Menjelang pilihan raya umum 1999, perang siber jelas dimenangi pembangkang dari segi bilangan laman web, pengguna dan pengaruh. Dalam menghadapi perang siber Pilihan Raya Umum 2004, laman web pro-UMNO dan pro-BN hanya 13, berbanding 37 yang propembangkang.
Jumlahnya berubah sekarang tapi masih tidak seimbang. Kini, 16 tahun kemudian, Perdana Menteri dan Presiden UMNO masih merungut perkara sama.
Kenapa tidak ramai keyboard warriors dan cyber troopers dalam kalangan 3.7 juta ahli UMNO serta sekian ramai lagi penyokong dan aktivisnya?
Apakah bloggers dan pengguna media sosial UMNO kurang berpengaruh dan tidak mampu menangkis fitnah dan serangan pembangkang?
Ramai melihat Penerangan UMNO tidak mempunyai kepakaran atau strategi.
Pemuda UMNO yang menubuhkan unit IT sekitar 2003-2004 tidak konsisten, manakala janji Puteri UMNO menubuhkan 'tentera semut' untuk melawan pembangkang sekadar ikrar di perhimpunan agung.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akui 40 peratus ahli UMNO tidak menjiwai perjuangan parti.
Dalam pada itu, sekian ramai bloggers and pejuang kekunci yang dikenali pro-UMNO-BN tapi kini, tidak lagi.
Barangkali golongan inilah yang dipanggil 'bangang' oleh Datuk Seri Najib Razak ketika berucap di persidangan UMNO Mei lalu.
Ada juga tuduhan mereka terbabit dengan agenda menjatuhkan kerajaan dan mensabotaj negara, tapi menurut seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, puak menjatuhkan parti ialah kaki kipas dan pengadu domba, termasuk orang yang mengelilingi Perdana Menteri/Presiden UMNO.
Sepatutnya pertahan UMNO
Najib juga mahu bloggers dan pejuang kekunci UMNO melawan persepsi negatif terhadap parti dan kerajaan yang dicipta pembangkang.
Mencipta persepsi salah dan buruk terhadap UMNO, BN dan pemimpin kerajaan sememangnya kerja pembangkang.
Kerja blogger dan pejuang kekunci UMNO dan prokerajaan ialah memperbetulkan persepsi, mewujudkan keyakinan dan meningkat kepercayaan pembaca di medan siber.
Soalnya, bagaimana mereka mampu berbuat begitu jika tidak dapat maklumat yang cukup dan betul mengenai sesuatu isu yang panas dan sensitif?
Misalnya isu 1MDB, wang derma RM2.6 bilion dan persepsi negatif rakyat berikutan penahanan, penangkapan, pemindahan dan pemecatan pegawai-pegawai tinggi kerajaan baru-baru ini.
Dalam keadaan peristiwa berlaku dengan cepat, daripada manakah bloggers UMNO dan pejuang kekunci prokerajaan boleh mendapat maklumat sahih dan secepat kilat untuk memperbetulkan pelbagai dakwaan, fitnah dan maki hamun yang dilemparkan terhadap pemimpin parti dan kerajaan?
Rakyat disaran tolak fitnah yang tersebar di media sosial dan cari kebenaran. Di mana mereka harus cari dan dengan siapa boleh mereka sahkan maklumat, gambar atau berita panas yang diperoleh secara WhatsApp, SMS, e-mel atau Twitter: Adakah dengan Ketua Polis, Menteri Kewangan II atau Pengarah Komunikasi Strategik BN?
Kata Pengarah JASA, Datuk Fuad Zarkashi, Najib sudah jawab isu 1MDB 48 kali. Tapi sudah lebih setahun, isu ini belum reda. Adakah ini kerana rakyat tidak percaya dengan jawapan beliau?
Setiap kali jawab, ada soalan baharu yang timbul. Jika ada Menteri dan Ahli MT UMNO yang tidak tahu manakala pegawai kerajaan tidak berani bercakap, adakah bloggers dan pejuang kekunci perlu cipta jawapan sendiri?
Menteri yang dipertanggungjawab bercakap mengenai 1MDB lebih selesa diam, lalu diambil alih orang lain, termasuk Menteri Pelancongan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Lima belas soalan oleh seorang wakil Pemuda Johor di Internet dituju kepada Najib tapi dijawab Pengerusi Kelab Penyokong BN. Ada perbezaan kepada jawapan yang mereka beri.
Justeru, jawapan siapa yang boleh dipegang sebagai benar oleh bloggers UMNO untuk disebarluaskan? Minggu lalu, Pengerusi Amanah Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar pula kemukakan 12 soalan - siapa nak jawab?
Bagaimanakah bloggers UMNO dan prokerajaan boleh meningkatkan kepercayaan dan keyakinan pembaca?
Integriti, kredibiliti dan pengaruh seseorang blogger bergantung kepada kesahihan maklumat, kekuatan hujah, gaya bahasa dan penulisan, serta kecepatan beliau memuat naik postingnya.
Ini yang menjadikan mereka berpengaruh dan ramai pengikut/pembaca. Tulisan mereka diminati pembaca kerana bernas, bebas, berani dan berprinsip.
Namun, dalam kalangan bloggers dan pejuang kekunci UMNO, ramai yang hilang kredibiliti dan pengaruh kerana tulisan tiada fakta, bersifat propaganda, banyak mengutuk dan menggunakan bahasa kasar atau lucah.
Yang malas hanya 'copy paste' tulisan orang lain di blogspot atau laman web yang mereka kendali. Ini tidak bermakna semua bloggers propembangkang ada integriti, bagus dan hebat.
Ramai yang merapu. Tapi itu masalah mereka. Ada bloggers pro-UMNO yang berasal daripada pembangkang, sangat aktif dan bertahun-tahun menghentam parti dan kerajaan.
Tapi, di bawah tajaan UMNO, mereka jadi malas dan tidak seaktif dulu. Ini mungkin kerana mereka sudah 'kekenyangan.'