kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sisi positif kelemahan ringgit

PADA Khamis minggu lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menegaskan bahawa tiada tambatan ringgit akan dikenakan meskipun kadar tukaran mata wang negara itu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semakin lemah. Setakat Isnin lalu, ringgit mencecah RM4.102 bagi setiap satu dolar AS.

Dalam hal ini pastinya, BNM memiliki maklumat terkini mengenai ekonomi yang boleh digunakan untuk membuat keputusan terbaik demi kepentingan Malaysia. Maklumat ini sudah tentu telah dan sedang dikaji dan dianalisis secara berterusan untuk memantau situasi ekonomi negara.

Keputusan tepat hanya boleh dilakukan oleh pihak yang memiliki kesemua maklumat ekonomi tersebut. Bukanlah membuat keputusan berasaskan persepsi yang dijaja dalam media sosial seolah-olah memiliki kepakaran dan maklumat terkini. Setiap keputusan yang dibuat oleh pihak BNM memberi erti yang cukup penting buat ekonomi Malaysia.

Dalam situasi harga komoditi dan harga minyak yang rendah serta pasaran menunggu keputusan Rezab Persekutuan AS mengenai kadar faedah pada bulan depan, sememangnya ringgit berdepan keadaan yang cukup mencabar.

Sebagai tokoh kewangan yang cukup berwibawa dengan perkhidmatan cemerlang selama 15 tahun, Dr. Zeti bukan setakat dikagumi di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa. Cabaran ekonomi global yang berlaku pada masa kini bukanlah pertama kali diharunginya. Negara pernah berdepan dengan krisis subprima AS pada 2008 dan ketika itu BNM telah memainkan peranannya dalam menghadapi krisis tersebut. Maka, sudah tentulah kali ini BNM juga mampu bertindak dengan cemerlang menghadapi sebarang cabaran ekonomi global yang semakin sukar dijangka.

Ini terbukti apabila ekonomi Malaysia masih mampu mencatatkan pertumbuhan 4.9 peratus bagi suku kedua tahun ini meskipun ekonomi dunia dalam keadaan tidak menentu. Ini menggambarkan bahawa setiap langkah yang dilakukan oleh kerajaan adalah berasaskan maklumat yang te­pat, sahih dan terkini. Malah, kerajaan juga te­lah memberi jaminan akan sentiasa memantau aliran tukaran ringgit berbanding dolar AS.

Cuma apa yang perlu ditekankan adalah skop pemantauan ini sewajarnya diperluaskan agar tidak memberi kesan besar terhadap kelangsungan kehidupan rakyat Malaysia. Pokoknya, apa sahaja badai yang melanda, kepentingan dan kesejahteraan rakyat tidak boleh sesekali diabaikan.

Sehari sebelum Dr. Zeti memberi penjelasan tentang ekonomi semasa negara kita, salah seorang rakan saya bertanyakan kepada saya mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada ekonomi Malaysia. Rakan saya ini sangat keliru dengan pelbagai maklumat yang dibaca dalam kumpulan WhatsApp dan media sosial. Baginya, maklumat-maklumat yang sungguh mengelirukan telah mengeruhkan lagi keadaan semasa. Inilah akibatnya apabila terlalu banyak maklumat yang mengelirukan telah menyebabkan seseorang itu tidak mendapat jawapan sebenar. Lebih banyak maklumat palsu berbanding fakta.

Antara soalan yang ditanya oleh rakan saya ini ialah adakah terdapat sebarang impak positif kedudukan mata wang ringgit yang semakin lemah. Apa yang boleh saya nyatakan kepadanya bahawa setiap sesuatu yang berlaku pastinya terdapat impak positif. Dalam konteks kelemahan mata wang ringgit, meskipun ada yang melihat dari sudut negatif seperti kos pendidikan para pelajar di luar negara meningkat tinggi dan barangan import semakin mahal, namun, itu dari satu sudut sahaja. Masih terdapat peluang, hikmah dan impak positif ke atas penurunan mata wang ini. Cuma sejauh manakah setiap daripada kita, sebagai contoh ahli-ahli perniagaan memanfaatkan impak positif ini untuk memberi manfaat kepada perniagaan mereka.

Misalnya, kelemahan ringgit pada era krisis kewangan Asia 1997/1998 telah membuka ruang institusi-institusi kewangan Malaysia bergabung di antara satu sama lain. Penggabungan ini telah mengukuhkan kedudukan institusi-institusi kewangan Malaysia dari sudut kecairan dan modal pada masa kini.

Maka, kelemahan ringgit kali ini perlu juga dilihat sebagai ruang untuk ahli-ahli perniagaan Malaysia mengukuhkan kedudukan perniagaan mereka dalam konteks domestik. Ekonomi Malaysia akan lebih kukuh lagi jika syarikat-syarikat Malaysia berdaya saing dan kuat dalam menghadapi sebarang kejutan luaran.

Era krisis kewangan Asia 1997/1998 telah menyebabkan banyak syarikat gulung tikar. Malah, syarikat-syarikat senaraian awam pun banyak yang bukan setakat mengalami kerugian tetapi kehabisan modal sehinggakan aset-aset tetap ditukar kepada aset semasa. Syarikat-syarikat ini dimasukkan dalam kategori Nota Amalan 4 (PN4). Ada antaranya telah lenyap terus dan tidak kurang juga diambil alih atau bergabung dengan syarikat-syarikat lain.

Selain itu, kelemahan ringgit yang menyebabkan kos pendidikan para pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara semakin tinggi juga membuka peluang kepada kerajaan untuk menambah lagi para pelajar Malaysia belajar di tanah air sendiri. Lagipun, ini bukanlah kali pertama. Ketika krisis kewangan Asia lalu, ramai para pelajar Malaysia telah melanjutkan pelajaran di dalam negara kerana kos pendidikan luar negara terlalu tinggi ekoran mata wang ringgit jatuh terlalu rendah berbanding dolar AS. Dengan cara ini, sektor pendidikan tinggi Malaysia akan lebih kompetitif apabila lebih ramai para pelajar Malaysia yang cemerlang bersaing untuk belajar di peringkat tertinggi di Malaysia.

Dalam hal ini, apabila ramai rakyat Malaysia menuntut di peringkat tertinggi di Malaysia, maka, pengaliran wang ke luar negara juga akan semakin berkurangan. Ini seterusnya dapat membantu negara dalam tempoh jangka masa panjang bukan setakat dapat meningkatkan ekonomi Malaysia melalui sektor perkhidmatan pendidikan tinggi tetapi juga boleh memacu Malaysia sebagai hab pendidikan yang bertaraf dunia.

Sisi positif sebeginilah yang perlu dilihat lebih luas lagi agar ekonomi Malaysia mampu mendapat manfaat di sebalik ketidaktentuan ekonomi global. Bukannya setakat melihat dari sudut sempit dan negatif semata-mata. - Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 19 Ogos 2015

Tags: ekonomi
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments