kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memantapkan sistem pemerintahan negara

SIRI keempat Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan diadakan di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor esok.

Program dialog yang mengetengahkan ilmuwan dari MPN dan lain-lain institusi kali ini akan membincangkan tajuk ‘Sistem Pemerintahan Malaysia Rapuh?’. Tajuk ini dipilih kerana kemelut politik yang sedang melanda negara kita kini menyebabkan ramai orang bertanya adakah sistem pemerintahan Malaysia sudah rapuh dan tidak mempunyai keupayaan untuk menyelesaikannya menggunakan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang?

Soalan-soalan lain ialah adakah sistem pemerintahan Malaysia mempunyai unsur sekat-imbangan (check and balance) supaya sesuatu krisis politik dan kepimpinan negara dapat dicegah sebelum merebak dan menjadi tidak terkawal?

Sebenarnya, sistem pemerintahan yang terbentuk di Malaysia sejak tercapainya kemerdekaan, amat menarik diperhatikan. Pada hakikatnya, sistem pemerintahan di Malaysia adalah berasaskan prinsip rasional-legal kerana sistem ini dibangunkan berdasarkan sebuah Perlembagaan yang digubal oleh pakar undang-undang dan governans yang sangat arif daripada United Kingdom (UK), Australia, India dan Pakistan setelah mendengar pandangan pelbagai pihak di Persekutuan Tanah Melayu dan UK dan turut diteliti dan dibahaskan oleh ramai anggota parlimen British.

Kita amat perlu meneliti kandungan Perlembagaan Persekutuan untuk memahami sistem pemerintahan Malaysia kini, iaitu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (kini Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963) yang dirangka dan digubal oleh sebuah Suruhanjaya Perlembagaan yang diketuai oleh Lord Reid. Dengan cara itu, kita mungkin boleh memahami kenapa kemelut politik yang kita hadapi sekarang terjadi.

Sistem pemerintahan Malaysia yang terbentuk sejak negara mencapai kemerdekaan kira-kira 58 tahun lampau adalah berasaskan idea dan prinsip mengenai kedudukan dan kuasa politik Raja-Raja Melayu, peruntukan kuasa untuk badan eksekutif, peruntukan kuasa untuk badan perundangan, dan peruntukan kuasa untuk badan kehakiman.

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dipinda sedikit sebanyak untuk dijadikan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963. Namun konsep yang diasaskan oleh Suruhanjaya Reid itu tidak banyak berubah. Sistem pemerintahan ini telah berupaya memainkan peranannya selama hampir enam dekad, membantu Malaysia membangun dengan pesatnya, membasmi kemiskinan dan menyusun semula struktur sosio-ekonomi rakyat yang berbilang kaum menerusi Dasar Ekonomi Baru (dan dasar ekonomi selepasnya) dan secara relatifnya berupaya mengekalkan kestabilan politik dan sosial.

Tidak syak lagi bahawa konsep pemisahan kuasa di mana tiga badan utama (Kabinet, Parlimen dan Kehakiman) berada di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong ini tidaklah rapuh dan akan dapat bertahan dan terus menjadi landasan kepada sistem pemerintahan Malaysia selanjutnya. Tetapi konsep pemisahan kuasa ini tidak selari dengan konsep semak-imbangan, yang diguna pakai dalam sistem pemerintahan negara-negara maju.

Dalam sistem pemerintahan Amerika Syarikat (AS) berdasarkan perlembagaannya sejak 1789, prinsip pengasingan kuasa menjadi landasan kepada prinsip semak-imbangan bagi sistem pemerintahannya. Kuasa terbesar diberikan kepada Kongres (Parlimen) yang bukan saja berwibawa menggubal undang-undang, bahkan juga berwibawa untuk menyemak kuasa badan eksekutif, iaitu Rumah Putih (Presiden AS).

Oleh itu, kita telah melihat bagaimana perlawanan kuasa terjadi di antara Rumah Putih dengan Kongres yang menyebabkan kelulusan bajet negara itu pernah tertangguh yang menyebabkan pentadbiran negara tersangkut. Hal ini terjadi kerana biasanya Rumah Putih dan Kongres dikuasai oleh parti yang berlawanan (parti Demokrat dan Republikan).

Perlawanan kuasa dan wibawa seperti di atas tidak terjadi di Malaysia kerana sistem pemerintahan kita adalah bermodelkan sistem UK atau sistem Westminster di mana badan eksekutif (Kabinet) dan legislatif (Parlimen) dikuasai oleh parti politik yang sama.

Adakah sistem pemerintahan Malaysia sudah cukup mantap untuk menaik taraf negara ini menjadi sebuah negara maju secara holistik, atau sistem pemerintahan negara ini masih rapuh dan akan tumbang dilanda badai politik yang bertiup kencang tiada hentinya?

Tetapi, jika sistem pemerintahan UK dapat bertahan sekian lama, berkemungkinan besar sistem pemerintahan Malaysia juga akan dapat bertahan lama. Namun, zaman berubah dan minda politik rakyat sedang mengalami perubahan ketara. Era yang menyaksikan perlawanan ideologi dan doktrin politik dalam arena perebutan kuasa di Malaysia boleh dikatakan telah berakhir, terutamanya sejak era “aturan baru dunia” setelah tumbangnya rejim komunis di Kesatuan Republik Sosialis Soviet pada 1991.

Kini, permainan politik de­mok­rasi di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, diwarnai oleh perenggu minda (mindsets) dan konsep-konsep baru seperti keadilan semula jadi, kesaksamaan, ketelusan, integriti, kalbu yang bersih (conscience), nyah-rasuah, nyah-salahguna kuasa, nyah-diskriminasi (inklusif) dan sebagainya.

Dalam konteks kewujudan pe­renggu minda baru ini dan dalam konteks terjadinya kemelut politik kini, agensi semak-imbangan yang dianggap berwibawa di Malaysia kini ialah pihak yang diberikan kuasa untuk mengaudit perbelanjaan negara (Jabatan Audit Negara) dan pihak yang berkuasa menyiasat dan membuat pendakwaan di mahkamah terhadap sesiapa saja yang disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang ada (Jabatan Peguam Negara).

Ini termasuk badan yang berkuasa menyiasat dan mendakwa sesiapa saja yang melakukan rasuah (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), pihak yang berkuasa memantau dan mengawal sistem perbankan di Malaysia (Bank Negara Malaysia) dan pihak yang memantau kira-kira wang negara (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang ditubuhkan oleh Dewan Rakyat).

Selain itu, Suruhanjaya Pasukan Polis juga termasuk dalam kumpulan yang berwibawa menjalankan penyiasatan sekat-imbangan. Dan dalam era teknologi digital ini, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut memainkan peranan menyemak perbuatan penyebaran maklumat secara atas talian. Pendeknya, sistem pemerintahan Malaysia yang dibentuk oleh Perlembagaan Persekutuan akan terus berfungsi dan berwibawa dengan baik dan berupaya membantu Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Namun begitu, sistem pemerintahan Malaysia perlu menyusun dan memantapkan sistem semak-imbangannya supaya permainan kuasa dan kuat kuasa di bawah sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaannya boleh berjalan dengan baik tanpa melalui kejutan-kejutan yang merugikan negara.

Tags: pemimpin
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments