kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Elakkan prejudis, kembalikan kedamaian

MUKADIMAH - TAN SRI DR. RAIS YATIM yang mendengar sosek-sosek bahang persidangan perwakilan UMNO bahagian di beberapa negeri berasa terpanggil untuk meluahkan apa di hatinya.

Sebagai orang lama dalam UMNO yang pernah bekerja di bawah lima Perdana Menteri termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan seketika dengan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Penasihat Sosiobudaya kerajaan ini percaya suasana politik sekarang perlukan tindakan kedamaian dan bertenang.

Beliau yang ditemui wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini turut bercakap tentang isu menggulingkan kerajaan serta betapa perlunya suasana murni diwujudkan dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO, parti tonggak untuk 13 komponen Barisan Nasional.

Bagi Rais, 72, Presiden dan Timbalan Presiden parti, mesti mengembalikan ukhwah dengan membina semangat kepartaian walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi menyandang sebarang jawatan dalam kerajaan.

UTUSAN MALAYSIA: Pada waktu ini isu menggulingkan kerajaan hangat diperkatakan. Apa pandangan Tan Sri?

RAIS YATIM: Jangan gabra apabila berita ini keluar sebaliknya harus teliti dulu apa yang dimaksudkan dengan gulingkan kerajaan. Pertama, yang dimengertikan sebagai guling kerajaan itu mungkin melibatkan kaedah fizikal yang di luar undang-undang dan dalam keadaan itu sekiranya mengkomplot menjatuhkan Yang di-Pertuan Agong itu memang dianggap sebagai menentang Yang di-Pertuan Agong.

Dan ini sekali gus memberi satu pengertian yang boleh disamakan hendak menggulingkan kerajaan menerusi kuasa tertinggi di Malaysia itu di bawah undang Kanun Keseksaan.

Tetapi sekiranya pihak pembangkang menggunakan proses Parlimen untuk mengemukakan sesuatu usul, kita tidak boleh anggap itu nak gulingkan kerajaan sebab Barisan Nasional (BN) sedia mempunyai bilangan lebih besar hak untuk mengusulkan sesuatu usul di Parlimen. Itu merupakan hak asasi dalam sistem demokrasi. Jadi, fahaman itu mesti diterima, cuma tinggal lagi jika ada dalam kalangan ahli Parlimen UMNO atau BN yang bersekongkol dengan pembangkang itu boleh ditakrif sebagai berniat menggunakan kuasa legistlatif untuk menamatkan kerajaan menerusi undi tak percaya.

Jadi, harus ada perbezaan fahaman berhubung mengemukakan undi tak percaya dengan menggulingkan kerajaan secara di luar demokrasi. Bagaimanapun kerajaan tidak harus gundah gulana dalam soal itu (gulingkan kerajaan) kerana ia tidak akan berjaya.

Apa makna menggulingkan kerajaan di luar demokrasi?

Macam saya katakan tadi iaitu menggunakan kekerasan, menggulingkan dan menjatuhkan Yang di-Pertuan Agong menerusi kes-kes yang telah berlaku beberapa tahun lalu di luar demokrasi.

Adakah ahli UMNO dan BN yang bersekongkol dengan pembangkang boleh dikategorikan sebagai takrifan menjatuhkan kerajaan?

Saya tidak nampak benda itu berlaku pun walaupun Timbalan Perdana Menteri menyatakan hal ini sekarang. Cuma, nyatakan siapa yang beliau katakan bersekongkol untuk menjatuhkan kerajaan di Parlimen Saya cakap terus terang, jangan salah faham takrif menjatuhkan atau menggulingkan kerajaan

dengan proses di dalam parlimen. Dalam Parlimen boleh dikemukakan usul apa jua tetapi pihak yang mempunyai kuasa majoriti sentiasa memegang kuasa muktamad. Setakat ini tidak ada ahli parlimen BN yang diketahui sebagai bersekongkol dengan pihak pembangkang.

Jika ada syak wasangka ahli BN yang masuk dalam pembangkang itu tertakluk kepada pembuktian. Dan setakat ini tidak ada, jadi bahaya bagi sesiapa untuk menyatakan hal ini.

Jawapan saya dalam isu ini, sila buktikan! Kalau tidak, ia akan beri nama buruk kepada parti. Kelak, kita akan bersyak-wasangka.

Adakah wajar pemimpin BN atau UMNO bersekongkol dengan pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan?

Kewajarannya tidak ada sebab pembuktian itu tak muktamad. Setakat ini tidak ada. Kita tidak boleh membuat spekulasi bebas, ini bahaya. Yang ada sekarang hanya spekulasi.

Cakap-cakap mungkin memang ada tetapi tidak berani untuk menyokong dan memberi sokongan mereka. Macam juga sebelum ini Anwar Ibrahim menyatakan bahawa 16 September akan jadi (gulingkan kerajaan) tetapi tidak sampai ke tahap itu.

Apabila kita tengok situasi politik hari ini, apa formula untuk menjernih atau meredakannya?

Masing-masing mahu bercakap. Tetapi bagi saya tidak seharusnya soal penurunan atau pemberhentian (bekas) Timbalan Perdana Menteri itu dipanjangkan.

Biar proses undang-undang itu berjalan, tetapi pihak-pihak kerajaan ada pandangan masing-masing. Itu tidak dapat kita tahan. Tentang hal dalam UMNO, kita tidak dapat tolak bahawa ia bergolak. Pergolakan itu tercetus dengan pemberhentian (pengguguran) Tan Sri Muhyiddin Yassin dari jawatannya.

Bagaimanapun kedudukan Muh­yidin harus dihormati sebab masih Timbalan Presiden UMNO dan sebagai mana kita hendak gunakan prejudis atau prasangka terhadap Perdana Menteri, jangan gunakan prasangka juga terhadap Muhyiddin.

Apa yang seharusnya dan seadanya diterima adalah sebagai jawatan beliau sebagai timbalan Presiden terhutang juga kepada beliau, sebab beliau berjasa kepada parti dan kerajaan.

Beliau pun ada kewibawaan yang lampau. Ini sepatutnya UMNO pegang. Jangan sekarang bila tidak ada jawatan, seseorang itu hendak dilanyak sahaja. Tidak harus begitu, sebab hak beliau bercakap ada. Juga, hak beliau sebagai timbalan presiden parti. Begitulah.

Apa jalan terbaik untuk UMNO sekarang?

Saya kira dalam keadaan sekarang kita mesti merapatkan barisan yang dilakukan presiden dan timbalan presiden. Dan sebagai presiden dan timbalan presiden, mereka mestilah membuat sesuatu yang rasional sebab banyak lagi bahagian belum mesyuarat sekarang. Salah faham prejudis banyak dibawa dalam mesyuarat perwakilan bahagian dan tidak harus berkata oh! tidak ada apa-apa. Semuanya akan baik. Orang yang bercakap begitu saya anggap tidak realistik. Sebenarnya keadaan sekarang agar kucar kacir di bawah.

Jadi, orang yang nak seronok menyedapkan hati presiden mungkin beri yang cantik sahaja sedangkan presiden harus menerima laporan sebenar di bawah. Dan dengan itu kaedah merapatkan presiden dan timbalan presiden harus dibuat. Ini banyak terserah kepada presiden untuk melakukannya dengan sebahagian sudah diberi kepada beliau.

Malah, saya yakin Tan Sri Muh­yiddin tidak akan menolak sekiranya dipanggil untuk berunding secara terbaik. Oleh yang demikian, kata-kata menuduh ada ahli Parlimen UMNO dan BN yang bersekongkol dengan ahli pembangkang, ini mesti diteliti dan diperiksa dahulu.

Kalau kita tidak percaya kepada mereka, mereka harus dipanggil. Itu adalah satu cara untuk meredakan. Saya yakin pembangkang tidak akan berjaya. Dengan pendekatan itu, isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, oleh Timbalan Presiden, Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan lain-lain dapat diberikan penjelasan. Presiden sudah beri penjelasan namun dalam keadaan sekarang ini perlu ambil pendekatan terbaik.

Jadi, pilihan raya adalah proses terbaik kalau ada tidak berpuas hati?

Mungkin benar (keputusan) melewatkan pemilihan parti walaupun ada pihak sekarang merasakan apa yang harus ditakutkan dan tidak perlu tangguhkan setahun lapan bulan atau 18 bulan.

Cuma, saya fikir harus pada masa setahun setengah ini memang agak lama kalau tidak pandai mengendalikan isu-isu ini yang mungkin akan jadi faktor-faktor yang menyusahkan presiden juga. Sedangkan sekarang sekiranya ada pemilihan, kalau rundingan dengan timbalan presiden molek, presiden tidak jadi hal.

Tetapi sekiranya langsung tidak ada perjumpaan, maka keintiman itu mesti diwujudkan sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang. Ini pandangan saya sebagai orang lama yang melihat situasi dari luar. Dan akhir sekali, kita mesti beri ruang kepada Presiden untuk supaya mengatasi isu-isu ekonomi serta keretakan dalam parti selain isu kehidupan. Kalau tidak, terlampau banyak tenaga beliau habiskan semata-mata ingin menyelamatkan politik semasa. Undang-undang harus terus berjalan dan kepentingan kehidupan rakyat mesti diteruskan. - Utusan Malaysia Rencana 21 Ogos 2015 1:26 AM

Tags: prejudis
Subscribe

Posts from This Journal “prejudis” Tag

  • Stop prejudiced expectations

    Labeling is an assumption that people come to identify and behave in ways that reflect how others label them. It is most commonly associated with…

  • Tanpa prejudis, demi survival

    BUKAN mudah sebenarnya untuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan kawan dan lawan selepas melontarkan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments