kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Malaysiakini bagaikan hantu penanggalan

PENULIS hanya tersenyum apabila menerima mesej daripada kawan-kawan bagaimana portal propembangkang Malaysiakini memutarbelitkan artikel penulis bertajuk, Kembalikan taring task force yang disiarkan dalam akhbar ini, Selasa lalu. Tiada apa yang hendak dihairankan de­ngan tindak­an portal berita yang semakin meracuni fikiran masyarakat dengan laporan yang bukan sahaja tidak berdasarkan kepada fakta tetapi juga sesetengahnya palsu itu. Tetapi Malaysiakini merasakan mereka media yang hebat dan boleh melakukan apa sahaja dalam laporannya.

Penulis memahami Malaysiakini sudah ‘membutakan mata dan menutup hati’ untuk menerima kebenaran, namun ingin ditegaskan artikel pasukan petugas khas (task force) itu tiada kaitan sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh portal berita tersebut. Task Force yang dimaksudkan oleh penulis dianggotai tidak kurang 10 agensi diketuai Jabatan Peguam Negara dan ditubuhkan empat tahun lalu.

Antara tanggungjawabnya ialah menghalang ketirisan pendapatan kerajaan dan segelintir kelompok tidak membayar cukai yang mungkin antaranya penyumbang ‘bata’ kepada Malaysiakini membina bangunannya. Malah satu fakta yang tidak diketahui oleh Malaysiakini kerana portal tersebut seolah-olah tidak menggemari fakta dalam sesetengah laporan mereka ialah Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sama sekali tidak pernah membubarkan task force itu sebaliknya merestui pasukan petugas berkenaan kembali diaktifkan.

Ini memandangkan sepanjang empat tahun penubuhannya, task force mencatatkan pelbagai kejayaan termasuk menghalang penyeludupan diesel dan petrol serta menyelamatkan berbilion ringgit wang negara daripada ketirisan. Tetapi soalnya, adakah kejayaan itu pernah dilaporkan oleh Malaysiakini atau dibesar-besarkan portal berita itu? Sudah pasti tidak kerana Malaysiakini hanya berminat kepada laporan berita yang bermotifkan politik, melaga-lagakan sesama pemimpin dan melemahkan institusi yang menjadi tiang seri negara termasuklah SPRM dan PDRM.

Bagaimanapun penulis tidak terkejut dengan ‘kegilaan’ laporan yang dibuat oleh portal propembangkang itu. Sebelum ini sudah banyak laporan tidak benar dibuat oleh media yang kononnya memperjuangkan kebebasan bersuara itu. Terbaharu, mereka cuba melaga-lagakan SPRM dengan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmat­an Awam. Sebelum ini, portal itu juga sering ‘menyerang’ institusi-institusi yang menjadi tiang seri negara secara halus. Mereka membiarkan komen-komen yang kononnya dibuat oleh pembaca dalam sesuatu artikel biarpun ada antaranya menghina pemimpin kerajaan dan institusi tersebut.

Malaysiakini begitu bangga dengan apa yang dilakukan walaupun perbuatan mereka ibarat virus; yang satu hari nanti mampu menggugat kestabilan negara ini. Bukanlah menjadi satu kesalahan kepada portal itu untuk menyebelahi pembangkang atau cuba bersandiwara kononnya menjadi media yang seimbang, tetapi bertanggungjawablah. Namun tiada gunanya membuat gesaan kepada satu kelompok manusia yang merasakan mereka ‘kebal’, bebas dan hebat dalam mengendalikan sebuah portal berita.

Sebaliknya, apa yang mahu dipersoalkan, apa istimewanya Malaysiakini? Apakah kerana mereka menjadi suara kepada pembangkang maka tindakan tegas tidak boleh diambil khususnya dalam soal mereka-reka berita tidak benar seperti mana dalam isu SPRM dan Ketua Setiausaha Negara itu? Kebal sangatkah Malaysiakini sehingga tiada mana-mana pihak berani menyentuhnya? Siapa sebenarnya di belakang portal berita itu? Apakah ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang menjadi dalang bagi memporak-peranda negara ini melalui kewujudan portal berita bertaraf ‘facebook’ tersebut memandangkan ramai yang suka menulis bukan-bukan dalam facebook tanpa sedikit pun rasa bersalah? Perlu diingat sehingga ke hari ini, gesaan pelbagai pihak agar Malaysiakini disiasat bagi mengetahui dari mana portal berita itu mendapat sumber kewangan masih belum dilakukan. Keadaan inilah memungkinkan Malaysiakini merasakan mereka kebal.

Apapun kegilaan Malaysiakini tidak boleh dibiarkan. Sesuatu perlu dilakukan oleh pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Mungkin sudah sampai masanya portal berita seumpama itu perlu didaftarkan atau mendapat kelulusan kementerian terlibat sebelum beroperasi. Kita tidak boleh membiarkan wujud mana-mana kelompok khususnya dalam kalangan media berperangai seperti ‘hantu raya tidak bertuan’ atau ‘hantu pe­nanggalan’ yang kematian tuannya. Lambat laun ia mampu menggugat kestabilan negara dan ke­sejahteraan rakyat.

Tags: akhbar, media
Subscribe

Posts from This Journal “akhbar” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments