kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Derma RM2.6 bilion dan integriti UMNO SPRM, rakyat bersama anda

Pertama sekali saya mahu menegaskan bahawa tulisan ini tidak ada sesuatu yang baharu mengenai isu besar yang negara kita hadapi sekarang iaitu skandal 1MDB, derma RM2.6 bilion dan kewujudan ‘tangan ghaib’ yang didakwa mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Semua­nya perkara lapuk sebab sudah banyak diperkatakan sama ada di tepi-tepi jalan, warung mamak, restoran lima bintang mahupun dalam kalangan pemimpin.

Daripada perkara-perkara lapuk yang saya kutip di tepi jalan, dalam kalangan pemimpin malah wartawan-wartawan muda yang tidak taksub kepada politik kepartian, sebahagian besar daripada mereka tertanya-tanya kemampuan UMNO berhadapan dengan rakyat dalam kempen Pilihan Raya Umum ke - 14 (PRU-14). Masanya sudah tidak lama, mungkin tiga tahun lagi. Kata mereka, kalau isu ini tidak diuruskan dengan bijak, kesannya UMNO akan kehabisan modal untuk bercakap mengenai integriti. Saya sangat setuju dengan kumpulan penganalisis senyap ini.

Dulu semasa pemecatan Anwar Ibrahim tercetus gelombang penentangan yang besar. Tetapi UMNO bertindak bijak dan ber­tanggungjawab untuk tidak menyekutukan parti dengan masa­lah moral pemimpinnya. UMNO dilihat tidak melindungi pemimpin yang mempunyai masalah moral. Syabas kepada UMNO.

Dalam situasi sekarang, seharusnya UMNO tidak melibatkan diri dalam isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi. Anggaplah itu milik peribadi dan UMNO seharusnya tahu batas-batas peribadi. Lagi pun sejak awal lagi The Wall Street Journal hanya mengatakan dalam akaun peribadi. Tetapi pelbagai lapisan pemimpin dalam UMNO menafikan "tuduhan" itu dan dianggap "tidak masuk akal". Ironinya apabila SPRM mengesahkan, UMNO mengaku pula duit itu untuk parti.

Kalau UMNO mahu dilihat sebagai menjunjung integriti, berkerja kuatlah menjelaskan kepada rakyat bahawa derma itu bukan untuk UMNO. Jangan kelirukan rakyat antara derma dan dana politik. Sekarang sudah ada kecenderungan mengalih isu derma dalam akaun peribadi kepada istilah dana politik. Rakyat marhaen yang dunia mereka sebesar tempurung faham benar perbezaan antara kedua-duanya.

Ini kerana, dana politik disalurkan dalam akaun parti dan melalui proses pengauditan. Tetapi derma dalam akaun peribadi adalah hak peribadi penerima. Kata rakyat marhaen, UMNO janganlah pandai-pandai menganggap hak peribadi sebagai hak UMNO. Oleh yang demikian, UMNO perlu menegaskan bahawa derma RM2.6 bilion itu adalah hak peribadi. Jangan menganggap hak parti sedangkan pemimpin parti sendiri tidak tahu menahu tentang kewujudannya. Pelik bukan?

Saya petik jawapan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Shahrir Samad terhadap soalan nombor empat anak Menteri Besar Johor, Akmal Saufi Mohamed Khaled seperti yang disiarkan Utusan Malaysia semalam. Saya harap Utusan Malaysia tidak "salah taip" atau "salah lapor".

Soal Akmal Saufi, jika duit itu adalah sumbangan kepada UMNO, adakah kepimpinan UMNO terutama Majlis Tertinggi mengetahui tentang derma itu?

Jawapan Shahrir: Selama saya dalam Majlis Tertinggi UMNO atau Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri, soal derma tidak pernah dibangkit atau didedahkan kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi dan perhubungan negeri.

Ini jelas menunjukkan derma itu bukan kepada UMNO. Maka penat lelah Pengarah Strategik dan Komunikasi Barisan Nasional (BN), Rahman Dahlan yang membina persepsi bahawa dana politik bukan suatu yang luar biasa sudah tidak relevan langsung. Kita bercakap tentang isu yang lain. Dalam laporan Astro Awani, Rahman berkata, dana politik yang diterima Perdana Menteri Najib Razak adalah satu perkara biasa yang sememangnya telah diamalkan pemimpin terdahulu lagi.

“Dari zaman Dr. Mahathir lagi, namun ketika itu dana dipegang oleh individu bukan ahli dan Dr. Mahathir pernah menyuarakan kekecewaannya kerana sukar mendapatkan kembali harta dan wang UMNO kerana dipegang oleh individu lain,” kata Rahman kepada Astro Awani. Tetapi minta maaf Yang Berhormat, ini sudah terkeluar tajuk. Kita bercakap tentang derma bukan dana politik.

Saya yakin UMNO mampu berhadapan dengan rakyat dengan syarat tidak melibatkan diri dengan derma itu. UMNO boleh mencari dana lain untuk membantu parti dan disalurkan mengikut prosedur yang betul, walaupun dana politik sebe­narnya tidak berapa betul. Tetapi kerana pemimpin UMNO kata itu diamalkan di seluruh dunia, tidak mengapalah. Bagaimanapun keadaan sekarang diibarat­kan hidung tidak mancung tetapi pipi UMNO tersorong-sorong kononnya duit sebanyak itu milik mereka.

SPRM, rakyat bersama anda

Tragedi yang berlaku kepada SPRM di mana beberapa pegawai-pegawai yang menyiasat kes profil tinggi syarikat SRC International ditahan oleh polis hingga melumpuhkan siasatan tidak boleh dipandang ringan.

Tidak cukup itu ditambah pula dengan tindakan menukar dua pegawai kanan yang mengendalikan kes tersebut ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ia memperlihatkan satu tindakan terdesak, panik, tidak ada strategi dan seterusnya memberikan gambaran tentang wujudnya "dalang" dan tangan-tangan ghaib membantutkan siasatan yang telah memakan masa yang lama. Adakah penukaran Pengarah Operasi Khas SPRM, Bahri Mohamad Zin yang bersumpah untuk mencari dalang hingga ke lubang cacing suatu kebetulan?

Banyak sangatkah "kebetulan" hingga pegawai kanan yang hendak dikeluarkan dari SPRM pun "kebetulan" yang mengepalai siasatan ke atas SRC?

Tetapi semacam bukan kebetulan apabila Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Shukri Abdull lantang mendesak JPM memulangkan pegawai kanannya kerana dia sendiri yang bertanggungjawab memberikan arahan kepada mereka. Kebetulankah itu?

Kalaupun pertukaran perlu dilakukan, kenapa tidak menunggu Bahri menyelesaikan siasatannya? Daripada ini kita boleh membuat kesimpulan bahawa Bahri sangat "bernilai" untuk disenyapkan.

Serang hendap yang bertalu-talu terhadap SPRM sebuah badan yang sepatutnya bebas, telus dan profesional sebagaimana yang termaktub dalam Akta SPRM 2009 telah memberikan isyarat wujudnya "tangan ghaib" ke atas SPRM. Ini membina persepsi mungkin hasil siasatan tidak begitu "menggembirakan".

Kepada warga SPRM, kerja mulia dan pengorbanan anda, kami rakyat marhaen yang disangka dungu ini sentiasa menyanjunginya. Walaupun kami ini marhaen dan tidak ada kuasa tetapi tidak mudah ditipu atau tertipu.

Kami juga tahu bahawa jihad menentang rasuah bukan mudah kerana rasuah telah mendarahdaging dalam kalangan sesetengah kita. Kerana itu, jangan biarkan. Carilah hingga ke lubang cacing. Semoga Allah menyelamatkan tuan-tuan yang budiman.

- Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana Anekdot Ahad 9 Ogos 2015
Tags: integriti, politik, rasuah, sprm, umno
Subscribe

Posts from This Journal “rasuah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments