kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Semai semangat patriotik dari sekolah

SETIAP kali menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, penulis selalu teringat akan bekas anak-anak murid penulis yang bersemangat tinggi dan memperlihatkan rasa cintakan negara dengan mengadakan pelbagai aktiviti di dalam mahupun di luar kelas walaupun masa mereka agak tersepit dengan pelbagai jenis peperiksaan yang bakal diduduki.Apa yang penulis sukar lupakan, mereka ini tidak perlu disuruh tetapi atas inisiatif sendiri merancang pelbagai acara sama ada melibatkan kumpulan atau individu, kemudian mereka merujuk kepada guru. Lalu tersenarailah pelbagai acara seperti mendeklamasi sajak patriotik, pengisahan sejarah, kuiz, gantung dan kibar Jalur Gemilang, menghias kelas dan sebagainya.

Penulis sangat-sangat berharap acara ini seperti ini dapat diteruskan oleh murid-murid tidak kira di sekolah rendah ataupun menengah semasa sambutan Bulan Kemerdekaan diadakan di seluruh negara. Dengan adanya acara-acara seperti ini di sekolah, ini merupakan langkah awal pendedahan semangat cinta tanah air dalam kalangan anak-anak muda.

Generasi muda sewajarnya diasak dengan semangat cintakan negara memandangkan mereka tidak pernah merasai susah-payah pejuang zaman dahulu memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Mereka juga hanya mendengar cerita tentang kesukaran hidup pada zaman penjajah.

Kebanyakan mereka sekarang, celik-celik mata sahaja sudah menikmati kesenangan hidup, tidak berkaki ayam ke sekolah, jalan bertar sampai depan rumah, mereka kini menikmati pelbagai makanan enak dan tidak pernah kelaparan sedangkan sebelum negara mencapai kemerdekaan, generasi lama terpaksa menempuh pelbagai kesukaran dalam pelbagai aspek seperti peluang mendapat pendidikan, kemudahan sosial dan dari segi keupayaan ekonomi.

Generasi muda mestilah dididik tentang pentingnya semangat cintakan tanah air dan sekolah menjadi asas penting mereka menyemai dan mengukuhkan rasa cinta itu kerana di sekolah, mereka akan dipandu arah oleh guru-guru dengan pelbagai kaedah.

Mata pelajaran Sejarah sudah dinaikkan statusnya menjadi subjek wajib lulus oleh semua murid di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dengan cara ini, murid-murid tidak boleh lepas tangan dalam soal-soal berkaitan sejarah terutamanya kajian mengenai sejarah tempatan.

Sejarah akan mendidik mereka menjadi orang yang cintakan tanah air, menghargai perjuangan pejuang kemerdekaan dan berusaha mengelak sejarah hitam negara berulang kembali. Sejarah juga akan mendidik mereka mengenali nilai dan hati budi bangsa sendiri. Bagi negara yang pernah dijajah, sejarah akan mendidik mereka merenung kembali kelemahan-kelemahan bangsa dalam pelbagai aspek sehingga orang luar menyusup masuk dan mengendalikan hidup bangsanya.

Menerusi sambutan Bulan Kemerdekaan di sekolah, murid-murid juga akan memperoleh pelbagai manfaat selain daripada menyemai sikap cinta akan tanah air. Menerusi pertandingan kuiz, syarahan dan persembahan drama umpamanya, murid-murid akan membuat kajian sebelum berdepan dengan acara-acara tersebut.

Oleh itu, ia akan memupuk sikap suka membaca dalam kalangan murid sebagai persediaan menghadapi acara-acara yang dijalankan. Ternyata acara-acara yang diadakan sempena Bulan Kemerdekaan bukanlah acara-acara untuk suka-suka tetapi di sebaliknya murid-murid akan memperoleh ilmu berkaitan sejarah.

Contoh terbaik, pementasan drama Leftenan Adnan Wira Bangsa sesuai dipersembahkan oleh murid-murid Tingkatan 4 memandangkan ada beberapa buah negeri yang menggunakan teks tersebut dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia pada masa ini. Bagaimanapun, murid-murid dari tingkatan lain boleh diambil untuk menjayakan drama ini demi kebaikan dan pengetahuan mereka tentang sejarah tanah air.

Komitmen pelbagai pihak sangat penting untuk menyemai sikap cinta tanah air dalam kalangan generasi muda. Guru-guru dan ibu bapa mestilah mendorong anak-anak muda agar mencintai tanah air dan mempunyai rasa sayangkan tanah air dalam keadaan tidak berbelah bahagi. Ibu bapa tidak perlu bimbang anak-anak mereka membuang masa jika terbabit dalam acara-acara sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan kerana objektifnya sangat jelas dan tidak perlu dipertikaikan.

Pemahaman tentang sejarah tanah air dan adanya rasa cinta yang mendalam terhadap tanah air akan menjadikan seseorang itu menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik dan beretika.

Tags: kebangsaan, kemerdekaan
Subscribe

Posts from This Journal “kemerdekaan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments