kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Serangan siber ancam kedaulatan, kestabilan negara

SEJAK masyarakat Malaysia terdedah kepada persekitaran dunia digital tanpa sempadan melalui media sosial khususnya lebih satu dekad lalu, pelbagai isu yang berkait dengan integriti di pelbagai peringkat organisasi dan individu sudah mula timbul, namun masih lagi dalam keadaan terkawal serta dilihat tidak mengganggu gugat keselamatan dan mendatangkan ancaman terhadap negara sama ada daripada segi sosial, ekonomi, budaya, agama mahupun politiknya.

Namun kini, di pelbagai peringkat kehidupan, masyarakat amat terdedah dengan pelbagai jenis maklumat dan fakta dan sebahagian besarnya tidak disahkan oleh pihak berwajib atau pihak berwibawa tertentu.

Lantas agak sukar untuk memastikan maklumat yang disalurkan itu betul atau tidak. Maka kemungkinan besar wujudnya ciri pembohongan dan kepalsuan yang disebarkan menerusi media sosial ini dan akhirnya telah mengancam kedaulatan dan ketenteraman negara secara berterusan sehingga menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat sendiri.

Walaupun di satu sisi, ada pihak yang sememangnya mengingini untuk melihat negara ini menghadapi kehancuran, maka inilah saat yang ditunggu-tunggu mereka supaya akhirnya mereka dapat mengubah sistem pemerintahan negara ini.

Serangan siber perlu dibanteras

Serangan siber bertali arus ini kadang-kalanya amat berbahaya jika tidak dibanteras dengan segala kekuatan yang ada sama ada menerusi kaedah perundangan, sistem pendidikan formal dan tidak formal mahupun secara kaedah psikologi, ajaran agama atau pelbagai pendekatan yang difikirkan sesuai.

Ada beberapa golongan yang dilihat secara aktif menggunakan media sosial untuk pelbagai kegunaan sama ada yang bersifat baik dan memberikan manfaat mahupun berniat jahat.

Golongan pertama adalah golongan yang secara aktif menggunakan laman sosial untuk meningkatkan ilmu pengetahuan yang dimanfaatkan untuk pembangunan negara dan sebagainya.

Golongan ini terdiri daripada penyelidik, golongan akademik, guru, pelajar, usahawan dan seumpamanya yang banyak memanfaatkan media sosial berhubungan dengan pihak luar negara serta terbabit dalam sektor perniagaan secara kecil-kecilan ataupun secara besar-besaran.

Tidak dinafikan banyak yang menggunakan untuk manfaat umum dan khusus untuk golongan tertentu tetapi sedikit kesilapan yang dilakukan akan menimbulkan impak cukup besar terhadap masyarakat yang sebenarnya mampu untuk meruntuhkan sesebuah kerajaan dan negara.

Natijahnya amatlah merugikan negara itu sendiri dan untuk mengembalikan semula kegemilangan negara setelah mengalami keruntuhan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Golongan kedua adalah golongan yang hanya bersifat ikut-ikutan. Golongan ini menerima pelbagai maklumat dihantar melalui kumpulan tertentu dan akhirnya akan membuat komen berkenaan isu yang diketengahkan tanpa usul periksa dan membincangkannya di medan media sosial tanpa panduan ilmu berkaitan dengan perkara yang dibincangkan dan akhirnya membuat kesimpulan yang sudah dijangkakan serta memihak kumpulan tertentu.

Sebar fakta belum pasti kesahihan

Ahli yang terbabit di dalam kumpulan ini pula akan menyebarkan kepada ahli dalam kumpulannya serta kumpulan lain maklumat dan fakta yang belum dipastikan kesahihannya dan berlumba-lumba untuk cuba mendahului dan mendapatkan maklumat berkenaan, seolah-olah cuba menjuarai 'permainan' itu.

Golongan ketiga terdiri daripada golongan Generasi Y yang begitu tegar dengan gajet dan seolah-olah tidak ada dunia lain, selain daripada alam siber itu semata-mata yang wujud.

Golongan ini terdiri daripada golongan remaja dan pelajar sekolah serta penuntut di institusi pengajian tinggi.

Golongan ini adalah golongan yang mempunyai serba sedikit pengetahuan dalam pelbagai bidang tertentu tetapi terpisah dan terkongkong dalam kelompok pemikiran agak sempit.

Kumpulan ini agak terkehadapan di dalam bidang telekomunikasi dan maklumat serta yang berkaitan dengannya. Pada hemat saya, inilah senario sedang dialami oleh negara pada masa kini.

Namun yang lebih membimbangkan ialah rentetan serangan yang dilakukan dari luar negara dan rakyat kita sendiri tanpa usul periksa yang mendalam terus menerima dan mempercayai bulat-bulat apa yang disogokkan itu.

Kepantasan sebaran menerusi alam siber itu dan merentasi segenap pelosok dan benua, menyebabkan aras keyakinan dan kepercayaan terhadap serangan itu begitu tinggi. Jika tidak berhati-hati, serangan itu mampu menggugat kestabilan negara daripada pelbagai dimensi.

Pihak yang bertanggungjawab pula terpaksa dengan begitu berhati-hati bertindak dan mengambil tanggungjawab untuk menentang serangan yang berlaku serta terpaksa pula menggunakan saluran media yang sama untuk mendapatkan maklumat bagi menyanggah setiap perkara yang diperkatakan itu demi menegakkan kebenaran yang kemudiannya pula beralih kepada isu remeh-temeh pula yang masih lagi bersangkutan dengan isu yang awal tadi.

Namun, persoalannya ialah sejauh mana dan selama manakah pihak berwajib atau pihak berkuasa mampu untuk menghadapi serangan bertali arus ini yang kadang-kala seakan-akan sukar untuk dileraikan dan tidak ada kesudahannya
Tags: ict
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments