kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kesan komunikasi bisu media sosial

Media sosial yang kebanyakan orang kita perkatakan sekarang ada kelebihan dan kekurangannya. Tidak kira media sosial yang mana anda guna. Baik Twitter, Facebook, Google, Path, Instagram dan Youtube ada kesannya kepada kehidupan.

Boleh dikatakan semua pengguna Internet mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun laman sosial. Saya bukan mahir bab ini. Dengan bantuan anak, saya ada akaun Facebook dan Instagram sendiri. Tapi terpaksa layan sesekali, apabila menjenguknya.

Apabila melayari media sosial ini memang pelbagai ragam penggunanya. Ada yang menjadikan media sosialnya sebagai rakan untuk mencurahkan perasaan kerana tiada tempat lain untuk meluahkan rasa hati. Ada yang menggunakan media sosial sebagai tempat berkomunikasi antara sahabat juga ahli keluarga.

Banyak juga yang menggunakan saluran komunikasi ini sebagai platform buat bisnes untuk mempromosi produk sehingga ada yang sudah berjaya.

Hakikatnya, dengan ada alat komunikasi ini, boleh saya kata semua perkara hendak dikongsikan dalam media sosial. Setiap orang bebas menyampaikan apa saja, baik berupa tulisan ataupun gambar. Apa yang sedang dilihat, dengar dan rasakan, saat itu juga boleh mereka sampaikan melalui media sosial. Ringkasnya, apa sahaja yang dibuat, di mana kita berada, semua mahu dilaporkan dalam laman media sosial.

Betullah kata para pencandu media sosial ini, setiap saat, di mana sahaja mereka berada, pasti akan mengemaskinikan status.

Laman sosial makin menjadi tapak bagi pengguna Internet mengekalkan hubungan persahabatan antara teman-teman sama ada di sekolah, universiti, kolej ataupun rakan tempat kerja bertambah erat.

Sekarang banyak pemilik akaun laman sosial tidak perlu lagi mencari alamat dan guna sampul surat untuk mengirim kad jemputan majlis perkahwinan sendiri atau ahli keluarga. Cukup mudah hanya memberitahu dan menjemput menggunakan kecanggihan laman sosial.

Ada yang tidak lagi membaca surat khabar atau me­nonton berita di televisyen, kononnya semua mak­lumat terkini sudah mereka perolehi melalui media sosial. Bo­leh percaya atau tidak maklumat yang dikongsikan dan di­sebarkan itu?

Kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat melalui media sosial di negara ini masih belum ada se­katan. Di samping banyak man­faat diperoleh daripada teknologi siber ini, jangan kita alpa dengan kesan nega­tifnya.

Keburukan

Media sosial juga terdapat keburukan. Ia boleh menjadi tem­pat di mana maklumat pal­su disebarkan, di mana hi­naan dan kutukan dilontar.

Banyak orang yang leka meng­hadap laman sosial hing­ga menyebabkan lupa de­­ngan tanggungjawab ma­sing-ma­sing. Sedikit demi se­dikit masa bekerja diambil untuk mengemas kini laman sosial. Semua orang yang ada akaun media sosial pasti terkena kesan ini yang sedikit sebanyak mengganggu tugas hakiki. Lebih melekakan ji­ka terpengaruh dengan ce­ri­ta berunsur spekulasi, fit­nah, gosip dan sebagainya. Se­setengahnya ada yang mu­dah percaya cerita yang di­taburkan dalam media sosial.

Bukan sahaja cerita politik, cerita perselisihan faham anggota keluarga atau antara sahabat pun ditelanjangkan dalam laman sosial. Soal betul atau salah cerita tersebut, belakang kira. Akhirnya sesama ahli keluarga atau sahabat berlaku bermasam muka dan tidak bertegur sapa.

Saya ada membaca sebuah tulisan seorang ustaz yang menerangkan komunikasi melalui WhatsApp pun boleh menjadi alat memutuskan hubungan antara ahli keluarga apatah lagi rakan atau kenalan. Cerita tidak ada kena-mengena dengan orang lain pun boleh menjadi bahan fitnah dan bermacam lagi.

Pada saya hal ini berlaku kerana semakin terhakisnya pergaulan secara fizikal. Banyak orang yang berkomunikasi secara senyap. Mereka tidak lagi bersuara, tetapi lebih gemar menulis teks. Proses hubungan secara terus tidak lagi berlaku, maka semakin renggang ikatan persaudaraan dan persahabatan. Ini yang sedang berlaku dalam masyarakat dan keluarga orang Melayu.

Mudah sangat untuk memutuskan tali hubungan kekeluargaan dan persahabatan dengan menyebar cerita tidak benar apatah lagi fitnah melalui media sosial. Mudah sangat kita percaya apa yang ditulis tanpa meneliti cerita sebenar.

Semakin sukar untuk masyarakat kita menelefon terus kepada pihak lain. Semakin galak orang kita mempercayai cerita yang memburuk-burukkan orang tertentu. Ini sedang dan akan terus berlaku jika diteruskan komunikasi bisu.

Pelbagai maklumat sama ada benar-benar sahih atau palsu, perkongsian idea, ideologi, dan propaganda telah tersebar melalui media sosial. Sebab itu, kita kena ingat, jika sebaran maklumat yang disebarkan itu adalah baik, maka ia bermanfaat untuk semua, sebaliknya, sekiranya sebaran maklumat itu salah, maka tersebarlah ia menjadi fitnah dan penipuan dalam maklumat.

Tidak ada cara lain, kecuali kita buat tapisan sendiri terhadap maklumat atau cerita yang nampak betul tapi belum tentu benar, sebelum mempercayainya dan menyebarkan kepada pihak lain. Dengan itu, sebaran maklumat yang salah dapat disekat dan dijelaskan tentang kesilapan atau tidak benarnya sesuatu cerita peribadi atau maklumat, sama ada kepada individu, masyarakat atau negara. - Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 16 Ogos 2015

Tags: media
Subscribe

Posts from This Journal “media” Tag

  • Hampir semua berita berbaur politik

    Kita terlampau berpolitik, setuju? oleh Merrepak 24 Mac 2019 adalah dipersetujui. Setiap hari tentunya kita akan membaca dan memperolehi berita…

  • Print media still has a role

    Avoid straining your eye and outlook and ‘never say die’ is maybe what I understand of the writing by the NST group editor, Rashid Yusof…

  • Media cetak masih relevan

    Elakkan dari menyakitkan mata dan pandangan anda dan 'jangan mengalah' mungkin apa yang saya faham tentang penulisan oleh editor kumpulan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments