kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tanpa prejudis, demi survival

BUKAN mudah sebenarnya untuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail

Sabri Yaakob berdepan kawan dan lawan selepas melontarkan idea mewujudkan sebuah hab gajet untuk platform usahawan Melayu dan bumiputera yang penanda arasnya, Low Yat.

Rakan-rakan dari komponen Barisan Nasional (BN), antaranya MCA menempelak, mengatakan "Kenyataan) you (anda) boleh pecah belahkan kaum". Di sebelah sana pula, DAP cukup pantas "menyerang" beliau. Tetapi setelah diperjelaskan akan kekeliruan yang menyelubungi mereka terhadap apa yang mereka anggap isu besar, barulah mereka faham. Atau setidak-tidaknya, waima apa pun mereka kena juga faham.

Ismail Sabri, 55, Ahli Parlimen Bera yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO bukanlah asing dengan sikap "nasionalis" ini. Dulu waktu beliau menyarankan supaya peniaga yang mengaut keuntungan sewenang-wenangnya - yang difahamkan peniaga Cina - teruk beliau "dibelasah". Isu itu sukar reda sehingga dibincangkan tiga minggu dalam Kabinet.

“Tetapi kali ini (dalam isu Low Yat 2) tidak lagi, mereka yang keliru ini sudah faham kerana pada awalnya tidak dapat "tangkap" peranan dan objektif Mara (Majlis Amanah Rakyat) sebagai penggerak kemajuan orang Melayu dan bumiputera,” kata Ismail Sabri ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas mesyuarat Kabinet, Rabu lalu di Putrajaya.

Dalam hal isu "Low Yat 2", segalanya bermula ketika Ismail Sabri berada di Menara Mara atau bangunan Mara yang baharu di Jalan Raya Laut, ibu negara bersama Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad atau mesra dengan panggilan Pak Yim.

“Saya nampak bangunan ini ada tarikan. Kalau nak meriahkan kena ada orang muda. Antara yang lekat di fikiran saya waktu itu adalah (bisnes) gajet untuk selling point tempat ini maju. Saya beritahu Pak Yim mahukan hab ala Low Yat, tapi kerana surat khabar nak serlahkannya, maka timbullah "Low Yat 2" yang menjadi penanda aras untuk konsep idea ini.

"Mungkin selepas ini kita boleh pakai nama Mara Gajet Hub atau Mara IT Mall atau nama lain yang agak catchy. Di situ nanti, bukan setakat handphone, tetapi segala gajet dan aksesorinya ada dijual di situ,” katanya.

Dalam idea "Low Yat 2" ini, Ismail Sabri merasakan tidak wajar untuk usahawan Melayu hanya terikat kepada sektor tradisional seperti jual baju dan kerepek sahaja. Tetapi lebih jauh dari itu, beliau mahu mereka menganjakkan keupayaan diri meneroka dan berjaya dalam industri berteraskan teknologi.

Bukan beliau tidak peka akan nasib usahawan Melayu/bumiputera yang tertinggal terlalu jauh berbanding kaum Cina dalam bidang itu. Daripada puluhan ribu peniaga IT, hanya kira-kira 300 adalah Melayu. Dan bukan Ismail Sabri tidak peka juga akan kesusahan yang menimpa usahawan Melayu yang surrender terpaksa tutup premis gajet di sebuah kompleks di Lembah Klang akibat sabotaj.

“Tidak kenalah kalau saya sebagai pemimpin Melayu tidak boleh pula bangunkan usahawan IT Melayu. Ini salah dan tidak adil kepada saya,” katanya yang turut merujuk tindakan dua pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang membuat laporan polis mengenai kenyataannya berkaitan cadangan pembinaan "Low Yat 2" yang dikatakan rasis.

Bagi beliau lagi, Mara dan orang Melayu/bumiputera tidak boleh dipisah. Mara itu Melayu, Melayu itu Mara. Mengapa sejak sekian lama Mara diwujudkan (1966), isu rasis tidak timbul. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) semuanya disediakan untuk orang Melayu/bumiputera - walaupun peratus tertentu kemasukan ke MRSM akhirnya dibuka kepada bukan Melayu. Arked Mara di seluruh negara yang kini mencecah 7,200 unit rumah kedai, semuanya diperuntukkan untuk orang Melayu. Sekian lama amalan ini dipraktiskan, adakah ini rasis?

Ismail Sabri menyedari, kalau bukan fokus kementeriannya, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk campur tangan dalam berdepan beban sewaan outlet atau ruang niaga yang terlampau tinggi mencecah RM50,000 atau RM100,000 sebulan di KLCC, Berjaya Times Square dan lain-lain kompleks beli-belah yang elit. Tidak pernah orang marah dengan Mara sekian lama kerana membantu Melayu/bumiputera. Kalau ada sikap begitu, buangkanlah.

“Kita tidak boleh ketinggalan lagi,” tegas beliau.

Ismail Sabri sedar, walau apa pun event yang dihadiri atau disempurnakan perasmiannya selaku menteri kala ini, beliau akan sentiasa dikejar atau ditebak dengan soalan: “Bila ‘Low Yat 2’ akan beroperasi?

“Mereka (Mara) memerlukan enam bulan, tetapi saya katakan tidak…realisasikan dalam tempoh tiga bulan ini, kita tidak boleh tunggu,” katanya.

Digilap

Mingguan Malaysia difahamkan, tumpuan untuk diwujudkan hab IT Mara itu adalah di tiga tempat dalam bangunan Mara tersebut dengan keluasan setakat ini dipersetujui 8,700 kaki persegi. Sekurang-kurangnya 30 kiosk akan ditempatkan di situ dengan sasaran kira-kira 500 usahawan dalam jangka masa dua tahun. Mara menyasarkan produk lepasan muda dari IKM dan dari beberapa agensinya untuk digilap sebagai usahawan. Pada masa sama, mereka turut menjadi kumpulan pengedar, sekali gus berupaya menghapuskan orang tengah.

Begitupun seperti mana pengalaman-pengalaman lepas, termasuklah mengambil kira apa yang dilalui seorang usahawan Melayu bergelar Datuk yang terpaksa angkat bendera putih tadi, Mara perlu sentiasa beringat. Ini untuk mengelakkan perniagaan di situ terperosok dalam kitaran "dialibabakan".

Dalam mengekang kegiatan ini, platformnya atau penyewa utama mesti diberikan kepada syarikat pemasaran dari Mara sendiri. Ini sekali gus juga menjadi pembekal kepada peniaga terbabit. Penyediaan latihan untuk usahawan terlibat perlu diselaras dan diperhebatkan, dengan pembiayaan untuk mereka dipelbagaikan daripada bukan Mara semata-mata.

Tetapi juga dengan penyertaan dari Bank Rakyat, PUNB dan beberapa lagi. Dalam masa sama, penyediaan latihan harus memfokuskan kepada sasaran melahirkan vendor peranti (vendor device). Dalam membangunkan yang besar, perkara kecil tidak boleh diabaikan. Rundingan juga harus dibuat dengan Celcom untuk meletakkan blue cube-nya di situ, selain Maxis yang tersedia ada. Banyak perancangan lain boleh diatur jika perancangan dan sasaran "Mara Gajet Hub" di peringkat awal ini tercapai termasuklah ke perniagaan e-dagang yang boleh difikirkan.

Taktik peniaga yang dipraktiskan di Low Yat juga harus diamalkan. Antaranya, komponen aksesori yang diimport boleh diperoleh pada kadar harga lebih murah. Dalam aspek ini, China adalah pusatnya sehinggakan kalau rajin, bolehlah menjelajah ke Guangzhou yang mana harga RM3 (dibeli) boleh dijual sehingga RM20 (di Malaysia). Pada masa sama, hal-hal yang mungkin kecil atau agak remeh perlu diambil serius. Antaranya pencahayaan lampu dalam premis mesti memukau. Lantai pula jangan gelap, mesti striking. Pada malam hari, lampu mesti sentiasa dibuka tanpa memikirkan sangat soal pembaziran. Ini untuk memastikan "Mara Gajet Hub" sentiasa hidup. Macam di Bukit Bintang yang "tiada malam, tiada siang".

Pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan "Mara Gajet Hub" ini harus sentiasa diperingatkan dari semasa ke semasa. Kalau ada yang culas dan alpa dengan kehendak untuk melihat hasil yang memberangsangkan, singkirkan sahaja mereka ini. Mereka hanya penderhaka yang sekadar mengkhianati harapan orang Melayu. Ismail Sabri dalam pertemuan sejam dengan akhbar ini memberi jaminan akan memberi keutamaan kepada usahawan yang tulen.

“Sekiranya ada kalangan mereka mengalibabakan kemudahan yang diberikan, kementerian saya tidak akan ragu-ragu untuk bertindak. Kita perlu melihat perniagaan secara holistik. Orang Melayu perlu berniaga dengan semua bangsa. Mungkin bekalan stok datangnya dari Finland, Jepun, Korea, China dan Singapura. Persaingan mengikut bangsa tidak timbul kerana mereka berada di dalam rangkaian perniagaan yang sama dan masing-masing memerlukan satu sama lain,” katanya.

Bagi Ismail Sabri, Mara banyak jasanya. Mara telah membantu melahirkan ramai pemimpin masyarakat terutama menerusi pinjaman dan pembiayaan pinjaman pelajaran dan biasiswa. Antara yang beroleh nikmat daripada Mara ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sambil mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu menyatakan pendapat kepadanya supaya mengutarakan ke fan page iaitu 'Ismail Sabri at KKLW’, beliau menegaskan:

“Jangan polemikkan konsep saya sehingga melabelkannya sebagai bersifat perkauman. Jika tidak mahu membantu tak mengapa, tetapi jangan halang atau perkecilkan usaha saya menggerakkan objektif Mara untuk membantu Melayu dan bumiputera.

Dan meskipun menerima tekanan dan kecaman daripada pembangkang termasuklah dari pemimpin komponen BN sendiri seperti MCA, Ismail Sabri tidak gentar dan berganjak dari perjuangannya untuk membela masa depan orang Melayu dan bumiputera.

“Saya berjanji menjaga Mara. Objektif Mara membangunkan Melayu akan tetap dipertahankan selagi saya menjaga Mara." - Utusan Malaysia Rencana 23 Ogos 2015

Tags: prejudis, survival
Subscribe

Posts from This Journal “prejudis” Tag

  • Stop prejudiced expectations

    Labeling is an assumption that people come to identify and behave in ways that reflect how others label them. It is most commonly associated with…

  • Elakkan prejudis, kembalikan kedamaian

    MUKADIMAH - TAN SRI DR. RAIS YATIM yang mendengar sosek-sosek bahang persidangan perwakilan UMNO bahagian di beberapa negeri berasa terpanggil…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments