kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Nilai Integriti dan patriotisme

BERSEMPENA dengan sam­butan Bulan Ke­mer­dekaan kali ke-58, Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-ba­ru ini menganjurkan dia­log meja bulat bertajuk Strategi Bagi Mempertingkatkan Se­mangat Pat­riotisme Dalam Ka­langan Masyarakat ter­utamanya golongan muda dengan me­nampilkan ahli-ahli panel iaitu Ketua Panel Pemikir, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Sayuti Mukhtar; Kartini Kamalul Arifin iaitu seorang selebriti terkenal yang juga Pengarah Radio IM4U dan Ahli Parlimen Belia Malaysia, Norzulaiqha Zulkifli.



KANAK-KANAK di Kampung Air Melentas Besar, Tasek Gelugor, Pulau Pinang mengayuh basikal sambil membawa Jalur Gemilang, baru-baru ini. Gambar Hiasan/BERNAMA

Suka atau tidak kita terpaksa mengakui bahawa tahap Indeks Patriotisme Global negara kita berada pada paras yang tidak begitu memberangsangkan berbanding Filipina yang menduduki ranking kesembilan di peringkat dunia.

Kajian dibuat University of Chicago National Opinion Research Centre itu meletakkan Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela ber­kongsi tangga teratas sebagai negara yang rakyatnya paling patriotik dan Australia di tangga yang ketiga.

Kesemua ahli panel secara kolektifnya bersetuju bahawa sistem pendidikan hari ini perlu diperhalusi dengan menitik beratkan mata pelajaran Sejarah agar golong­an muda hari ini terutamanya Gene­rasi Z (19 tahun ke kawah) dan Generasi Y (20-39 tahun) faham akan perjuangan datuk nenek moyang mereka mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan dari tangan penjajah.

Perjuangan tokoh-tokoh terdahulu seperti Datuk Maharajalela di Perak, Tok Naning di Melaka, Raja Haji di Selangor, Tok Janggut di Kelantan, Mat Salleh di Sabah dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu serta ramai lagi sewajarnya diindoktrinasikan kepada para pelajar di peringkat sekolah secara berterusan bagi membangkitkan semangat patriotisme serta rasa kecintaan mereka kepada tanah air.

Konsep wattaniyat al hanin atau rasa cintakan negara ini adalah satu nilai integriti utama yang perlu diberikan penekanan bagi melahirkan sebuah generasi yang baik akhlaknya, kukuh ciri-ciri moral dan kuat pegangan agamanya seperti yang terkandung di dalam Cabaran Keempat Wawasan 2020.

Nilai integriti dan patriotisme yang tinggi ini dapat kita lihat dalam kisah seorang negarawan Sepanyol yang bernama Hernando Cortes (1485-1547) yang begitu taat kepada perintah rajanya iaitu King Charles V, Raja Castillee (hari ini Sepanyol).

Dalam memperluaskan wilayah kolonialisasinya, raja Sepanyol itu telah mengarahkan Cortes untuk menyerang empayar Aztec yang memerintah Mexico dan berbekalkan kekuatan tentera seramai 500 orang, 12 ekor kuda dan tujuh laras meriam. Cortes begitu taat melaksanakan kehendak rajanya walaupun kekuatan tentera yang sebegitu kecil memustahilkan untuk menawan Mexico. Beliau akhir­nya menggunakan strategi licik apabila mengatur pakatan dengan Gabenor Cuba, Diego Valazques untuk membantunya menawan Me­xico. Atas bantuan kerajaan Cuba akhirnya pada tahun 1520 Cortes berjaya menawan Mexico.

Selepas berjaya menguasai Mexico itu maka bermulalah ujian integriti paling kuat kepada Cortes apabila Gabenor Cuba memujuknya untuk berkonspirasi mengkhianati amanahnya kepada kerajaan Sepanyol. Diego Valazques cuba mempengaruhi Cortes untuk menjadi raja Mexico dengan sokongan Cuba dan sebagai balasannya hasil kekayaan Mexico itu dibahagi sama rata antara beliau dan Cortes.

Namun semangat patriotisme dan ketaatan yang kental di hati Cortes tidak dapat digelapkan dengan kekayaan dan jawatan sebagai raja dan akhirnya apabila beliau menolak cadangan itu hingga meng­akibatkan berlaku peperang­an antaranya dan Cuba dan selepas menang dalam pertempuran itu, beliau kembali ke Sepanyol dan menyerahkan Mexico kepada King Charles V hanya untuk berhadapan dengan fitnah dan dipecat daripada jawatannya.

Begitulah kisah seorang manusia yang amat patriotik kepada negara dan mempunyai nilai jati diri dan integriti yang begitu tinggi hinggakan sanggup menolak sogokan untuk menjadi raja daripada menderhaka dan mengkhianati negaranya sendiri.

Cuba kita selami pula kisah seorang insan lain yang bernama Umaiyuddin Muhammad Al Aqami, Perdana Menteri kerajaan Islam Bani Abbasiyah yang telah mengkhianati negaranya pada tahun 1258. Umaiyuddin ialah penganut mahzab Syiah sementara Khalifah terakhir Bani Abbasiyah, Al Mustassim adalah penganut mahzab Sunni yang banyak melakukan penindasan kepada para pemberontak Syiah.

Justeru, atas rasa dendam mah­zab itu dan terpengaruh dengan rayuan dan sogokan pemerintah tentera Tartar (Monggolia), Hulagu Khan yang menawarkan rasuah 300,000 dirham dan janji menjadikannya sebagai khalifah, beliausanggup mengkhianati negaranya dengan mendedahkan strategi pertahanan Kerajaan Bani Abbasiyah yang berpangkalan di Baghdad ketika itu.

Akibat pengkhianatan seorang manusia, sejuta rakyat Baghdad menjadi korban, kota besar Islam itu bermandi darah. Khalifah Al Mustassim dan keseluruhan 17 orang ahli keluarganya dibunuh kecuali dua putera dan puterinya yang dibawa ke istana Hulagu Khan, dijadikan hamba dan gundik kepada pemerintah Tartar yang ganas itu.

Meskipun, Hulagu memperkotakan janji dengan menghadiahkan apa yang dijanjikan kecuali jawatan khalifah kerana beliau tidak mempercayai Umaiyuddin yang telah sanggup mengkhianati negaranya untuk menjadi proksi beliau memerintah Baghdad.

Ketika itu setelah Umaiyuddin melihat keseluruhan ahli keluarganya mati terbunuh mempertahankan kota Baghdad, baharulah timbul sesalan di hati dan ketika itu sesalannya terlambat dan nama beliau terpahat di catatan sejarah sebagai pengkhianat negara terbesar yang menyebabkan sebuah kerajaan besar Islam yang telah memerintah sebuah wilayah yang luas selama lebih 500 tahun itu tumbang dalam sekelip mata.

Kisah integriti dua insan yang patriotik dan tidak patriotik ini membuka ruang minda kita untuk berfikir sejenak akan pentingnya para pemuda kita disemai dengan bibit-bibit patriotisme tinggi demi untuk melahirkan satu generasi baharu yang cintakan negara.

Golongan muda hendaklah dididik melalui kurikulum kenegaraan yang mantap secara inklusif dan berterusan agar dapat melahirkan golongan muda yang sanggup berkorban demi mempertahankan negara seperti mana ditunjukkan oleh para mahasiswa dan mahasiswi Ecole Polytechnique di Paris yang masing-masing telah sanggup mengangkat senjata secara sukarela mempertahankan Perancis dari serangan Tentera Bersekutu pada tahun 1814 sehingga kerajaan Perancis membina sebuah tugu khas bagi memperingati kematian dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan maruah dan kedaulat­an negara Perancis.

Semoga moto Hari Kemerdekaan ke-58 kita yang berpaksikan semangat Sehati Sejiwa ini akan membuka dimensi baharu dalam menyemai semangat cintakan tanah air yang jitu dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda selaku pewaris kepimpinan negara di masa depan.

Tags: integriti, patriotik
Subscribe

Posts from This Journal “patriotik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments