kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Salahkah Ismail Sabri?

MENGAPA pula Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu dipersalahkan han­ya kerana beliau ma­hu mewujudkan satu lagi Plaza Low Yat di Bangunan Mara, Kuala Lumpur? Pelikkan! tiba-tiba sahaja Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dicap rasis.

Benarlah kata orang bahawa apa sahaja yang diungkapkan sekarang ini jika ia berkaitan soal kemajuan atau pembelaan atau demi untung nasib orang Melayu, semua akan dilabelkan sebagai rasis. Takkanlah sebegitu sekali kejengkelannya.


Kompleks Menara Mara atau Bangunan Mara baharu yang tersergam di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, bersempadankan dua jalan raya yang amat sibuk iaitu Jalan Raja Laut di hadapan dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah belakangnya menjadikan kedudukannya strategik untuk lokasi Low Yat 2

Bukankah hak-hak keistimewaan seperti yang terjamin di bawah Perkara 153 itu tidak wajar dipolitikkan kerana hak-hak asas keistimewaan itu bukan sesuatu yang mencabul Perlembagaan negara? Memberi latihan, biasiswa, dermasiswa, galakan ekonomi bagi orang Melayu dan Bumiputera adalah tuntutan Perlembagaan negara yang dipersetujui semua pihak pra 1957.

Hak Melayu dan Bumiputera se­­dia terjamin dan kekal dalam Per­lembagaan manakala hak masyarakat Cina, India dan lain-lain kekal di sisi undang-undang negara sehingga hari ini.

Kritikan pihak-pihak luaran UMNO terhadap Dasar Ekonomi Baru dan perjuangan pimpinan UMNO termasuk daripada Ismail Sabri sendiri, dalam menegakkan ekonomi anak bangsa harus dibereskan. Mengapa pula kini seolah-olah orang Melayu kena minta maaf akan kenapa sesuatu dasar itu diperbuat?

Ramai yang lupa bahawa apa yang ada pada orang Melayu hanyalah sekelumit berbanding apa yang dimiliki kaum-kaum lain. Dalam hal pemilikan tanah, perniagaan, pelajaran dalam bidang profesional, teknikal, perubatan dan sebagainya, orang Melayu dan Bumiputera masih jauh terkebelakang walaupun kejayaan di tahap-tahap tertentu sudah menunjukkan peningkatan.

Dalam senarai 10 atau 20 orang terkaya di Malaysia, siapa yang berada di barisan 15 pertama? Seingat kita, dalam senarai 20 orang terkaya, barangkali hanya dua atau tiga orang sahaja orang Melayu dalam senarai itu. Dalam berbilion ringgit nilai hartanah, bangunan, saham dan industri, siapa yang muncul teratas dan terkaya? Lihat dan jawablah.

Siapa yang kaya dengan pegangan harta di Pulau Pinang, Kangar, Alor Setar, Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Johor Bahru, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching? Melayu dan Bumiputera kah atau kaum Tionghua? Berapa premis Melayu ada di dalam KLCC, Sunway Pyramid, Subang Parade, Empire, Subang Jaya? Adakah bilangannya pada jari sepuluh pun tak sampai.

Doktor peguam, jurutera, akauntan dan para profesional lain di negara ini, siapa yang teramai mewakili golongan tersebut? Bukankah rakan-rakan Tionghua kita? Di mana di dunia Barat, pendidikan Tionghua dan India bebas digalakkan dengan bantuan kerajaan? Tidak ada, melainkan di negara kita. Kenapa DAP, PKR dan Pas segan silu nak berterus terang dalam hal seperti ini? Dan kenapa pula orang UMNO seperti Ismail Sabri apabila bercakap serta menyatakan keluhan kebimbangannya tentang nasib usahawan dan peniaga Melayu, beliau dicerca sehinggakan laporan polis dibuat kononnya beliau berisiko mencetuskan ketegangan kaum?

Orang Melayu tidak harus mudah apologetik atas nama perjuangan atau semasa menegakkan yang hakiki. Fakta bahawa negara ini asalnya negeri Melayu tetapi dikongsi pembangunan dan pentadbirannya dengan warga bukan Melayu, ini perlukan penegasan dan penerimaan. Melayu dan Bumiputera harus jangan segan silu mempelopori keutamaan perjuangannya, sekalipun berlainan agama. Bagaimana dilaung, begitulah diamalkan. Fasal 3 Perlembagaan UMNO jangan diabaikan.

Jika agenda ini disambil lewakan atau berasa segan untuk dijayakan, lantaran takut apa orang lain kata, identiti perjuangan Melayu akan berpaling kepada tahap takut dan teragak-agak.

Justeru, fakta politik bilangan (politics of number) mesti dijuarakan. Yakni dengan kekuatan 60 pe­ratus Melayu-Bumiputera di negara ini, di samping menghormati hak semua pihak, jangan takut memper­ju­angkan dan mengekalkan apa yang hakiki. Perjuangan hakiki membe­la mereka perlu terus diterapkan da­lam perjuangan.

Masyarakat bukan Melayu amat teguh budaya bangsa mereka sehingga memegang hampir 68 peratus kekayaan negara ini. Tetapi se­ge­lintir mereka bebas mengatakan pelbagai cerca dan penidakan konon mereka disisih, didiskriminasi, seolah-olah mereka jadi warga nombor dua atau nombor tiga. Padahal kita semua maklum dan mengetahui Per­kara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kesamarataan semua warga Malaysia.

Kenapa Melayu tidak bersatu dalam perjuangan bangsa-agama dan negara supaya kuasa politik mereka tetap kukuh dan berkuasa? Orang Melayu dan bumiputera harus memikirkan hal ini. Bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah, kendur berdenting-berdenting, te­gang berjela-jela.

Ismail Sabri perlu diberi kepercayaan dan sokongan untuk meneruskan rancangan kementeriannya dalam mewujudkan ‘Low Yat 2’ di bangunan Mara. Kita tidak mahu timbul lagi di hati perasaan diketepikan dalam perkongsian kek ekonomi. Ketika ini kek ekonomi sedang menyusut, maka tinggallah kelompok-kelompok yang kompetitif yang sudah stabil dan kuat, mendominasi sebahagian besar daripadanya.

Dan waktu ini juga ramai yang pandai tetapi tidak ramai yang bijak. Ramai yang dapat markah tertinggi Matematik tetapi mereka tidak berkebolehan mengira agihan hak dan kepentingan orang ramai.

Ismail Sabri jangan segan dan mudah tunduk terhadap pihak yang berkepentingan. Jangan lupa bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik - ular apatah lagi biawakpun ikut.

Jangan sampai orang Melayu nanti terasa seolah-olah hak mereka sudah dikompromi. Fasal 3 Perlembagaan UMNO dan Pesanan Raja-raja Melayu - dua sumber kunci perjuangan Melayu mesti disuburkan fahaman dan penerimaannya.

Tags: ekonomi, melayu
Subscribe

Posts from This Journal “melayu” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments