kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Istilah pantang dalam Facebook

ADA seorang kenalan dalam Facebook yang pagi-pagi kerjanya "mengemas kini" laporan berita yang dibaca, kemudian dikongsi pada muka buku, bersama pandangan peribadinya. Lazimnya, yang mengulas posting dia, lebih kuah daripada sudu.

Sangat kritikal adalah bagus, katanya semasa mengakui tabiat hariannya. Untuk apa? Cetuskan diskusi perbezaan minda atau suasana menghasut? Tak, jawabnya. Kita semua intelektual. Dia sekadar memulakan diskusi. Apa orang komen selepas itu, bukan tanggungjawab dia. Itu katanya. Oh begitu, ye?

Saya tidak berminat merrepak apa orang boleh atau tidak tulis dalam Facebook masing-masing. Setakat ini pun tiada siapa saya keluarkan daripada senarai kenalan, kecuali yang melakukan jualan langsung.

Setakat pandangan politik, itu saya baca supaya tahu apa sebelah sini dan sana bicarakan. Cuma, saya minta ku­rangkan penggunaan bahasa kesat, mencarut dan seumpamanya. Tak sampai matlamat anda jika berterusan se­demikian. Hanya menunjukkan peribadi yang manis di depan mata, tapi hati gelap gelita.

Jadi, perkataan apa yang sesuai anda gunakan, supaya pembaca anda tidak lari atau sakit hati? Berikut adalah cadangan istilah yang akan menyebabkan pembaca anda terjaga, terangsang, segar bugar atau juga, menyampah sama sekali.

1 Percuma!

Inilah istilah yang sangat disukai segelintir masyarakat yang meraung-raung hiba terhadap penurunan nilai tukaran mata wang Ringgit ke paras RM4 berbanding AS$1. Entah berapa kerap mereka ke New York tahun ini. Jadi jika dapat barang-barang di sana secara percuma, inilah yang amat disukai. Macam tak kena analogi ini. Tak apa. Teruskan.

2 Jualan

Bermaksud ada potongan harga atau gandaan barang pada harga lama. Tidak kisah jika pesta jualan berlangsung di Malaysia hampir setiap bulan. Yang penting, apa sahaja jualan tidak boleh anda ketinggalan. Mesti beli. Mesti layan. Walaupun jualan aksesori lori.

3 Rumah Terbuka

Semalam, tamat sudah sebulan kita beraya. Saban hari ada rumah terbuka korporat yang diadakan. Ada yang niat mudah: tunjuk muka, salam dan makan. Bab makan, adalah wajib. Ini kerana makan percuma. Makan puas-puas. Jangan membazir.

4 Diskaun

Apa beza "jualan"? Sikit saja. Jualan adakalanya anda kena membeli barang-barang yang tidak perlu. Diskaun pula adalah spesifik. Tidak kisah. Nampak saja sepan­duk "Diskaun", masuk terus. Beli atau tidak, kira kemudian. Gaji bulan Julai dah lenyap. Gaji Ogos, ada 10 hari lagi. Pinjam duit mak.

5 Telefon pintar baharu

Malaysia adalah antara pa­saran utama telefon pintar. Buktinya, ada dua jenama te­lefon menjadikan negara ini antara pasaran pertama pelancaran model ter­baharu mereka. Ini sebab kita memang "gila telefon". Jadi bila ada sahabat tunjukkan telefonnya, semua berminat hendak tahu harga dan ciri-cirinya. Bukan apa, nak bandingkan de­ngan te­le­fon kita sendiri.

6 Selfie

Setakat ini, saya tidak terjebak de­ngan hobi ini. Alasannya, saya tak tahu mengambil selfie. Mesti kepala sekerat atau nampak tangan sahaja. Jadi saya amat kagum pada orang yang sudah mahir dan menjadikannya satu seni, untuk disiar dalam media sosial. Syabas!

7 Kipidap

Istilah Ayahan­da Abdul Rani Kulup ini wajar dima­sukkan dalam daf­tar istilah bahasa baharu Millenials. Memang pencinta bahasa merungut kerana ia merosakkan ayat Keep It Up tetapi cuba terimanya seba­gai­­mana kita menerima istilah "beranda". Lagipun, konotasi Kipidap adalah positif dan comel. Dungibap!

8 FB/ I.G/ Twitter

Sesudah bertukar kad nama dan nombor tele­fon, sekarang orang akan meminta, follow me on FB or IG or Twitter. Ya, saya sudah beberapa kali di­suakan permintaan alaf baru ini. Boleh. Tiada masalah. Sa­ya tiada IG (Instagram) tapi Twitter dan Facebook saya sangat membosankan. Cerita hal Liverpool dan basikal sahaja. Sudikah?

9 Lawak

Kejadian seorang penyokong Manchester United membuat lawak tentang musuh tradisinya, Liverpool memang boleh diterima. Sebab penyokong Liverpool pun buat benda sama. Bezanya, penyokong Liverpool tidak mengaitkan MUFC dengan Donald Trump atau mana-mana parti politik. Penyokong LFC menganggap MUFC hanyalah kelab untuk kaki bangku semata-mata. Lawak tak?

10 Netizen

Ini ada­lah istilah diguna keyboard warriors untuk manu­sia yang hari-hari asyik dengan media sosial. Netizen mengulas apa sahaja isu dalam gerom­bolan. Mereka ini berjaya meya­kinkan pengguna sederhana bahawa mereka ada­lah penen­tu nasib orang atau kerajaan menerusi alam maya. Walaupun komen mereka berasaskan sumber berita yang diragui kesahihannya. Oh begitu, ye? - Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 16 Ogos 2015

Tags: facebook, media
Subscribe

Posts from This Journal “facebook” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments