kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jangan sampai rosak parti

MUKADIMAH - SEBAGAI bekas Perdana Menteri, TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI senantiasa sahaja diekori terutamanya dalam keadaan krisis politik sekarang bagi mendapatkan pandangan terkini beliau tentang kemelut yang berlaku dalam UMNO. Namun tidak ada apa yang dapat mengubah pendiriannya yang mahu bersikap berkecuali dalam krisis ini kerana itulah sikap sebenar dirinya.

Tidak mahu memburukkan orang lain, tidak mencampuri urusan kerajaan, tidak menyebelahi mana-mana pihak apatah lagi cuba memperhangatkan suasana dengan mengeluarkan kenyataan pedas dan panas, itulah sikap dan keperibadian mulia yang masih kekal pada dirinya yang cukup dikenali sebagai Mr. Nice Guy sejak awal kepimpinan dan kekal sehingga kini setelah bersara pada 2009.

Ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia AZMAN ANUAR, HAFIZAHRIL HAMID, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, dan RASDAN AHMAD serta jurugambar ABDUL RAZAK LATIF di rumahnya, beliau tetap menyatakan keresahan tentang apa yang menimpa UMNO ketika ini.

"Bagi saya, apa yang berlaku, walaupun ahli-ahli ada yang marah dan menyampah dengan keadaan ini, kepimpinan UMNO mesti mengambil tahu perkara ini.

"Saya cukup sayangkan UMNO. Jika hilang UMNO, tidak tahulah apa yang akan berlaku selepas ini. Saya mengharapkan agar Najib berjaya memperelok keadaan dan menjaga parti ini dengan seberapa baik mungkin.

"Mudah-mudahan Najib akan berjaya mengawal keadaan ini," katanya yang kemudian sempat menyediakan jamuan ala hari raya dengan ketupat palas, kuah kacang dan serunding. Malah beliau menghidangkan sendiri jamuan kepada tetamu, menyerlahkan sosok rendah diri serta kemurnian peribadinya.

Sebelum mengundurkan diri, kami sempat dibawa mengelilingi laman rumahnya yang dihiasi pelbagai spesies pokok hutan yang diusahakan sendiri oleh isterinya, Tun Jeanne Abdullah.

MINGGUAN: Bagaimana kehidupan Tun sekarang selepas tidak ada lagi tekanandari segi politik, ekonomi dan sosial selepas bersara?

ABDULLAH: Itu yang bagus sebab sudah tidak ada tekanan. Orang tidak tahu tekanan sebagai Perdana Menteri.

Selepas berundur sebagai Perdana Menteri, apakah Tun ada ditawarkan sebagai pengerusi mana-mana syarikat korporat milik kerajaan?

ABDULLAH: Tidak ada. Menyusahkan sahaja. Saya cuma jadi pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS).

Masih ada sebahagian masyarakat Malaysia yang bukan sahaja tidak faham tentang Islam, malah menghina agama kita. Apakah peranan IKIM bagi menangani perkara ini?

ABDULLAH: Banyak usaha yang mesti dilakukan. Sebab hendak beri penerangan yang sebaik-baiknya bukan senang. IKIM tujuannya sudah tentu hendak memberi kefahaman berkaitan dengan Islam. IAIS pula peranannya lebih mendalami hal-hal bersabit dengan Islam pada zaman dahulu dan zaman sekarang.

Selepas bersara, apakah masih ada dalam kalangan pemimpin UMNO yang datang berjumpa untuk minta nasihat atau sekadar bertanya khabar Tun?

ABDULLAH: Kawan-kawan lama pun ada datang bersembang.

Mungkin ada pemimpin yang rapat semasa Tun ada kuasa dahulu tetapi lupakan terus apabila Tun bukan lagi Perdana Menteri.

ABDULLAH: Itu pilihan masing-masing. Mereka ada kerja banyak. Saya pun ada banyak kerja juga sekarang ini. Bukan berkelahi atau apa, mungkin mereka lebih sibuk.

Pernahkah Tun rasa kecil hati atau terkilan dengan mereka yang bersikap begitu?

ABDULLAH: Saya tidak ada rasa terkilan atau kecil hati. Kalau mereka tidak datang sekalipun, takkan kita hendak menangis sebab mereka tidak datang. Kalau mereka tidak datang, tidak apalah. Mereka ada kerja dan saya pun ada kerja.

Bercakap soal semasa, rakyat melihat suasana politik sekarang tidak begitu bagus dan semakin berkecamuk tetapi bagaimana pula pada pemerhatian Tun sendiri?

ABDULLAH: Saya rasa agak resah sedikit dengan apa yang berlaku sekarang. Masing-masing dengan idea masing-masing. Semua orang hendak bercakap. Keadaan menjadi kelam kabut, tidak tentu arah dan bergaduh sesama sendiri.

Keadaan begini menimbulkan dalam kalangan kita, perkara-perkara yang tidak menyedapkan hati. Saya pergi ke kedai atau ke mana-mana, ditanya juga tentang keadaan sekarang. “Pak Lah macam mana sekarang ini?” Jadi, kita dengarlah.

Jadi, apakah nasihat Tun dalam suasana politik sekarang?

ABDULLAH: Orang kata Barisan Nasional (BN) mencatatkan keputusan tidak elok atau paling buruk dalam pilihan raya umum ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, tetapi kebenarannya BN dan UMNO masih menang. UMNO masih hidup lagi dan kepimpinannya masih ada.

Saya tertanya-tanya juga. Janganlah kelam kabut. Kita mesti bertenang dan memikirkan langkah-langkah terbaik supaya dapat memperbaiki keputusan pilihan raya.

Apakah Tun pernah buat teguran kepada Perdana Menteri tentang perkembangan sekarang yang memperlihatkan penurunan sokongan rakyat kepada kerajaan?

ABDULLAH: Saya ada tegur apabila berjumpa dengan Najib.

Perasaan rakyat yang agak marah dengan rombakan Kabinet baru-baru ini. Dilihat sokongan rakyat terhadap UMNO semakin menurun, bagaimana UMNO boleh mengatasi keadaan ini?

ABDULLAH: Bagi saya, apa yang berlaku, walaupun ahli-ahli ada yang marah dan menyampah dengan keadaan ini, kepimpinan UMNO mesti mengambil tahu perkara ini. Tidak boleh melupakan situasi yang sedang berlaku dan perlulah bersedia dan mengambil tahu sepanjang masa. Kalau pucuk pimpinan buat tidak tahu, seminggu pun UMNO boleh lingkup. Kepimpinan parti perlulah kuat dan janganlah hanya harapkan kepada orang lain. Kita sendiri perlu mencorakkan parti kita.

Bagaimana Tun melihat kedudukan UMNO sekarang? Mungkin ada ahli berada di tengah-tengah sama ada menyokong kepimpinan individu atau menyokong UMNO sebagai parti?

ABDULLAH: Saya rasa ahli UMNO sekarang banyak menyampaikan pandangan masing-masing. Mungkin mereka tidak puas hati dan beri pandangan mereka dalam akhbar seperti Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Sejak penubuhannya, akhbar ini memainkan peranan besar dalam hubungan rakyat dan pemimpin.

Apakah pandangan-pandangan itu dapat membantu? Dalam keadaan itu, kita dapati apakah keadaan lebih kelam kabut, susah hati, tidak seronok dan banyak cakap-cakap lain yang tidak elok? Dan apakah mereka tidak pernah lupa atau terus menerus (dalam keadaan begitu)? Kita harapkan nanti kita dapat pandangan yang lebih elok atau tepat yang dapat diterima oleh ramai.

Kalau kita lihat dari segi kesetiaan ahli UMNO kepada pemimpin, mereka cuma marah seketika dan akan kembali bertaut. Pandangan Tun dalam hal ini?

ABDULLAH: Dahulu pun macam itu juga. Agaknya mereka sedar telah buat keputusan tidak betul.

Pada 1987, Tun juga pernah digugurkan daripada Kabinet tetapi kembali bangkit sehingga menjadi Perdana Menteri. Apakah nasihat Tun kepada bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin-pemimpin lain yang turut digugurkan dalam rombakan Kabinet baru-baru ini?

ABDULLAH: Pengalaman saya tidak boleh disamakan dengan pengalaman orang lain sebab pengalaman orang ini lain-lain. Masa saya dahulu, ada banyak kekuatan. Masa itu, saya rasa lebih senang untuk berjalan dan bekerja, tidak terbatas hanya dalam pejabat sahaja.

Bagi saya pemimpin-pemimpin yang terlibat janganlah merajuk, jangan meradang dan jangan menyumpah. Saya sendiri tidak merajuk ketika saya dibuang dahulu. Walaupun saya dibuang ketika itu, saya tetap berkempen seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja, Johor (1988). Perjuangan saya tetap dan telus bersama UMNO.

Saya cukup sayang kepada UMNO. Saya tetap jalankan tugas saya walaupun pada waktu itu saya tidak ada jawatan. Saya turun berkempen dan berceramah sampai tengah malam dan bercakap dengan orang kampung di situ. Bagi saya, apa yang penting adalah hati saya sendiri yang cukup sayang kepada parti walaupun saya dibuang. Itu adalah tugas yang perlu saya lakukan.

Keadaan sekarang sedikit sebanyak mencetuskan perpecahan dalam UMNO. Apakah yang harus dilakukan bagi memastikan UMNO terus utuh?

ABDULLAH: Saya akui kesan itu memang ada, tapi saya harap langkah-langkah yang sepatutnya diambil dan keadaan ini perlulah dikawal. Parti sepatutnya mengawal apa sahaja masalah yang berlaku dan sekiranya tidak terkawal, hancur semuanya. Parti di negara mana sekalipun, kalau tidak dikawal memang akan jadi masalah.

Kalau kita lihat, pembangkang berjaya membentuk persepsi negatif terhadap pemimpin kerajaan dan UMNO dengan menggunakan perang saraf menerusi media sosial. Ahli-ahli UMNO dan penyokong kerajaan dilihat tidak begitu kuat dalam media sosial untuk menangkis tohmahan demi tohmahan yang dilemparkan. Pandangan Tun?

ABDULLAH: Saya lihat ahli-ahli lebih mengharapkan kepada UMNO dan kepimpinan UMNO. Ahli mahu melihat apa yang dilakukan oleh kepimpinan walaupun pelbagai situasi sedang timbul. Ahli ada yang marah, namun pucuk kepimpinan perlu ada kesungguhan untuk memperbetul keadaan. Kita bukan kata ahli UMNO tidak peduli akan serangan-serangan yang dilakukan oleh pihak lain. Setiap ahli sememangnya ambil peduli dengan hal ini. Ada yang marah, namun mereka tetap sabar.

Sebab itu saya katakan setiap pemimpin perlu ada kemampuan dan kebolehan mereka sendiri untuk menentukan kembali keadaan. Antaranya keadaan ekonomi dan perkara-perkara yang berlaku ketika ini.

Alhamdulilah di negara kita tidak berlaku perang saudara dan sebagainya yang kita tidak mahu. Kalau ada pun, itu hanya sifat marah antara ahli. Sikap ahli UMNO berbeza-beza. Ada yang marah dan ada yang mahu tengok keadaan dahulu. Pemimpin mestilah kuat, teguh dan meyakinkan.

Kalau ketiga-tiga ciri ini tidak ada, habislah dan akan longgarlah parti. Apa yang kita harapkan adalah kekuatan dalam menguruskan hal kepimpinan dan pengurusan parti kita. Kepimpinan juga perlu pandai mengawal ahli-ahli supaya tidak lari. Perkara ini memang ada walau dalam parti lain sekalipun.

Isu laman sosial yang semakin berleluasa macam tidak ada tindakan sehingga orang tidak takut untuk menyebarkan fitnah. Akta berkaitan semua ada, tetapi kenapa kita lihat penguatkuasaan tidak dijalankan?

ABDULLAH: Sebenarnya ini satu isu baru. Saya nampak kawalan itu memang ada. Kita tidak boleh kata tidak ada kawalan. Situasi zaman saya dan situasi sekarang agak berbeza. Bagi saya pihak yang berwajib sebenarnya perlu cepat mengawal keadaan sebelum keadaan ini menjadi tidak terkawal sehingga merosakkan negara sendiri.

Keadaan sekarang mungkin berbeza dengan zaman Tun. Ketika Tun melepaskan jawatan, isu-isu yang berlaku bukanlah besar jika dibandingkan dengan situasi sekarang. Pandangan Tun dalam hal ini?
ABDULLAH:
Zaman saya lain dengan situasi sekarang. Masa saya ambil alih dahulu, keadaan ekonomi teruk juga, tetapi sepanjang masa kita mengawasi situasi itu. Jadi, keadaan semakin baik. Sepanjang masa, kami bekerja keras bagi memastikan keadaan semakin baik. Kita pegang dan kawal keadaan. Alhamdulillah keadaan itu semakin elok.
Orang yang bertanggungjawab perlulah pegang dan kawal situasi ini supaya keadaan menjadi bertambah baik. Keadaan negara kita sebenarnya semakin baik dan meningkat dari semasa ke semasa dan keadaan ini tidaklah mendatar seperti keadaan politik di negara-negara lain.

Semasa Tun menjadi Perdana Menteri, ada pihak menuntut Tun meletakkan jawatan, namun dalam pelbagai isu yang timbul ketika ini, kenapa Tun langsung tidak mendesak ke arah itu?
ABDULLAH
: Ketika itu, saya ada buat beberapa perbincangan yang panjang dengan Najib. Saya buat keputusan untuk letak jawatan ketika itu dan saya cakap Najib perlu ambil alih jawatan tersebut. Saya pilih Najib untuk menjadi Perdana Menteri dan berharap beliau menjadi ketua yang baik.
 Saya harap dia melakukan kerja dan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang saya lakukan. Itulah yang saya harapkan daripada beliau. Saya akan merasa gembira sekiranya beliau berjaya melakukan sesuatu yang lebih daripada saya.
Saya tidak cemburu dan sakit hati. Saya hanya mahukan beliau melakukan kerja yang bagus. Saya tidak mahu beliau fikirkan tentang saya kerana hanya mahu beliau lakukan kerja yang sepatutnya.

Melihat keadaan sekarang, ramai yang mengatakan BN akan kecundang dalam pilihan raya umum nanti. Pada pandangan Tun macam mana?
ABDULLAH:
Memang ramai yang cakap macam itu dan ada juga yang mengharapkan keadaan akan bertambah baik. Dalam hati saya, sayang pada parti ini tetap ada. Tetapi kita orang UMNO, kita faham dengan situasi ketika ini.
 Saya cukup sayangkan UMNO. Jika hilang UMNO, tidak tahulah apa yang akan berlaku selepas ini. Saya mengharapkan agar Najib berjaya memperelok keadaan dan menjaga parti ini dengan sebaik mungkin. Mudah-mudahan Najib akan berjaya mengawal keadaan ini.
Semua ahli UMNO pada zaman saya, duduk dan bermuafakat sekali. Maka tidak timbullah isu perpecahan seperti apa yang dikatakan berlaku ketika ini.

Melihat kepada kekuatan pembangkang terutamanya DAP ketika ini sehingga ada orang Melayu pun masuk jadi ahli, apakah pembangkang mampu menggugat kekuatan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang?
ABDULLAH:
Politik ini sebenarnya tidak boleh dijangka kerana dalam seminggu pun boleh berubah. Buat masa ini, masing-masing ada kekuatan sendiri. Jadi, kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini. Saya juga tidak tahu apa perasaan orang Melayu yang menyertai DAP.
Mungkin mereka pilih parti itu kerana ada sebab yang tersendiri. Saya juga lihat DAP ketika ini boleh terima jika pemimpin mereka sendiri dalam kalangan orang Melayu. - Utusan Malaysia Rencana 16 Ogos 2015

Tags: politik
Subscribe

Posts from This Journal “politik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments