Pengumuman lembaga Peperiksaan pada Rabu lalu tentang penangguhan syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya berkuat kuasa mulai tahun depan, "menyelamatkan" prestasi banyak pihak.
Golongan pelajar, guru, pihak pentadbiran sekolah, dan ibu bapa serta pegawai Kementerian Pendidikan pasti menarik nafas lega.
Nampaknya pihak pembuat dasar pendidikan negara perlu juga mengkaji persediaan guru dan pelajar. Janganlah nanti kementerian dilabel sebagai pihak yang suka mengubah dasar yang sedia ada apabila datang menteri baharu.
Kita faham semua perubahan diambil adalah untuk kebaikan dan masa depan dan kemajuan anak-anak bangsa. Tetapi fikirkan juga, janganlah disebabkan gagal BI walaupun semua subjek lain lulus dengan baik, maka pelajar dianggap tetap gagal untuk mendapat sijil SPM.
Bagaimana masa depan pelajar tersebut hanya akibat subjek BI. Gelap masa depannya untuk menyambung pelajaran.
Ingat bahawa bukan semua pelajar pandai dalam subjek BI. Ada yang sukar untuk memahami dan belajar BI. Syarat yang yang ditetapkan pada 2016 itu pasti melemahkan semangat pelajar yang bakal menduduki kelak. Mujur ia ditangguhkan.
Kita wajar ambil iktibar daripada masalah yang dihadapi majoriti pelajar yang menduduki sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Program untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar itu akhirnya didapati gagal dan dimansuhkan.
Jangan hal yang sama atas kepentingan untuk memartabatkan BI maka pelajar Melayu dan bukan Melayu menjadi bahan ujian - bukan sekali, malah banyak kali. Tak masuk akal jika gagal subjek BI, maka gagallah pelajar mendapat sijil SPM. Malah mereka yang gagal sukar untuk mohon menyambung pelajaran ke peringkat sijil dan diploma.
Ini negara kita Malaysia. Maka lebih baik kita utamakan subjek Bahasa Melayu. Jangan kita terlalu mengagung-agung BI di peringkat sekolah, kesannya akan merebak dalam seluruh sistem kehidupan masyarakat.
Akhirnya bahasa Melayu juga yang akan dipinggirkan. Perkara ini sudah berlaku dan akan terus terjadi jika pemimpin Melayu leka. Lihat bagaimana sistem bahasa pengantar di universiti awam dan swasta.
Masalah utama pelaksanaan syarat wajib lulus BI dalam SPM ialah persediaan. Banyak lagi pelajar sekolah rendah dan menengah yang jahil dan tidak faham BI. Apatah lagi golongan yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Wajarkah kita lupakan keadaan mereka? Patutkah pelajar yang serba kekurangan itu dilabelkan malas?
Atau kita letakkan kelemahan itu kepada guru. Kita label mereka sebagai tidak pandai mengajar?
Apa kepentingan bahasa antarabangsa ini dalam kehidupan harian majoriti pelajar luar bandar. Berbeza dengan pelajar di bandar yang siang dan malam berdepan dengan penggunaan BI.
Adil
Inilah masalah utama bagaimana hendak menerapkan minat pada subjek BI yang diguna hanya pada waktu sekolah sahaja.
Bagi pelajar kawasan bandar, mereka sekarang memerlukan bahasa kedua ini untuk kelangsungan hidup dan mencari ilmu.
Jadi elok dibuat dengan berhati-hati supaya semua masyarakat, pelajar dan guru berasa adil dan tidak wujud diskriminasi.
Perlu kajian menyeluruh dengan mengambil kira pelajar di luar bandar dan pedalaman. Tidak boleh hanya merujuk kepada pelajar di bandar semata-mata.
Satu perkara lagi, pencapaian peratusan BI SPM setiap tahun yang bertambah baik bukan bermakna BI layak menjadi subjek wajib lulus SPM.
Jangan membuat perkiraan sama rata sedangkan pembangunan dan kemudahan belajar di bandar dan luar bandar jurangnya masih jauh.
Barangkali pegawai atasan Kementerian Pendidikan amat memahami dan membaca banyak laporan. Kaedah pengajaran BI sepatutnya lebih baik berbanding daripada dahulu.
Jangan dipandang sepi laporan tentang sistem pengajaran di negara kita tidak bersesuaian dengan tahap pelajar. Jika dari peringkat rendah lagi mereka sudah gagal, maka peringkat menengah makin susahlah mereka belajar BI.
Pendekatan ini sama dengan subjek Matematik. Kalau hendak mewajibkan tarikh baharu syarat lulus BI SPM, lakukanlah untuk beberapa tahun akan datang, bukan tahun terdekat ini.
Elok mulakan persediaan mental kepada guru dan ibu bapa dengan mempersiapkan murid daripada Tahun 1. Kalau dilaksanakan tahun depan, mungkin berpuluh ribu yang gagal dan tidak mendapat sijil SPM.
Sehingga hari ini syarat kelayakan untuk sijil SPM ialah pelajar wajib lulus subjek BM dan Sejarah sahaja.
Sekiranya Kementerian Pendidikan bercadang melaksanakan tarikh baharu syarat wajib lulus BI itu, barangkali boleh difikirkan juga subjek Pendidikan Agama Islam sebagai syarat wajib lulus kepada pelajar beragama Islam untuk mendapatkan sijil SPM. - Utusan Malaysia Rencana 23 Ogos 2015