kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Konflik pertindihan bidang kuasa

Konflik pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah sering mendapat perhatian media. Ia merupakan dilema yang dihadapi dalam hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Dalam konteks Malaysia, ia diburukkan lagi dengan sentimen agama dan perkauman yang disulami dengan emosi dan sikap berprasangka antara satu sama lain. Jalan penyelesaian dikatakan gagal digapai walaupun negara telah mencapai kemerdekaan lebih 52 tahun. Isu satu pihak beragama Islam dan sepihak lagi tidak beragama Islam perlu ditangani dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia. Malah sejarah juga perlu ditelusuri bagi mencari kaedah terbaik penyelesaian kemelut ini.


KONFLIK pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah sering menjadi dilema yang dihadapi dalam hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini. - GAMBAR HIASAN

Pada masa ini Mahkamah Sivil dalam hal pembubaran perkahwinan telah menutup pintu mereka kepada penganut Islam, begitu juga dengan Mahkamah Syariah. Hal yang demikian terpaksa dilakukan oleh kedua-dua mahkamah akibat dari peruntukan undang-undang yang ada.

Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam hal ehwal kekeluargaan malah dalam hal lain yang memerlukan ‘determination of Islamic laws’ atau pertimbangan hukum syarak (sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan) juga telah dimonopoli oleh Mahkamah Sivil atas alasan antara lainnya kerana ia melibatkan orang bukan Islam seperti di dalam kes-kes perbankan Islam.

Justeru wujudlah penghakiman-penghakiman yang tersasar dari landasan hukum syarak kerana hakim sivil yang mengadilinya tidak dilatih di dalam undang-undang Islam, malah alat yang digunakan untuk mengadilinya pula seperti undang-undang keterangan dan undang-undang prosedur juga adakalanya tidak berteraskan syariah.

Sebagaimana kita sedia maklum, semua enakmen negeri-negeri melibatkan undang-undang Islam dalam negara meletakkan peruntukan bahawa Mahkamah Syariah berkuasa mendengar dan memutuskan perkara di mana kedua-dua pihak mestilah beragama Islam. Penulis berpendapat bahawa sudah sampai masanya peruntukan ini diubah demi menjaga kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti diperuntukkan dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Malah Butiran 1 kepada Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipinda bagi maksud ini. Begitu juga mana-mana undang-undang lain yang menyanggah orang bukan Islam dari diadili di mahkamah syariah perlu dimansuhkan.

Semestinya Mahkamah Syariah sebagai mahkamah yang memperjuangkan keadilan dan mempertahankan kedudukan Islam boleh mendengar dari mana-mana pihak sama ada orang tersebut beragama Islam atau pun tidak. Mengecilkan skop keadilan hanya kepada pihak beragama Islam sebenarnya bertentangan dengan prinsip keadilan Islam itu sendiri.

Sejarah perundangan Islam sendiri telah membuktikan penghakiman mahkamah syariah tidak semestinya memihak kepada orang Islam. Banyak kes telah dilaporkan mahkamah Islam memberi penghakiman kepada orang bukan Islam, malah pemimpin Islam juga pernah dikalahkan oleh rakyat biasa bukan beragama Islam di mahkamah Islam. Ini adalah manifestasi kebebasan mahkamah Islam dan keadilannya melampaui batasan agama.

Namun begitu orang bukan Islam tidaklah perlu gusar, kerana hal ini tidaklah bermatlamat mengislamkan orang bukan Islam. Hanya dalam perkara-perkara tertentu sahaja seperti yang melibatkan orang Islam dan hukum syarak, permasalahan ini perlu ditadbir di Mahkamah Syariah.

Penulis berpendapat sudah sampai masanya pelbagai pihak berkuasa termasuk Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Negeri sama-sama membawa kedudukan Islam seperti yang tercatat di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan dengan meminda peruntukan Perlembagaan dan undang-undang yang sesuai dan memartabatkan kedudukan Islam kepada seluruh masyarakat supaya ia dapat difahami di samping tidak merendahkan hak orang bukan Islam di Mahkamah Syariah dalam kes-kes di mana terdapat pertindihan bidang kuasa.

Seringkali apabila isu berkaitan pemelukan Islam oleh seorang mualaf (khususnya apabila suami yang memeluk Islam) dikupas, pelbagai pihak membuat andaian dan memberi pelbagai pandangan negatif. Antaranya dikatakan orang mualaf tersebut memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan orang Islam, ingin lari dari tanggungjawab terhadap isteri dan keluarga, ingin memutuskan hubungan kekeluargaan dan pelbagai kata-kata nista yang boleh memalukan mualaf tersebut.

Sedangkan menurut undang-undang Islam, mualaf menikmati jaminan dan keistimewaan sama seperti orang yang lahir Islam. Malah, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan juga menjamin hak mualaf mengamalkan agamanya.

Dalam hal penjagaan anak pula sering rujukan dibuat pada Seksyen 5 Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 yang memperuntukkan persamaan hak ibu bapa ke atas anak mereka. Namun mereka lupa dalam Seksyen 1(3)(b) akta tersebut menyebut secara jelas larangan penggunaan akta itu kepada orang yang memeluk agama Islam. Jadi apabila anak tersebut telah diiktiraf sebagai Islam, maka perkara yang menjadi subjek iaitu anak-anak yang telah memeluk Islam juga dianggap terkeluar dari naungan akta tersebut.

Oleh yang demikian, penulis berpandangan penyelesaian konflik ini ialah dengan membuka ruang kepada orang bukan Islam di Mahkamah Syariah. Mana-mana undang-undang yang menjadi halangan perlulah dipinda bagi merealisasikan maksud ini. Ia juga selaras dengan usaha Kerajaan memartabatkan kedudukan Islam sepertimana yang termaktub di dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Namun hal yang demikian amat mudah dikatakan tetapi amat sukar dilaksanakan jika mengambil kira kedudukan politik ketika ini. Dengan tiada komitmen daripada kalangan ahli parlimen Islam usul ini mungkin mustahil untuk dilaksanakan. Rakyat menagih ahli-ahli parlimen Islam berbalik kepada hukum syarak dan mendaulatkan agama Islam melalui ruang lingkup politik. Hanya dengan cara ini pindaan-pindaan tersebut dapat dilakukan.

Pihak bukan Islam pula perlu faham tindakan ini tidak sekali-kali merupakan cubaan untuk mengislamkan mereka.

Tags: mahkamah
Subscribe

Posts from This Journal “mahkamah” Tag

  • Pindaan mantapkan Mahkamah Syariah

    Isu usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016) meninggalkan impak yang…

  • Bicara tanpa fakta

    PROJEK ternakan lembu di bawah Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menjadi isu hangat ekoran pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada hujung tahun…

  • Pengasingan kuasa antara Persekutuan, negeri

    Asas pembentukan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menjadikan negara ini sebuah negara yang mempunyai identiti tersendiri.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments