banyak menggunakan Powerpoint. Ia menggunakan tulisan yang besar dan adakalanya diiringi audio yang memberi penerangan mengenai topik berkenaan.

Laman web YouTube pula memaparkan video yang mengandungi rakaman sesuatu pengajaran, penjelasan, proses atau sebuah lakonan.




LAMAN web Blendspace memudahkan pelajar mendapat bahan pembelajaran daripada pengajar.

Ruang pengajar muat naik bahan pengajaran

Selain itu, pelajar juga boleh membuka akaun dan melayari laman web Blendspace. Laman web Blendspace menyediakan ruang kepada tenaga pengajar untuk memuat naik bahan pengajaran mereka dan latihan berkaitan dengan topik pengajaran.

Pelajar juga boleh menggunakan laman web lain yang mempunyai topik sama atau hampir sama dengan menggunakan Google Scholar.

Penggunaan hyperlink yang ada dalam bahan bacaan turut memberi kemudahan kepada pelajar melayari laman web berkaitan. Ini memudahkan mereka membina pengetahuan asas mengenai topik ingin mereka fahami.

Pengetahuan asas ini seterusnya membantu pelajar memahami bahan bacaan lebih sukar. Ini memandangkan mereka boleh mengaitkan pengetahuan dari bahan bacaan atau laman web lain kepada bahan asal yang ingin mereka fahami.

Ada laman web yang menggunakan saiz tulisan terlalu rapat, padat dan kecil.

Situasi ini menyebabkan pelajar kurang minat ketika membaca bahan berkenaan dan mudah hilang tumpuan terutama pelajar dewasa kerana mata mudah sakit apabila perlu membaca bahan bacaan dalam situasi berkenaan.

Warna latar belakang dan iklan yang tidak berkaitan juga mampu mengganggu pembacaan pelajar. Bagi membantu mengatasi masalah ini, pelajar boleh diajar menggunakan Zoom atau copy dan paste maklumat berkaitan dan memindahkannya ke perisian Microsoft Word.

Ini membantu pelajar membaca dalam keadaan lebih selesa kerana mereka boleh membesarkan ukuran tulisan dan menukar jenis tulisan mengikut keselesaan dan kesesuaian.

Selain itu, mereka juga boleh membuang iklan yang mampu mengganggu tumpuan mereka. Perisian Microsoft Word  juga dapat membantu pembaca dengan menyediakan kemudahan seperti Synonyms, Translate dan Search with Bing.


Pelajar juga boleh menulis komen dan menukar warna sesuatu ayat bagi tujuan ulang kaji dan sewaktu membuat nota. Satu lagi strategi pembacaan adalah dengan melakukan perbincangan bersama rakan-rakan.

Perbincangan boleh dilakukan secara bersemuka atau secara atas talian seperti aplikasi WhatsApp, Telegram dan Facebook.



ANTARA laman web dan kamus dalam talian yang memberikan pelbagai kemudahan kepada pelajar.

Perbincangan guna kumpulan WhatsApp

Pelajar boleh membuka sebuah kumpulan perbincangan menggunakan kumpulan WhatsApp. Adakalanya jadual kerja yang padat menyebabkan pelajar tidak dapat memperuntukkan masa bagi berbincang secara bersemuka.

Dengan itu, perbincangan atas talian adalah kemudahan yang boleh digunakan untuk tujuan lebih memberi faedah.

Pelajar boleh mengajukan sebarang pertanyaan dan rakan lain boleh menjawab dengan cepat walaupun mereka tidak berada berdekatan.

Pengetahuan pelajar akan saling lengkap melengkapi. Pelajar akan berasa mereka tidak lagi sunyi. Mereka akan lebih bermotivasi untuk belajar. Moto yang selalu saya gunakan bersama pelajar ialah 'Sharing is Caring'.

Ada juga pelajar yang kurang terbabit dalam perbincangan secara bersemuka dalam kelas, tetapi menjadi aktif sewaktu perbincangan atas talian.

Mereka berasa diberi peluang yang sama rata dan tidak perlu menonjolkan suara kuat dan bentuk fizikal. Ada pelajar yang berasa suara mereka terlalu perlahan atau rupa fizikal mereka kurang menarik dan keadaan ini menjadikan mereka malu untuk berbincang secara bersemuka.

Pelajar boleh memperbetulkan ayat dan isi perbincangan mereka sehingga mereka yakin untuk dikongsikan secara bersama.

Penggunaan aplikasi WhatsApp dan Telegram adalah perbincangan yang sangat popular kini kerana ia percuma. Gambar, pautan serta video boleh dikongsi.

Kesimpulannya, pembacaan pada abad ke-21 banyak membabitkan penggunaan gajet dan internet bagi membantu pelajar dalam meningkatkan tahap pemahaman mereka.

Oleh itu, strategi pembacaan perlu diubah selari perubahan masa dan keperluan.
Tags: baca, ict, internet, membaca, read, reading
Subscribe

Posts from This Journal “ict” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments