kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kibaran bendera keramat julang jiwa merdeka

Saban tahun kita mengajak seluruh rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang sebagai satu cara meraikan sambutan Hari Kemerdekaan.

Bagi sebahagian dari kita, ini mungkin cara paling mudah untuk mempamerkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

Sebahagian yang lain, mengibar Jalur Gemilang adalah satu aksi patriotik.

Penzahiran rasa betapa besarnya kasih dan cinta kita pada tanah air. Namun kepada sebahagian yang lain pula, Jalur Gemilang mungkin tidak mengundang apa-apa rasa dan makna.

Ia tidak lebih daripada kibaran kosong yang tidak membawa fungsi dan erti. Jalur Gemilang bukan hanya kain yang dikibar-kibar kosong. Ia adalah simbol paling penting negara kita. Ia adalah 'jiwa nurani' Malaysia.

Tanpanya, apalah makna kehidupan bernegara. Tiada simbol lain yang sepenting, seutama dan sehebat Jalur Gemilang. Jika kita menonton filem Barat, lanun pun ada bendera.

Bendera hitam dengan tengkorak putih menjadi lambang dan identiti mereka. Ia menjadi kebanggaan mereka, malah menjadi motivasi dan pembakar semangat mereka.

Apatah lagi kita sebagai bangsa merdeka, berdaulat dan bernegara, Jalur Gemilang adalah simbol negara kita. Simbol sekelompok manusia yang diikat atas tatasusila bangsa dan kenegaraan yang sama.

Malah, inilah simbol kedaulatan yang bersifat fizikal. Yang boleh kita pandang dan pegang. Bila-bila masa, di mana-mana sahaja.

Impak Jalur Gemilang

Adalah benar Parlimen atau Putrajaya adalah sebahagian daripada lambang kedaulatan kita sebagai sebuah negara merdeka.

Namun semua institusi itu tidak sama kesan dan getarannya dengan memiliki dan mengibarkan Jalur Gemilang. Buktinya, Jalur Gemilang sentiasa menemani kita pada saat suka dan duka.

Apabila negara meraikan kejayaan besar, menawan puncak tertinggi dunia, meneroka ruang angkasa, mencipta sejarah dalam bidang pendidikan atau sains dan teknologi, maka Jalur Gemilanglah yang kita usung dan kibarkan dengan megah.

Apabila pemimpin kita melawat sebuah negara lain, Jalur Gemilanglah yang akan dikibarkan di seluruh bandar raya yang dilawati sebagai gambaran rasa hormat negara tersebut menyambut pemimpin kita.

Sebaliknya, apabila negara ditimpa musibah, dilanda bencana dan kedukaan, Jalur Gemilanglah yang kita kibarkan separuh tiang, sebagai tanda bangsa dan negara berdukacita.

Pada kala gugur dan kembalinya pahlawan, satria, negarawan dan 'bapa' bangsa, Jalur Gemilanglah membaluti kerandanya.

Malah, sebagai penghargaan paling tinggi daripada negara dan bangsa, Jalur Gemilang yang membaluti keranda itulah yang akan dihadiahkan kepada keluarga mereka.

Sebagai mengenang jasa dan tanda bangsa berterima kasih yang tidak terhingga.

Ketinggian nilai pada warna, corak

Ketinggian nilai yang ada pada Jalur Gemilang turut dapat dilihat melalui warna dan corak yang ada padanya.

Pertama, 14 jalur bukan sekadar mewakili Malaysia sebagai sebuah persekutuan dengan 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan. Akan tetapi 14 jalur itu sebenarnya menggambarkan kesepaduan kita sebagai sebuah Persekutuan.

Kita memilih untuk bersatu dalam satu negara dan membentuk sebuah Persekutuan. Malaysia bukan unitary state, sebaliknya adalah sebuah federalisme.

Setiap negeri ada hak dan kedudukan yang istimewa dengan keunikan masing-masing.

Maka kerana itulah negeri-negeri membentuk Persekutuan bukan menyertai Persekutuan. Mohamed Khaled Nordin Berita Harian Kolumnis 21 Ogos 2015
Tags: bendera, merdeka
Subscribe

Posts from This Journal “merdeka” Tag

  • Persaraan adalah satu kemerdekaan

    Ada kalanya kita tidak perlu berbuat apa-apa. Daripada kita menghabiskan masa untuk menjadualkan setiap saat masa persaraan kita, bukankah lebih…

  • Tarikh kemerdekaan ilham daripada ulama

    SETIAP kali menjelang hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos, hanya beberapa nama popular yang sering kedengaran. Nama-nama itu ialah Tunku Abdul…

  • Menghayati tarikh keramat kemerdekaan

    Dakwaan bahawa Tanah Melayu terjajah melalui kejatuhan Kota Melaka pada tahun 1511 dan pelaksanaan doktrin nasihat seawal pengenalan Perjanjian…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments