Kita tidak boleh menafikan yang Zahid terkenal dengan pelbagai kenyataan kontroversi. Mungkin ada yang tidak suka dengan caranya yang 'Gung Ho' tetapi bagi yang mengenali Zahid, beliau rela dikritik, dihentam dan sanggup take one for the team.
Kenyataan beliau mengenai wujudnya usaha menggulingkan kerajaan melalui suatu komplot terancang menimbulkan pelbagai spekulasi dan perbincangan hangat.
Mungkin tidak ramai yang sedar, tetapi apa yang dinyatakan oleh Zahid mengenai isu 'guling kerajaan' ini sebenarnya mampu menguatkan semula dan menambahkan kekuatan serta semangat solidariti dalam kalangan mereka yang menyokong kepemimpinan Najib.
Sokongan tidak berbelah bahagi
Kita dapat lihat bagaimana pelbagai individu mula menyatakan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada Najib.
Begitu juga dengan pelbagai pertubuhan serta pemimpin parti dari UMNO dan juga komponen Barisan Nasional (BN) yang akan terus berdiri teguh di bawah kepemimpinan dua pemimpin utama negara itu dalam menghadapi apa juga rintangan.
Mungkin ada pihak yang mempersoalkan kenyataan beliau, namun apa yang dikatakan oleh Zahid mengenai komplot terancang ini juga secara tidak langsung, memberi amaran kepada ahli UMNO supaya menghormati undang-undang dan prosedur sedia ada. Zahid menjelaskan lagi bahawa UMNO tidak akan mengizinkan sebarang cubaan untuk mengguling kerajaan melainkan melalui pilihan raya.
"Kita tidak mahu perkara ini terjadi kerana kita sayangkan kerajaan sedia ada yang dipilih oleh rakyat secara sah dan demokratik. Sistem dan acuan Malaysia mesti dihormati oleh semua parti politik yang ada dalam negara kita."
Begitulah yang ditegaskan oleh Zahid.
Jika dakwaan itu benar, maka mereka yang berkomplot pastinya akan berdepan dengan seorang pemimpin no nonsence yang tidak takut dengan sebarang bentuk ancaman.
Bahkan jika benarlah wujudnya komplot ini, maka mereka yang berkomplot ini mungkin yang lebih takut dengan keberanian Zahid mempertahankan kerajaan yang dipilih secara demokratik.
Sebenarnya, masyarakat semakin yakin bahawa gandingan Najib-Zahid dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Ketenangan Najib dalam menangani pelbagai isu telah menarik minat rakyat bahawa sesuatu masalah itu boleh diatasi dengan cara yang matang dan mengikut prosedur, bukannya semata-mata dengan mempercayai apa yang dilontarkan oleh medium seperti sosial media yang begitu 'berkuasa' dan berleluasa pada hari ini.
Tidak layan isu remeh-temeh
Kelantangan Zahid juga diperlukan bagi mengingatkan rakyat bahawa kerajaan akan sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan negara dan bukannya melayan isu remeh-temeh yang tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak.
Mungkin dari semasa ke semasa Zahid akan membuat kenyataan yang mengundang kontroversi.
Bukanlah mahu memberikan beliau lesen, tetapi apa yang dilaungkan pada kebiasaannya akan menimbulkan respons pelbagai pihak.
Daripada maklum balas seperti inilah sesuatu isu itu dapat dibahas dan dibincangkan.
Di sinilah nanti timbulnya kematangan masyarakat kita dalam membincang serta menangani isu-isu politik dan pentadbiran negara.
Dalam kelantangan Zahid menangani isu negara, beliau sebenarnya ikhlas dalam memastikan jentera pentadbiran berjalan lancar.
Jika kita perhatikan pada beberapa ucapan beliau, Zahid sering mengingatkan ahli UMNO serta rakyat umumnya supaya sentiasa bersama-sama bersatu padu dan memberikan sokongan kepada pucuk pimpinan.
Beliau juga telah mengingatkan kepada semua pihak supaya sentiasa bersifat adil dan tidak mudah terpedaya dengan persepsi negatif dilemparkan pelbagai pihak yang sentiasa cemburu dengan kepemimpinan sedia ada.
Sebenarnya jika dilihat dari sudut survival UMNO, parti terulung negara ini memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Zahid!
Shahbudin Embun Berita Harian Kolumnis 22 Ogos 2015