NASKHAH ini adalah sambungan buku jilid 1 dengan tajuk sama yang telah diterbitkan oleh Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd.
Buku yang ditulis oleh pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini menghimpunkan 25 tokoh pelbagai kaum yang banyak berjasa di Malaysia dan Singapura.
Mereka datang dari pelbagai latar belakang seperti juruhebah, penyair, sasterawan, pendidik, ahli politik, pemikir, ahli sejarah serta tokoh masyarakat di Perak dan negeri lain di Malaysia.
Sebahagian besar tokoh ini kurang dikenali oleh generasi sekarang kerana mereka hidup dan menabur jasa pada zaman yang berbeza.
Ada dalam kalangan tokoh yang dibincangkan masih hidup dan terdapat juga yang sudah lama meninggal dunia tetapi nama dan jasa mereka seharusnya dikenang sampai bila-bila.
Antara tokoh yang dibincangkan termasuklah Jaafar Abdul Rahim, Ibrahim Mohd. Said, Yusof Ishak, Datuk Aminah Din, Baharin Mohd. Tahir, Ali Majod, Atondra, Tun Ghazali Shafie dan Mana Sikana.
Tokoh lain ialah Tan Sri Dr. Awang Had Salleh, Baharuddin Kahar, Anchom Luji, Harjit Singh Hullon, Latifah Sidek, Yong Rafidah Yaacob, Md. Akhir Leman, Datuk Dr. Wan Mohd. Isa Wan Ahmad, Hariffudin Kamarudin, Mohamed Ali Osman, Tan Sri Alfred Jabu, Tun Saban dan Usman Awang.
Salah seorang tokoh itu ialah Laksamana Kesultanan Perak, Muhammad Amin yang namanya telah diabadikan pada kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Beliau antara individu utama yang menentang penjajah Inggeris di Perak.
Pada 1877, beliau dihukum buang negeri tanpa sebarang perbicaraan bersama-sama Sultan Abdullah dan 45 pembesar Melayu Perak yang lain ke Pulau Seychelles, Lautan Hindi atas dakwaan terlibat dalam komplot membunuh Residen British pertama di negeri itu, J.W.W. Birch.
Walaupun Sultan Abdullah akhirnya dibenarkan pulang ke Perak selepas 16 tahun dalam buangan, Muhammad dan menantunya yang juga jutawan Melayu Perak abad ke-19, Tengku Menteri Ngah Ibrahim tidak dibenar menjejak kaki ke negeri itu sehingga akhirnya mereka meninggal dunia dalam buangan di Singapura.
Dalam pada itu, Nakhoda Muhammad Taib yang hidup sezaman dengan Ngah Ibrahim ialah seorang tokoh pahlawan maritim Melayu dan pedagang yang tidak pernah gentar memerangi kegiatan lanun yang sering mengganas di perairan Selat Melaka.
Allahyarham dikatakan memiliki sebilah keris bernama ‘Helang Menyambar’ yang cukup hebat sehingga menyebabkan lanun tidak berupaya untuk bertentang mata dengannya.
Beliau turut memiliki kapal bersaiz besar yang dinamakan Lancang Kuning yang digunakan untuk melawan lanun dan berdagang di seluruh Tanah Melayu dan Sumatera.
Seorang lagi tokoh dari Perak yang dimuatkan dalam buku ini ialah penulis novel seram Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) yang dikenali dengan nama samaran Tamar Jalis.
Nama sebenar penulis SBDJ yang diterbitkan dari 1981 hingga 2005 ialah Ahmad @ Mohd. Radzi Mahmud, 75, yang berasal dari Beruas, Perak dan pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Editor Kumpulan Majalah Variapop.
Siri novel itu telah terjual lebih sejuta naskhah. Satu rekod yang menurut penulis masih tidak dapat ditandingi oleh mana-mana buku karya Sasterawan Negara yang pernah diterbitkan sehingga kini.
Sebanyak 221 siri SBDJ telah diterbitkan dalam 16 buku sekali gus menjadikan antara novel bersiri terpanjang di Asia Tenggara dan mungkin juga peringkat antarabangsa.
Kisah yang terdapat dalam buku berkenaan bukanlah sekadar tentang jin sebaliknya sarat dengan ilmu perubatan tradisional, psikologi dan kosmologi Melayu; ilmu persilatan; amalan perbomohan dan petua-petua untuk menewaskan syaitan daripada mengganggu manusia.
Usaha Talib menulis buku ini, memang sewajarnya dipuji kerana sesungguhnya hanya bangsa yang berjiwa besar akan menghargai pahlawan dan tokoh yang banyak berjasa kepada negara.
Penulisan biografi ringkas ini walaupun tidak dapat membalas balik segala jasa yang telah dicurahkan mereka, sekurang-kurangnya penulis menunjukkan contoh terbaik bahawa orang ramai tidak harus melupakan individu yang telah menabur bakti kepada masyarakat.