Denyut Nadi Tawau
PERSINGGAHAN ke bandar Tawau, Sabah tidak akan lengkap jika tidak berkunjung ke Pasar Tanjung. Itu yang kerap diungkapkan oleh sesiapa sahaja yang pernah datang ke bandar yang turut mendapat jolokan syurga makanan laut.
Berdasarkan sambutan pengunjung yang datang dari seluruh negara, jelas Pasar Tanjung bukan pasar biasa tetapi memiliki identiti, keunikan dan kekuatan sendiri.
Terletak di Jalan Dunlop bersebelahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau, Pasar Tanjung yang dibina di kawasan tanah berkeluasan 1.288 hektar itu dikatakan sebagai pasar tertutup terbesar di Malaysia.
Dengan lebih 1,000 gerai menjual pelbagai barangan harian beroperasi di pasar setinggi tiga tingkat itu, ia menawarkan pengalaman membeli-belah yang pastinya berbeza dengan tempat lain.
Apatah lagi pengaruh negara jiran yang tebal dalam kebanyakan peniaga ekoran daripada sejarah asal-usul, menjadikan suasana persekitaran lebih unik, lantas mengundang sesiapa sahaja untuk kembali selepas pertama kali mengunjunginya.
Bekas Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim ketika ditemui wartawan menyifatkan berada di dalam Pasar Tanjung seperti berada di Nunukan, Kalimantan Timur, Indonesia.
“Budaya mereka macam di Indonesia. Untuk merasai persekitaran di Nunukan, di sini pun cukup kerana ramai penduduk di sini berketurunan dari Indonesia,” kata Iliyas yang juga bekas Pesuruhjaya Polis Sabah seperti dilaporkan Bernama tidak lama dahulu.
Namun selain budaya dan persekitaran yang unik, kualiti dan harga barang juga tarikan ke pasar itu. Apatah lagi jika anda peminat barangan dapur seperti acuan kuih dan periuk bertingkat-tingkat, Pasar Tanjung wajib dikunjungi.
Wartawan S2, ROZIANAH RISMAN berkunjung ke Pasar Tanjung baru-baru ini melihat sendiri aktiviti harian pusat beli-belah yang menjadi pusat dan denyut nadi bandar paling hujung di pantai timur Sabah itu.
Hab jual beli gerak sistem ekonomi
PASAR Tanjung antara kemudahan prasarana penting bagi masyarakat Tawau kerana ia berperanan sebagai hab jual beli yang menggerakkan sistem ekonomi tempatan.
Walaupun pada zaman serba canggih menyaksikan kemunculan banyak pasar raya moden, namun pasar yang menjual pelbagai barangan keperluan dan barangan tradisional itu masih dan tetap relevan sebagai satu tempat untuk pelanggan berbelanja.
Meskipun kemudahan dan keadaan bangunan tidak seindah pusat beli-belah, namun, peranannya cukup besar sebagai pusat pengumpulan dan penjualan pelbagai hasil industri kecil dan sederhana tempatan serta produk dari negara jiran, Indonesia.
Mungkin ramai yang begitu selesa menikmati aktiviti membeli-belah di dalam bangunan yang serba lengkap dengan kemudahan pendingin hawa seperti pasar raya, namun itu tidak bermakna pasar bukan lagi menjadi pilihan masyarakat untuk berbelanja.
Memperolehi nama sempena panggilan asal bandar Tawau iaitu Tanjung, pasar tersebut menjadi pilihan utama kerana harga barangan yang jauh lebih murah dan terdapat pelbagai produk dan makanan yang tidak terdapat di tempat lain tetapi ada dijual di situ.
Seperti satu kelaziman bagi mereka yang datang berkunjung ke Tawau untuk singgah membeli belah di Pasar Tanjung di Jalan Dunlop yang terletak berhampiran laut.
TERDAPAT pelbagai pilihan hasil laut kering seperti ikan bilis, sotong dan udang kering. - |
Bukan itu sahaja, pengunjung yang datang bercuti ke daerah lain turut tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Tawau semata-mata mahu membeli pelbagai barangan khususnya makanan tradisional dan sumber laut kering.
Menurut Pegawai Harta, Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang, Pasar Tanjung mula dibina pada 1995 atas inisiatif kerajaan untuk memenuhi permintaan penduduk yang semakin meningkat dan siap sepenuhnya pada pertengahan 1997.
“Sebelum Pasar Tanjung dibangunkan di atas tapak milik kerajaan, tanah tersebut pada asalnya merupakan sebahagian laut yang ditambak sebelum dijadikan sebagai pasar ikan. Selepas pasar ikan dirobohkan barulah dibina Pasar Tanjung di tanah berkeluasan 1.288 hektar dan diwartakan pada 2001.
“Gerai-gerai yang menjual barangan mentah dan makanan tradisional sebelum ini ditempatkan di pasar lama yang terletak di lokasi berhampiran. Bagi gerai menjual pakaian pula sebahagiannya ditempatkan di lokasi lain yang dikenali sebagai Pasar Gantung.
“Namun, pasar lama dahulunya bersaiz kecil, terhad, tidak mempunyai kemudahan infrastruktur dan hanya bergantung kepada payung bersaiz besar untuk berteduh. Atas sebab itu, kerajaan telah memutuskan untuk membina Pasar Tanjung bagi memenuhi keperluan dan populasi penduduk yang semakin meningkat,
“Jika melihat kepada statistik bancian yang dilaporkan pada 2010 jumlah penduduk seramai 412, 000 orang dan pada tahun ini jika melihat kepada pertumbuhan sebanyak 2.1 peratus sebagaimana yang berlaku pada 10 tahun lalu, maka jumlah penduduk dianggarkan 450,000 orang.
PELBAGAI jenis beg dan aksesori turut ada dijual di Pasar Tanjung. |
“Justeru, sekiranya mengambilkira 40 peratus penduduk tinggal di kawasan bandar, kira-kira 180,000 orang penduduk menggunakan prasarana pasar tersebut,” katanya.
Tambahnya, Pasar Tanjung pada umumnya mempunyai tiga tingkat namun disebabkan terdapat tiga lantai tambahan yang dipanggil sebagai split level, jadi keseluruhannya sebanyak enam aras.
“Di setiap aras ditempatkan gerai mengikut bahagian yang telah ditetapkan. Di aras bawah hingga dua yang berkeluasan 5,025 meter persegi menempatkan pelbagai jualan yang terdiri daripada makanan mentah seperti daging, sayur-sayuran, buah-buahan serta makanan laut kering seperti ikan, sotong, udang dan ikan kering.
“Di sini juga terdapat pelbagai makanan ringan dan kuih tradisional seperti keropok amplang, kekacang, dan pelbagai jenis kuih-muih tradisional tempatan dan Indonesia. Selain itu, peralatan seperti periuk belanga, tilam, bekas makanan dan tikar juga ada dijual.
“Aras tiga dan empat yang berkeluasan 2,465 meter persegi pula menempatkan pelbagai jenis barangan kosmetik, barangan mainan untuk kanak-kanak, pakaian dan beg. Turut disediakan di atas ini ruangan untuk menunaikan solat dan tandas.
“Di aras paling atas yang berkeluasan 4,890 meter persegi pula menempatkan pelbagai jenis gerai makanan. Keseluruhan bangunan berkeluasan 12, 380 meter persegi dan menempatkan sebanyak 1,220 buah gerai,” katanya.
Dalam pada itu, bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan, pihaknya dalam perancangan untuk menambah baik kemudahan dari segi penyediaan tempat letak kenderaan.
“Buat masa ini terdapat 81 buah tempat letak kereta disediakan di antara lokasi Pasar Tanjung dan Pasar Ikan. Memandangkan kemudahan itu tidak mencukupi, MPT dalam perancangan membina tempat letak kereta bertingkat di bahagian selatan dan timur bangunan pasar berkenaan dalam usaha mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang disebabkan kekurangan kemudahan tersebut,” katanya.