DAHULU, sekitar tahun 80-an dan 90-an, menjelang bulan kemerdekaan ibu kota Kuala Lumpur dan bandar raya lain di seluruh negara meriah dengan hiasan Jalur Gemilang di pelbagai tempat. Kenderaan di atas jalan raya turut dipasang Jalur Gemilang selain kibaran bendera kecil yang diletakkan di bahagian hadapan cermin kenderaan.
Generasi sebelum merdeka termasuk ayah penulis antara yang tidak pernah lupa untuk meletakkan Jalur Gemilang kecil itu di cermin keretanya. Di rumah pula, beliau akan membeli Jalur Gemilang yang besar dengan kelebaran 61 sentimeter dan panjang 122 sentimeter - dibiarkan berkibar di hadapan rumah, melambangkan semangat patriotiknya yang melalui pengalaman hidup semasa zaman sebelum dan selepas merdeka.
AHLI Pengakap Sekolah Menengah Kebangsaan Kuching High di Sarawak mengibarkan Jalur Gemilang, baru-baru ini.
GAMBAR HIASAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
Sehingga hari ini, Jalur Gemilang masih menjadi perkara pertama yang akan diingatinya setiap kali memasuki bulan Ogos. Ternyata berbeza sekali semangat patriotik orang lama dengan generasi hari ini yang walaupun Jalur Gemilang diberikan percuma, belum tentu akan dipasang di kenderaan apatah lagi dikibarkan di rumah.
Entah di mana silapnya, semangat patriotisme generasi sekarang jauh berbeza dengan orang lama. Pada mereka 31 Ogos bermakna cuti umum. Sekadar hari untuk berehat. Bagi golongan muda, sambutan kemerdekaan seperti tiada makna.
Pada mereka, merdeka bermakna hari untuk bersukaria pada malam ambang merdeka dengan mengunjungi pusat hiburan atau berhimpun di tempat tumpuan ramai untuk bersosial dan berhibur.
Erti semangat patriotik iaitu mencintai dan berkorban untuk negara tidak dihayati sepenuhnya oleh mereka. Semangat mencintai, menyayangi, bangga dan keazaman untuk berbakti demi negara tanpa mengharapkan balasan jauh sekali tersemat dalam jiwa kalangan generasi muda hari ini.
Malah, lebih mendukacitakan ada antara mereka yang sudah berkira-kira untuk menyertai perhimpunan haram Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos ini di Dataran Merdeka, lokasi acara sambutan Hari Kemerdekaan.
Mereka sanggup mencemari Hari Kebangsaan yang penuh makna itu dengan menyertai perhimpunan yang hanya akan menjejaskan imej negara.
Agak mengecewakan juga apabila ada dalam kalangan orang muda yang mentafsir erti patriotik dan semangat cintakan negara dengan merekacipta pelbagai gambar, mesej dan lagu-lagu menerusi media sosial yang membawa maksud tidak baik malah sampai ke tahap menghina negara. Malah pernah ada pihak yang mahu menukar bendera kebangsaan satu tindakan biadab dan tidak menghormati Perlembagaan.
Generasi baharu ini masih kurang kesedaran tentang betapa pentingnya nilai kebebasan, keamanan dan kedaulatan yang dinikmati sekarang. Kuasa yang diperoleh untuk mentadbir dan mencorak sendiri masa depan negara tanpa dikuasai penjajah tidak dihayati mungkin kerana mereka lahir dan hidup selepas merdeka, tidak melalui susah payah yang dialami generasi terdahulu dalam menuntut kemerdekaan.
Hakikatnya, ramai antara kita memberikan pelbagai alasan untuk tidak memasang Jalur Gemilang di rumah, pejabat, sekolah atau tempat-tempat awam lain. Ada yang mendakwa terlupa akan Hari Kebangsaan. Ada juga yang merasakan buat apa membazir wang membeli Jalur Gemilang.
Malah tidak kurang juga yang memberikan alasan kesibukan bekerja menyebabkan mereka terlupa akan sambutan Hari Kemerdekaan. Ada pula yang mengharapkan Jalur Gemilang diberi percuma, barulah mereka mahu memasangnya. Sikap mengharapkan yang percuma ini masih tebal dalam kalangan kita. Dalam kalangan usahawan dan peniaga pula, mungkin memberikan alasan sukar untuk mendapatkan Jalur Gemilang dengan harga yang berpatutan dalam kuantiti yang banyak.
Sektor korporat mungkin merasakan tahun ini tahun untuk berjimat cermat, tidak perlu berbelanja lebih untuk menempah Jalur Gemilang. Ada juga yang mendakwa banyak prosedur harus dilalui untuk mendapatkan bajet seperti mendapatkan kelulusan bahagian kewangan, keselamatan dan komunikasi, yang akhirnya menyebabkan program dirancang untuk meraikan sambutan kemerdekaan berlalu begitu sahaja.
Acara-acara patriotik perlu disemarakkan bagi menyedarkan golongan muda tentang erti kemerdekaan. Kempen mengibarkan Jalur Gemilang bagi sesetengah mereka tiada sebarang makna kerana tiada kesedaran tentang nilai kemerdekaan dan semangat patriotik.
Mereka tidak tahu kebebasan yang dinikmati hari ini adalah atas keringat para pejuang kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Kaum Ibu, Mat Kilau, Tok Janggut, Penghulu Dol Said dan ramai lagi.
Dahulu, semangat menggantung Jalur Gemilang menjadi amalan semua kaum. Di sekolah, pejabat dan pelbagai tempat tumpuan umum Jalur Gemilang di pasang di setiap sudut. Di sekolah saya dahulu, murid-murid yang terdiri daripada pelbagai kaum bersama guru-guru akan memilih satu hari untuk menggantung Jalur Gemilang di setiap sudut sekolah dan bilik darjah tanpa mengharapkan Jalur Gemilang yang diberi percuma.
Tetapi sekarang, agak sukar untuk melihat kenderaan yang mengibarkan bendera negara. Ada pemilik kenderaan melakukannya untuk tujuan pertandingan atau apa sahaja yang boleh menyebabkan dia mendapat ribuan like di dalam Facebook atau Instagram.
Begitu juga hiasan Jalur Gemilang di rumah atau reka bentuk gubahan Jalur Gemilang dibuat semata-mata bagi menyertai sesuatu pertandingan atau mahu menjadi popular dengan viralkan apa yang dibuat itu di laman sosial.
Tahun ini sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-58, tiada lagi ungkapan berdasarkan ulang tahun iaitu “Hari Kemerdekaan ke-58” seperti kelaziman sambutan sebelum ini, sebaliknya dinamakan mengikut tahun iaitu “Hari Kemerdekaan 2015”.
Ini bagi menyeragamkan sambutan antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung kerana penggabungan Malaysia adalah pada 16 September 1963 (Hari Malaysia) manakala 31 Ogos 1957 hanya melibatkan Semenanjung.
Bertemakan ‘Sehati Sejiwa’ diharapkan akan menjadikan semangat perpaduan rakyat lebih utuh. Tema yang menekankan semangat kesepaduan, persefahaman dan kemanusiaan rakyat pelbagai kaum dipilih bagi menyemarakkan sambutan tahun ini.
Ditambah dengan lagu tema Sehati Sejiwa ciptaan Siso Kopratasa dan Yuri Edris yang dinyanyikan oleh penyanyi muda, Alif Satar diharap dapat menarik golongan muda untuk menghayati lagu bertemakan semangat kebangsaan itu.
Apa pun harus ada kaedah terbaik untuk meningkatkan penyertaan masyarakat khususnya golongan muda dalam pelbagai program sambutan kemerdekaan. Aktiviti yang mengikut peredaran masa dan dekat di hati mereka perlu dipertingkatkan. Penganjuran larian merdeka atau apa sahaja aktiviti yang disukai golongan muda wajar diperbanyakkan bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan generasi akan datang.