kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Peperiksaan kenaikan pangkat tiada nilai? Bukan syarat utama ke jawatan lebih tinggi

Apakah benar kenyataan di atas? Atau hanya gimik yang diuar-uarkan oleh mereka yang tidak memahami pengertian dan tujuan peperiksaan tersebut.

Ramai penjawat awam yang telah lama berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan penuh, badan-badan berkanun atau kuasa tempatan sudah pasti lali dengan isu berkenaan.

Setiap skim perkhidmatan sudah pasti tertera salah satu syarat peluang kenaikan pangkat ialah perlu menduduki peperiksaan KPSL atau kini disebut PSL selain syarat akademik bersesuaian dengan jawatan yang dipohon.

Hanya itu sahaja peluang yang ada bagi penjawat awam yang ingin meningkatkan kemajuan kerjaya bagi mereka yang tiada peluang untuk melanjutkan pelajaran akademik ke institusi pengajian tinggi awam/swasta akibat kekangan ekonomi, masa atau masalah peribadi.

Justeru, peluang KPSL/PSL sebegini yang dinanti-nantikan oleh sesetengah penjawat awam demi menyahut dasar kerajaan iaitu Dasar Pandang Ke Timur, “di mana orang bawahan boleh maju jika ada ke­sungguhan untuk menerajui sesuatu jabatan atau agensi kerajaan kelak”.

Dalam diam tidak diam, ramai juga penjawat awam yang menduduki peperiksaan tersebut yang ada kalanya agak sukar dan kerap gagal.

Namun atas semangat dan ke­sungguhan menyahut cabaran kerajaan maka digagahi juga untuk melepasi tahap pemarkahan kelulusan KPSL/PSL yang telah ditetapkan.

Di samping itu juga Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA) pernah memperkenalkan satu lagi peluang kenaikan pangkat dan pergerakan kenaikan gaji iaitu Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) selain KPSL/PSL tetapi akhirnya dimansuhkan.

Malangnya apabila segelintir penjawat awam telah pun lulus dan cuba merebut peluang tersebut tetapi hak mereka dinafikan dengan alasan peperiksaan KPSL/PSL itu bukan syarat mutlak untuk kenaikan pangkat.

Bagaimana perkara ini boleh terjadi?

Bila sesuatu jabatan atau agensi kerajaan mendapat kelulusan perjawatan baharu dalam penyusunan semula organisasi maka sudah pasti ada kekosongan yang wujud akibat kenaikan pangkat secara dalaman sama ada peringkat jawatan biasa ke jawatan kanan atau kanan ke ter­tinggi.

Apatah lagi jawatan secara lantikan pasti ada. Tiba-tiba kedengaran yang menyakitkan telinga, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (Bahagian Pembangunan Organisasi) memaklumkan kepada Bahagian Sumber Manusia di jabatan saya bahawa ‘keputusan peperiksaan KPSL/PSL’ itu BUKAN syarat utama bagi kenaikan pangkat’.

Habis apa guna JPA menyediakan skim perkhidmatan dengan menyediakan peluang-peluang kenaikan pangkat tetapi tidak dilaksanakan.

Sudahlah mengambil masa bertahun lamanya untuk lulus sehingga ada perkhidmatan penjawat awam itu mencecah lebih 15 tahun berkhidmat dan ada kalanya 30 tahun.

Berpengalaman dan pemarkahan laporan nilaian prestasi tidak pernah di bawah 85 peratus malah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Namun peluang tersebut terbuka kepada orang lain yang memiliki kelulusan akademik yang hanya perlu menempuhi sesi temuduga yang peratusannya hanya 20-25 peratus terhadap penilaian yang dibuat.

Bukan saya hendak menafikan mereka yang ada kelulusan akademik tetapi biarlah ada kaedah nisbah yang memberi peluang kepada penjawat awam yang telah lama lulus peperiksaan KPSL/PSL juga.

Sudahlah berkhidmat di Badan Berkanun Tertutup dan bagaimana pula nasib mereka yang berkhidmat di agensi-agensi kerajaan yang lain?

Ramai antaranya telah meningkat usia, ada tanggungan yang perlu ditanggung dan kalau boleh itulah penghargaan kesetiaan penjawat awam yang perlu dihargai oleh sesebuah, Jabatan atau agensi dan bukan diperlekehkan.

Cuba bayangkan di saat mereka akan berpencen kelak berapakah bayaran pencen yang bakal diterima semasa ekonomi Malaysia kerap ada kenaikan kos dalam sara hidup.

Apakah benar kenyataan peperiksaan kenaikan pangkat secara lantikan (KPSL/PSL) sudah tiada nilainya kini?

Renung-renunglah agar isu ini ditransformasikan oleh Jabatan Per­khidmatan Awam yang budiman.

Penjawat Awam Badan Berkanun Perlukan Transformasi. J Abdullah Kuala Lumpur Utusan Malaysia Rencana 18 Ogos 2015

Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments