kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mustahil sekat media sosial

Mutakhir ini persoalan media sosial terus mencorak polemik dan senario politik di negara ini. Malaysia berdepan persoalan maklumat yang tidak terkawal di alam maya.

Cadangan yang agak ekstrem menangani media sosial termasuklah cadangan menyekat akses laman sosial. Agak mustahil untuk menyekat penggunaan media sosial kerana jumlah pengguna Facebook tempatan dilaporkan sudah mencecah 23 juta.

Ramai mengakui kehadiran dan kebaikan media sosial yang menjadi alat transformasi dalam semua aspek kehidupan kita. Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan bahawa pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia 1998 akan dibentang di Dewan Rakyat, Oktober depan.

Pengguna media sosial sepatutnya bertanggungjawab terhadap segala yang ditulis oleh mereka. - Foto hiasan


Usaha meminda akta itu diambil sebagai langkah komprehensif kerajaan membabitkan pindaan pentadbiran dan penguatkuasaan bagi menangani penyalahgunaan dalam media sosial.

Pindaan undang-undang sedia ada itu juga mengambil kira beberapa peruntukan penting mengenai pentadbiran dan penguatkuasaan, malah kerajaan sudah mengadakan beberapa siri membabitkan kerjasama pihak berkepentingan.

Bukan isu baharu

Persoalannya, kenapa setiap kali wujud isu dan krisis membabitkan media sosial, baru memikirkan pindaan?

Pada hal, isu berkaitan media sosial sudah wujud sejak awal tahun 1990-an lagi.

Setiap kali pindaan yang ingin dibawa ke Parlimen memakan masa agak lama.

Sebenarnya, pelbagai undang-undang yang sudah sedia wujud di negara kita, mampu dan sudah boleh dikuatkuasakan. Sementara menanti pindaan itu, laksanakanlah mana-mana undang-undang yang sedia ada.

Persoalannya adalah daripada aspek penguatkuasaan. Jika diteliti, tindakan undang-undang boleh digunakan bagi mengawal selia segala yang berlaku dalam dunia siber.

Antaranya undang-undang dan akta media yang boleh dikuatkuasakan termasuk Facebook seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563), Akta Hasutan 1948 (Akta 15), Akta Fitnah 1957 (Akta 286), serta Kanun Keseksaan (Akta 574). Sebagai contoh kes membabitkan penyalahgunaan internet termasuk Facebook ini dapat dikurangkan dengan penguatkuasaan berterusan undang-undang berkenaan. Kerajaan juga sudah melakukan pindaan terhadap Akta Keterangan 1950 (Akta 56) membabitkan prosedur perundangan bagi proses pembuktian jenayah internet termasuk Facebook. Malah, pindaan itu sudah diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 April 2012 dan mula berkuat kuasa pada 31 Julai 2012.

Pindaan Akta 56 itu sudah dilakukan dengan penambahan Seksyen 114A yang bertajuk 'Andaian Fakta dalam Penerbitan.' Seksyen 114A juga boleh diguna pakai dalam kes jenayah dan sivil, mengandaikan bahawa pemilik, pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web.

Atau pemilik komputer mahupun peralatan mudah alih dianggap 'bertanggungjawab' menyiarkan atau mengulang siar kandungan yang ada di rangkaian laman web atau peralatan terbabit.

Jika kita merujuk kes penyebaran maklumat palsu dan tidak pasti yang berlegar dalam persoalan politik negara sekarang ini, jelas menunjukkan sesiapa yang menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan berunsur fitnah boleh diambil tindakan.

Daftarkan pengguna media sosial

Media sosial khususnya Facebook tidak seharusnya ditutup. Media sosial memainkan peranan penting dalam industri antarabangsa, perniagaan, pendidikan, sektor korporat, swasta dan kerajaan.

Kita tidak seharusnya mengikut jejak negara yang menyekat penggunaan Facebook seperti Turki, China, Vietnam, Pakistan, Iran, Mesir, Algeria, Tunisia, Cameroon dan Korea Utara.

Corak pentadbiran dan sistem Perlembagaan negara berkenaan jauh berbeza dengan Malaysia. Cadangan supaya pengguna Facebook, Twitter, Instagram dan media sosial yang lain mendaftar di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media Malaysia adalah untuk mengenal pasti individu bertanggungjawab ke atas penyiaran dan penyebaran bahan berunsur hasutan di internet.

Memandangkan kes penyalahgunaan akaun laman sosial khususnya Facebook semakin berleluasa dan tidak terkawal, sudah sampai masanya kerajaan mengkaji cadangan mewajibkan setiap pengguna laman sosial didaftarkan.

Bagi sesetengah individu, cadangan itu mungkin sukar dilakukan berikutan jumlah penggunanya ramai. Namun, usaha yang sama juga berjaya kita lakukan pada tahun 2006 apabila mewajibkan pendaftaran pengguna telefon bimbit prabayar untuk membantu pihak berkuasa mengesan mereka yang menggunakan perkhidmatan itu untuk membuat panggilan atau khidmat pesanan ringkas berunsur fitnah atau palsu.

Didik pengguna adab guna laman sosial

Apa yang perlu ialah untuk terus mendidik pengguna mengenai adab menggunakan laman sosial. Pada masa sama, perlu lebih tegas dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan akta sedia ada kepada mana-mana yang melanggar undang-undang.

Media sosial bukan lagi media yang bebas dan apa-apa yang ditulis mungkin mempunyai implikasi undang-undang. Dengan undang-undang, kesalahan terhadap fitnah, hasutan dan sebagainya diperluaskan kepada media sosial, kebebasan yang lazimnya dimiliki oleh pengguna internet menjadi terhad dan tertakluk kepada undang-undang.

Ini dikatakan akan membawa impak dan kesan kepada pengguna media sosial dan menjejaskan cara mereka berkelakuan di atas media sosial.

Sebenarnya, pengguna media sosial menjadi terlalu mudah untuk terjerumus ke dalam kategori liabiliti dari segi undang-undang sivil dan kesalahan jenayah.

Dulu, perkataan dan artikel ditulis tanpa perlu diperiksa sebelum diterbitkan di media sosial serta tanggungjawab terhadap apa yang ditulis di atas internet bukanlah satu isu.

Bagaimanapun, keadaan berubah pada masa kini. Sebagai contoh, untuk membuktikan kesalahan fitnah, seseorang itu perlu membuktikan bahawa wujud penerbitan kepada orang ramai mengenai perkataan yang berfitnah, dan sekarang, dengan sifat media sosial yang sangat mudah menerbit artikel, ia menjadi terlalu mudah untuk memenuhi elemen ini.

Apa yang membimbangkan pengguna internet ialah sekatan dan penguatkuasaan undang-undang ke atas media sosial akan menjadi ancaman kepada pengguna media sosial.

Namun, yang penting, pengguna diminta untuk bertanggungjawab terhadap segala yang ditulis oleh mereka dan segala yang ditulis mesti dibuktikan kebenarannya terlebih dulu.
Tags: akta, media
Subscribe

Posts from This Journal “media” Tag

  • Hampir semua berita berbaur politik

    Kita terlampau berpolitik, setuju? oleh Merrepak 24 Mac 2019 adalah dipersetujui. Setiap hari tentunya kita akan membaca dan memperolehi berita…

  • Print media still has a role

    Avoid straining your eye and outlook and ‘never say die’ is maybe what I understand of the writing by the NST group editor, Rashid Yusof…

  • Media cetak masih relevan

    Elakkan dari menyakitkan mata dan pandangan anda dan 'jangan mengalah' mungkin apa yang saya faham tentang penulisan oleh editor kumpulan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments