kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ringgit dan telahannya

Mutakhir ini, liputan mengenai penurunan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjadi fokus utama rakyat negara ini. Apa tidaknya, kelemahan nilai ringgit semestinya akan dikaitkan dengan kesan kenaikan kos sara hidup yang mana semua sudah pun sedia maklum bahawa harga barang sedang mengalami kenaikan. Pernyataan ini berdasarkan kepada indeks harga pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan sebanyak 2.2 peratus pada suku kedua berbanding 0.7 peratus pada tempoh yang sebelumnya.

Justeru, cakap-cakap mengenai tambatan ringgit telah pun kedengaran dalam kalangan warga awam bagi membendung gejala penurunan nilai ringgit. Untuk rekod, dasar ini pernah dilaksanakan pada September 1998, yang mana nilai ringgit ditambat pada kadar RM3.80 bagi setiap nilai dolar AS. Dasar ini kemudian telah pun dimansuhkan pada Julai 2005 berikutan kedudukan ekonomi yang kian mengukuh selepas krisis kewangan di Asia yang berlaku sekitar tahun 1997 dan 1998. Semenjak itu, nilai mata wang ringgit dilihat ditentukan oleh kuasa pasaran.

Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat. Oleh itu, secara logiknya pemerintah dalam kes ini pihak Bank Negara Malaysia (BNM), bebas untuk menentukan dasar yang terbaik bagi negara ini. Dan ini boleh dikatakan salah satu erti kemerdekaan memandangkan negara bakal menyambut tarikh keramat itu pada 31 Ogos ini. Persoalan, adakah tambatan ringgit perlu?

Bagi menjawab persoalan ini, kita harus membuat perbandingan terhadap keadaan ekonomi pada masa kini dan sewaktu berlakunya krisis kewangan Asia pada tahun 1997/98. Kita dapati bahawa rizab antarabangsa yang merupakan aset BNM secara puratanya berada pada tahap AS$21.5 bilion pada tahun 1998 berbanding AS$96.7 bilion setakat bulan Julai tahun ini. Oleh itu, pihak BNM mempunyai sumber-sumber yang lebih daripada mencukupi bagi menstabilkan kadar mata wang ringgit. Selain itu, sektor perbankan mempunyai lebihan modal yang tinggi iaitu RM100 bilion pada masa kini.

Ini bererti, sektor perbankan mempunyai kemampuan yang tinggi untuk menjana pertumbuhan pembiayaan meskipun berhadapan situasi sukar. Ini terbukti apabila pertumbuhan pinjaman masih menunjukkan trend peningkatan iaitu pada kadar 9.1 peratus pada bulan Jun. Berdasarkan ini, boleh kita simpulkan bahawa tiada keperluan bagi melancar dasar yang ekstrem. Sebaik-baiknya, langkah intervensi yang terbaik adalah bagi memastikan keyakinan para pelabur terhadap ekonomi Malaysia tetap utuh. Hal ini boleh dicapai melalui dasar ekonomi yang menjamin pertumbuhan kekal mapan. Terbaru, angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan yang melebihi jangkaan iaitu 4.9 peratus pada suku kedua berbanding 4.5 peratus yang dianggarkan oleh kebanyakan penganalisis ekonomi.

Kecairan

Prestasi seperti ini dikira baik berbanding pencapaian negara-negara di rantau Asia seperti Indonesia, Singapura dan Korea Selatan yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan KDNK pada suku kedua sebanyak 4.7 peratus, 1.8 peratus dan 2.2 peratus. Di samping itu, defisit fiskal negara juga terus mencatatkan penurunan pada separuh tahun pertama 2015 iaitu pada kadar 2.8 peratus daripada nilai KDNK berbanding 3.5 peratus pada tempoh sama tahun lepas.

Negara juga masih mencatatkan lebihan akaun semasa sebanyak 2.7 peratus daripada nilai KDNK pada suku kedua. Ini bererti, Malaysia bukanlah negara yang mengalami defisit berkembar (defisit fiskal dan defisit imbangan akaun semasa) seperti yang berlaku di Indonesia dan India. Ini sekali gus mencerminkan keadaan kecairan yang baik bagi sistem kewangan di Malaysia.

Selain daripada itu, Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga berada pada tahap yang tinggi iaitu 3.25 peratus. Perkara ini menandakan pihak BNM mempunyai fleksibiliti yang tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi kerana OPR boleh sahaja diturunkan sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian. Mungkin sedikit analogi boleh membantu kita memahami keadaan ini.

Bayangkan negara adalah sebuah kereta yang suatu ketika dahulu tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti beg udara yang mampu menyerap kesan pelanggaran. Namun, ketika ini pula negara telah mempunyai “beg udara” dan dilihat mampu untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Meskipun demikian, sebagai individu atau pun ketua keluarga, berita-berita mengenai ekonomi dunia dan tempatan seharusnya diambil secara serius. Perancangan kewangan yang teliti serta pelaksanaan yang konsisten mampu menjamin kewangan peribadi yang kukuh.

Di dalam al-Quran juga ada menyebut mengenai kitaran ekonomi seperti yang dinukilkan dalam Surah Yusuf ayat 47, 48 dan 49 yang jelas menyatakan kitaran turun naik selama tujuh tahun. Di samping itu, ayat tersebut juga menekankan keperluan untuk membuat simpanan kerana ia akan digunakan pada waktu sukar. Oleh itu, kita seharusnya peka terhadap situasi semasa bagi membuat penilaian serta keputusan yang bijak dan bukannya mengikut emosi bagi memastikan kelangsungan hidup yang lebih terjamin.   - Mohd Afzanizam ABdul Rashid Utusan Malaysia Rencana 16 Ogos 2015

Tags: ekonomi
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments