kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penguatkuasaan undang-undang perlu tegas

Dalam kehidupan kita, pasti ada peraturan atau undang-undang, kerana peraturan dibuat untuk mengatur dan menertibkan manusia. Jika tidak ada peraturan, pasti kehidupan kita akan menjadi kacau, tidak terkendali dan tidak ada ketenangan dalam hidup. Undang-undang diadakan untuk faedah masyarakat.

Perlu diingat, tujuan utama undang-undang bukan untuk menghukum walaupun biasanya bila orang melanggar undang-undang, mereka harus dihukum.

Setiap undang-undang dan sistem perundangan secara universal mempunyai tujuan utama, iaitu menyediakan peraturan yang mesti dipatuhi oleh setiap ahli masyarakat dengan cara menetapkan standard serta batasan dalam setiap aktiviti.

Tidak ada sesiapa atau mana-mana pihak yang boleh dibiarkan melampau atau berlebih-lebihan sehingga menindas anggota masyarakat yang lain. Selain meletakkan standard atau batasan kepada tindak-tanduk manusia, undang-undang juga bertujuan mengekalkan dan mewujudkan ketenteraman dalam masyarakat.

Ia bertujuan memberhentikan dan menghalang ahli masyarakat daripada melakukan perkara jahat atau tidak bermoral.

Wujud toleransi antara kaum

Undang-undang juga bertujuan mengajak dan menggalakkan ahli masyarakat, termasuk pimpinannya untuk melakukan perkara yang betul. Ia menggalakkan kebaikan bersama dalam masyarakat dan menjana kehidupan bersama yang aman damai dengan menggalakkan toleransi antara puak atau kumpulan masyarakat.

Kalau dilihat secara amnya, setiap perkara di Malaysia ini mempunyai peraturan dan undang-undangnya yang tersendiri. Ia menunjukkan betapa kita mencintai keberadaan dan ketertiban.

Namun, sedihnya peraturan yang direka semua ini hanya akan menjadi tulisan di atas kertas jika penguatkuasaannya lemah. Lihat sahaja apa yang berlaku ketika ini apabila terlampau banyak maklumat yang beredar atas talian sehingga kita tidak mengetahui yang mana satu betul dan mana satu yang dimanipulasikan, sedangkan peraturan mengenai perkara ini sudah ada.

Sebagai contoh, Akta Fitnah 1957 (Akta 286) direka khas untuk mengawal segala maklumat atau penulisan dan sebagainya yang mempunyai unsur fitnah. Tidak cukup dengan akta itu, kita juga memiliki Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563), Akta Hasutan 1948 (Akta 15) serta Kanun Keseksaan (Akta 574).

Berani tabur fitnah

Akan tetapi, disebabkan kelemahan penguatkuasaan, semakin ramai di antara kita yang semakin berani untuk mewujudkan rasa resah gelisah dengan sengaja menabur fitnah agar matlamat untuk mengucar-kacirkan negara tercapai. Maka kementerian terbabit, janganlah hanya memerhatikan suasana sebegini dari jauh sahaja.

Pembabitan secara menyeluruh, tegas dan pantas perlu untuk membendung situasi ini daripada terus merebak. Sikap berdiam diri, berpeluk tubuh dan mengharapkan suatu hari nanti ia akan berakhir perlu dikikis terus dari dalam hati kita.

Gejala sebegini, analoginya adalah seperti sakit kanser yang jika tidak dirawat dengan membuang segera bahagian yang sakit, pastinya akan merebak dan memusnahkan seluruh tubuh.

Adakah ini yang kita hendak terjadi kepada negara kita?. Setiap penjawat awam yang dilantik untuk memikul jawatan sebagai penguat kuasa harus muhasabah diri, adakah mereka berjaya memikul amanat ini tanpa prejudis?

Kegagalan dalam melaksanakan tugas mereka menyebabkan masyarakat hilang rasa hormat terhadap penjawat ini.

Yang lebih parah, impak daripada kegagalan itu akan membawa kepada kebobrokan suasana negara.

Janganlah disebabkan nila setitik habis rosak susu sebelanga. Nila ini harus dihalang daripada merosakkan keseluruhan susu.

Maka tindakan penguatkuasaan adalah jawapan terbaik dalam isu sebegini. Sudah sampai masanya untuk bertegas demi kestabilan negara tercinta. Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri Berita Harian Kolumnis15 Ogos 2015
Tags: akta, fitnah, undang-undang
Subscribe

Posts from This Journal “undang-undang” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments