kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mereka untung, kita dapat apa?

BETULLAH warga asing ada di mana-mana saja di pelosok negara ini. Dari berstatus pelajar, menjadi pekerja sehinggalah pengemis. Warga asing sudah menguasai hampir semualah, senang cakap.

Sekarang ini, jika kita lihat pengemis di kawasan sekitar Lembah Klang dan bandar-bandar besar kebanyakannya warga asing. Bukan lagi dikuasai rakyat kita. Mungkin rakyat tempatan yang hidupnya mengemis sebelum ini pun sudah naik rimas tengok mereka. Cari kerja lain atau sudah dapat bantuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Baitulmal atau Pusat Zakat.

Yang mengendong dan memangku bayi yang sedang tidur. Itu sudah jadi pemandangan biasa kepada kita. Dalam panas terik, anak yang dipangku sentiasa boleh tidur lena. Jarang sekali kita nampak anak-anak yang dipangku itu celik mata­nya atau menangis. Kebanyakannya asyik tidur.

Cubalah pihak berkuasa kita periksa betul-betul. Manalah tahu, anak-anak ini sudah diberi ubat tidur atau ubat batuk.

Dan kini mereka bukan sekadar mengemis di kaki-kaki lima atau di kedai-kedai makan. Sekarang sudah berani menahan kereta bukan sahaja di pusat beli-belah tetapi di tepi-tepi jalan terutamanya di kawasan lampu isyarat. Apabila kenderaan berhenti mereka mengetuk tingkap. Bercakap dalam bahasa mereka, meminta wang.

Jika diperhatikan, mereka ini mengemis seperti ada shift kerja. Pagi orang lain, petang orang lain dan malam pun bertukar orang lagi.

Sebenarnya, kegiatan me­ngemis oleh warga asing di negara ini memang sudah lama. Bukan baru-baru ini. Bukan lima atau enam tahun sudah. Sudah bertahun-tahun. Entah-entah mereka yang terlibat sudah lama kaya. Lebih kaya daripada tangan yang memberi di dunia ini. Lebih senang daripada rakyat negara ini.

Mungkin kerana rakyat negara ini yang begitu pemurah menyebabkan kegiatan mereka kian menjadi-jadi. Rakyat negara ini, yang berada dalam kategori miskin bandar pun tidak semudah itu mendapat wang. Setiap hari mencongak hari gaji. Akaun bank cuma jadi persinggahan sebentar wang gaji. Esok lusa, kosong semula. Atau tidak sampai beberapa jam semua habis dipindahkan untuk membayar macam-macam bil. Betul, kita semua bukannya lahir-lahir saja di dunia ini sudah kaya-raya.

Atau mungkin juga penguatkuasaan kita tidak cukup kuat lagi. Tangkapan dilakukan secara bermusim. Kalau ada aduan adalah. Hendak pantau selalu, ada banyak lagi kerja penguatkuasaan lain yang perlu dibuat.

Apa yang hendak saya tekankan di sini ialah betapa warga asing telah memanfaatkan segala-galanya tentang kemakmuran dalam negara kita ini. Mereka inilah yang bijak mengambil peluang.

Kalau kita beri ruang walau sedikit pun kepada mereka, mereka ini akan membesarkan ruang itu. Apatah lagi sekiranya kita memberi ruang seluas-luasnya, akhirnya jadilah macam Belanda dapat tanah. Diberi sehasta mahunya berdepa-depa. Akhirnya mereka dapat semuanya.

Sekarang ini pun, kita sudah berasa kekok berada di tengah-tengah lautan mereka terutamanya di kawasan-kawasan bandar ketika hari minggu atau cuti umum. Terasa berada di negara lain tanpa perlu susah-susah mengumpul duit beli tiket kapal terbang.

Hakikatnya, kita sudah ada terlalu ramai pekerja asing. Itu pun bakal dibawa masuk lagi. Itu belum dikira lagi yang masuk secara haram. Mereka pun sudah membentuk komuniti sendiri di beberapa kawasan di negara ini. Mereka sudah menjadi tauke-tauke kedai makan, kedai pakaian dan kedai runcit.

Dan selain lambakan pekerja asing, kita juga sedang berdepan dengan isu pengemis warga asing yang pastinya ada sindiket yang mengatur semuanya. Semuanya ini sudah tentunya bermotif keuntungan kepada mereka. Jadi jika mereka untung, kita pula dapat apa? -Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 19 Ogos 2015 2:09 AM

Tags: pati
Subscribe

Posts from This Journal “pati” Tag

  • Kebanjiran imigran membimbangkan

    PERTEMBUNGAN budaya memang telah berlaku di seluruh dunia sejak nenek moyang hingga kini akibat daripada penghijrahan imigran-imigran luar yang…

  • Bertuahnya jadi warga asing

    TIDAK sampai seminggu lagi umat Islam termasuk di Malaysia, akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Malangnya semakin dekat hari lebaran yang…

  • Bagaimana identiti negara maju kita?

    Kalau dihitung, bukan jauh sangat jarak masa untuk Malaysia berada di ambang tahun 2020. Sudah dekat. Kira-kira empat tahun enam bulan sahaja lagi.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments