kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tugas panel khas realisasikan idea politik integriti

KETIKA kita melangkah ke Bulan Kemerdekaan selepas berakhirnya bulan Syawal, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik, bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif. Pengumuman ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Tetapi, pastinya ia satu langkah signifikan bagi memenuhi aspirasi rakyat Malaysia. Ini juga selaras dengan komitmen Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk agenda memerangi rasuah dan memperkukuhkan integriti politik seperti yang dinyatakan dalam manifesto BN pada PRU-13 lalu.

Dalam pengumuman pada Jumaat lalu, difahamkan jawatankuasa ini akan menghasilkan satu pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang yang diperlukan. Seterusnya idea dan syor yang dikemukakan akan dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi menentukan proses konsultatif di semua peringkat dan mengambil kira pandangan semua pihak.Badan ini akan menjadi penasihat kepada kerajaan dalam hal pembiayaan politik berintegriti.

Umum diketahui bahawa tidak ada peraturan mengenai pembiayaan politik yang boleh menentukan penerimaan derma salah atau tidak. Peruntukan mengenainya masih kabur walaupun ada peruntukan berkaitan perbelanjaan dalam akta politik dan aspek rasuah dalam akta pencegahan rasuah. Sebagaimana diharapkan, sudah pasti pengumuman terbaharu ini akan meningkatkan keyakinan bukan sahaja kepada anggota parti-parti politik, malah rakyat dan generasi akan datang.

Juga menjadi harapan semua agar Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik akan menimbang semua aspek peraturan pembiayaan politik termasuk perubahan institusi, pemantauan serta penguatkuasaaan undang-undang dan peraturan baharu.

Laporan media baru-baru ini menyebut bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ada undang-undang khusus yang membolehkan mana-mana pihak untuk mendedahkah pihak identiti penderma dan butiran berkenaan sumbangan yang diterima. Bidang Keberhasilan Utama Negara telah pun mengetengahkan inisiatif mewujudkan undang-undang dana politik empat tahun lalu. Bagaimanapun ia belum menjadi kenyataan.

SPRM difahamkan telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan pada tahun 2008 supaya satu undang-undang khusus diwujudkan bagi membolehkan semua parti politik mengisytiharkan sumber kewangan yang diperoleh daripada mana-mana pihak yang sehingga kini belum terlaksana. Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, dalam laporan tahunannya pada tahun 2012 kepada Perdana Menteri dan Parlimen, telah menggariskan cadangan supaya mengkaji sumbangan dana politik.

Pada pandangan JKMR ini penting supaya sumbangan dana kepada parti politik hendaklah dimasukkan terus ke dalam akaun parti dan bukannya ke dalam akaun persendirian mana-mana pemegang amanah. Ini adalah bagi menjamin ketelusan terhadap mana-mana parti atau individu.

Persepsi positif

Sesetengah masyarakat menilai sesebuah parti politik berdasarkan persepsi yang tidak baik semata-mata kerana parti berkenaan dilibatkan dengan sumbangan dana politik. Dalam hal ini, adalah penting bagi sesebuah parti politik untuk sentiasa membina persepsi positif dalam kalangan masyarakat. Antara cara terbaik untuk mencapai matlamat tersebut adalah dengan mengisytiharkan apa jua punca kewangan sesebuah parti politik dan akaun parti, atau pertubuhan politik tersebut juga hendaklah boleh diaudit dengan juruaudit bertauliah pada setiap tahun kewangan berakhir atau pada bila-bila masa bagi tujuan pemantauan oleh pihak berkuasa.

Pelaksanaan pengisytiharan sedemikian secara langsung akan mengelakkan seseorang ahli politik yang disiasat menerima rasuah daripada menjadikan alasan bahawa duit yang diterima dan dimasukkan dalam akaun persendirian merupakan sumbangan untuk dana parti politik sedangkan tiada sebarang butiran atau dokumentasi yang sewajarnya dikemukakan.

Segala sumbangan dana politik berbentuk harta dan wang kepada parti atau pertubuhan politik hendaklah direkodkan dan diaudit dengan teratur dan terurus. Akuan penerimaan berhubung sesuatu sumbangan juga hendaklah dikeluarkan dan direkodkan.

Bagi dana politik yang ingin diberikan terus kepada individu dalam parti tertentu, ia hendaklah mendapat kelulusan bertulis daripada ketua parti berkenaan dan dana politik berkenaan hendaklah tidak mempunyai kaitan langsung dengan tugas rasmi kedua-dua individu yang menerima dan yang menderma dana politik berkenaan.

Membanteras

Sebarang dana politik yang disumbangkan kepada mana-mana parti politik perlu diisytiharkan kepada umum. Dana politik melibatkan semua parti cuma pihaknya tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk menyiasat, mengambil tindakan dan mendedahkannya kepada umum.

Hakikatnya, sudah tiba masa negara ini mempunyai undang-undang berkenaan. Bernama memetik Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, peruntukan undang-undang dana politik merupakan langkah proaktif membolehkan siasatan dijalankan terhadap mana-mana parti politik yang menerima dana politik.

Pada masa ini belum ada undang-undang khusus mengenai pembiayaan politik di negara ini kecuali yang berkaitan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengenai kegagalan mengisytiharkan perbelanjaan ketika kempen. Meskipun terdapat undang-undang di bawah Akta Pertubuhan 1966 mengenai dana dan perbelanjaan pertubuhan di bawahnya termasuk parti politik, beliau berkata peruntukan itu tidak spesifik merujuk sumber dana.

Sebagaimana dikatakan oleh Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Dr. Mohamad Faisol Keling, cadangan itu sekiranya dilaksanakan akan membawa kebaikan kepada semua parti politik serta anggotanya.

Beliau pada masa sama turut berkata dalam usaha mengukuhkan kestabilan politik negara, undang-undang seperti itu perlu diwujudkan agar dana politik tidak menjadi amalan yang "disalah guna" sehinggakan sumber dan tujuannya tidak diketahui.

Malah, jika sebuah akta khusus diwujudkan ia akan memberi kebaikan kepada semua pihak dan mewujudkan urus tadbir yang baik. Rakyat mahukan urus tadbir kerajaan yang baik dan integriti serta ketelusan. Diharap pembentukan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik akan membuka laluan ke arah mewujudkan peruntukan mengenai dana politik.

Dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2014, yang dilancarkan awal tahun ini, NKRA membanteras rasuah menekankan bahawa pihaknya akan terus mendapatkan kerjasama daripada setiap parti politik tidak kira ideologi, bagi mendapatkan pendirian bersama demi merealisasikan usaha mengadakan peruntukan khas.

Bertolak daripada itu, disyorkan agar empat jurusan diberi tumpuan iaitu:

(i) Setiap parti politik dan calon yang bertanding termasuk calon bebas wajib mengemukakan penyata kewangan kepada sebuah unit khas yang akan diwujudkan sama ada di SPRM, ataupun Jabatan Pendaftar Pertubuhan;

(ii) Pelaporan maklumat oleh penderma kepada parti-parti politik;

(iii) Kewajipan bagi audit mandatori oleh firma bertauliah;

(iv) mengumumkan sumbangan yang diterima kepada umum setiap tahun.

Jika perlu pinda kesemua undang-undang yang berkaitan bagi memperkukuhkan sistem demokrasi dan budaya berintegriti.Kajian ke atas 110 negara mengenai peraturan kewangan dana politik oleh International Institute for Democracy and Electoral Assistance pada tahun 2012, menunjukkan walau apa pun peraturan yang diwujudkan kelak, tidak mungkin masalah yang menjadi fokus polemik sekarang selesai. Tetapi sekurang-kurangnya kewujudan satu mekanisme yang lebih baik berbanding dengan hari ini akan memperkukuhkan amalan sistem politik demokrasi di negara ini khususnya berkaitan dengan pembiayaan pengurusan dan perbelanjaan politik.

Semua parti politik diharap akan bersetuju ke arah mewujudkan undang-undang dana politik seiring dengan tema Bulan Kemerdekaan 2015 “Sehati Sejiwa”.

- Irmohizam Ibrahim Utusan Rencana Malaysia  16 Ogos 2015
Tags: integriti, politik
Subscribe

Posts from This Journal “integriti” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments