kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Didik rakyat lebih beradab luah pandangan

S: Selepas dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, antara agenda utama yang diberi perhatian Datuk Seri ialah mahu meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Boleh Datuk Seri jelaskan?

J: Hari ini, kita lihat wujud saingan media baharu dalam menyiarkan maklumat. Kadangkala apa yang disebarkan tidak semestinya tepat. Kerajaan bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada masyarakat umum dengan jelas. Justeru, saya fikir kerajaan perlu mencari kaedah sesuai untuk menentukan maklumat kita sampai hingga ke akar umbi.

S: Mengapa baru sekarang kerajaan perlu meminda akta berkenaan?

PINDAAN Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mendidik pengguna media sosial lebih beradab dan memelihara keharmonian antara kaum. - Foto hiasan

J: Dalam hal ini, kerajaan mengambil kira demografi penduduk. Kita ada masyarakat desa atau luar bandar, pinggir bandar dan bandar. Masing-masing ada perbezaan cara mereka menilai sesuatu maklumat. Cara berkomunikasi juga amat berbeza. Mereka semakin bijak membuat perbandingan terhadap sesuatu maklumat sama ada fakta atau auta. Dalam soal pindaan ini, media sosial adalah satu keperluan bagi negara untuk mara ke depan. Apa yang penting ia tidak disalah guna sehingga boleh mencetus perbalahan dalam soal agama, kaum, ekstremisme dan pornografi. Inilah sebab utama mengapa saya fikir Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dipinda segera agar kebebasan kita melahirkan pandangan atau pendapat dalam media sosial tidak sampai melanggar undang-undang.

S: Pada asasnya, apakah perkara yang akan diberi penekanan dalam pindaan itu?

J: Antara perkara yang termasuk dalam pindaan itu ialah kita mahu media dalam talian atau portal berita yang wujud hari ini didaftarkan agar mereka terikat dengan undang-undang. Menerusi pindaan itu, kerajaan bukan hendak menyekat kebebasan rakyat berkomunikasi atau menggunakan internet, sebaliknya mahu memastikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) digunakan untuk kebaikan, bukan keburukan. Majoriti daripada kita menggunakan internet untuk tujuan kebaikan. Kita juga mahu menjamin keselamatan sistem perbankan dan jaringan sosial. Akan tetapi, kalau kita tidak berhati-hati, ia boleh merosakkan negara. Bayangkan kalau semua orang boleh menghina dan menyerang peribadi orang lain tanpa sekatan. Ia boleh menjejaskan keselamatan negara. Ini perlu ditangani sebaiknya. Pindaan ini juga bertujuan mendidik pengguna untuk lebih bersopan dan beradab apabila berinteraksi dan berkomunikasi menerusi internet atau media sosial. Jangan gunakan bahasa kesat jika hendak luah pandangan atau kritik. Malaysia terkenal dengan budaya hormat menghormati. Jangan paksa orang lain terima pendapat kita.

S: Langkah untuk mewajibkan portal berita mendaftar dengan kerajaan. Bagaimana ia dapat dilaksanakan?

J: Kita sedang mengkaji kaedahnya. Di Singapura sudah melaksanakan sistem ini. Malah banyak negara luar juga mewajibkan portal berita atau media dalam talian (online) mendaftar. Tujuannya untuk mengelak mereka melaporkan perkara yang tidak betul atau tepat. Bermakna mereka akan mempunyai lesen dan perlu mematuhi syarat ditetapkan untuk menjadi sebagai media atau akhbar dalam talian. Jika mereka ada hosting di luar negara, perlu jelaskan. Jika mereka tiada niat jahat untuk merosakkan keharmonian negara, mereka tidak perlu takut. Namun semua ini masih belum dimuktamadkan. Apa yang jelas, pemilik blog tidak perlu mendaftar dengan kita menerusi pindaan itu kerana ia hak peribadi untuk menulis di dalamnya.

S: Susulan cadangan untuk meminda akta ini, ada pihak mendakwa ia hanya akan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara. Benarkah seperti apa yang didakwa?

J: Tidak sama sekali. Kita sentiasa mendukung kebebasan rakyat bersuara. Kita mempertahankan prinsip rakyat bebas memberi pendapat. Akan tetapi ia mestilah bersendikan undang-undang. Tiada kebebasan mutlak dalam hidup ini. Ada undang-undang yang perlu dijaga. Lihat sahaja peristiwa di Plaza Low Yat tempoh hari. Pada mulanya ia hanya kes membabitkan penjual dan pembeli. Tetapi apabila media sosial mempermainkan isu itu, ia menjadi seperti masalah antara kaum. Kalau kita tidak sekat, ia akan timbulkan masalah antara kaum, antara agama dan fahaman pelampau seperti IS. Justeru, tidak benar kebebasan akan disekat kerana pindaan akta itu. Pindaan itu untuk menentukan fakta yang lebih relevan dan terkini, sesuai perkembangan semasa. Peraturan ditentukan agar tidak disalahgunakan. Kalau rakyat tidak ada tujuan jahat, pandangan yang diberikan bukan satu kesalahan. Kita bukan hendak sekat rakyat gunakan internet dan berinteraksi tetapi yang penting untuk mengawal keadaan agar tidak menjejaskan keselamatan negara. Kita mahu mendidik rakyat agar mengeluarkan pendapat mereka dengan tidak menghina mana-mana pihak.

S: Datuk Seri mengatakan yang pindaan itu bertujuan mendidik rakyat untuk lebih beradab ketika mengeluarkan pandangan dalam media sosial atau internet. Tidak cukupkah peraturan yang ada sekarang untuk mendidik rakyat?

J: Pindaan ini dibuat untuk semua pihak beradab dalam menyatakan pendapat dan pandangan dengan tidak menghina atau mengaibkan pihak yang tidak sependapat dengan kita. Kita mahu menguruskan juga perbezaan pendapat yang timbul ini dan tidak menjadi isu berpanjangan. Pada masa sama, kerajaan tidak mahu media sosial dan aplikasi sembang menjadi seperti surat layang dan ada motif tersembunyi. Kita juga tidak mahu pengguna menggunakan nama samaran, tiada identiti atau annonymous. Peristiwa Low Yat menjadi pengajaran amat berguna kepada kita dalam soal menguruskan penyebaran maklumat tidak tepat ini. S: Adakah dalam pindaan itu akan memperuntukkan undang-undang khusus bagi mereka yang menyebarluaskan (viral) sesuatu maklumat palsu? J: Dalam hal ini, saya sudah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat perbincangan dengan pengendali aplikasi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp. Kita berunding dengan pihak ini agar mereka boleh padam atau buang status, ulasan atau kenyataan yang bertentangan dengan undang-undang kita. Seperti yang berlaku pada portal berita Sarawak Report yang sudah kita sekat tetapi ia masih boleh diakses melalui Facebook. Kerajaan tidak mahu bersikap melampau dalam menangani masalah penyebaran maklumat tidak tepat seperti menyekat terus media sosial tertentu kerana bukan semua yang salah gunakan media sosial. Apa yang penting kita mahu pindaan akta ini akan mematangkan pengguna internet. Masalah yang berlaku sekarang ialah kita biasanya tiada bukti untuk mendakwa suspek kerana ada yang menggunakan akaun palsu. Ada kes yang sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara tetapi tiada tindakan susulan boleh diambil kerana tiada bukti. Justeru, pindaan ini bertujuan menghalang rakyat kita melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan negara seperti memfitnah atau melaga-lagakan kaum dan agama.

S: Apakah signifikan pindaan akta ini nanti?

J: Pindaan ini adalah untuk tentukan rakyat kita tidak menyalah gunakan media sosial. Kedua, kita mahu menentukan agar perkembangan kita selari dengan dunia. Selain soal politik, internet turut digunakan dalam industri lain seperti perbankan. Kita perlu menambah baik peraturan yang ada mengikut perkembangan semasa. Yang penting, apa yang kita mahu lakukan ini adalah untuk mendidik rakyat bahawa kerajaan bukan hendak menyekat tetapi hidup kita terikat dengan undang-undang. Tiada kebebasan yang hakiki dan ini yang perlu rakyat hayati agar keharmonian negara tidak terjejas. S: Datuk Seri percaya usaha meminda akta ini mampu mendidik masyarakat untuk lebih beradab dan bersopan menggunakan media sosial selepas ini? J: Usaha ini tetap memerlukan kerjasama semua pihak khasnya agensi dan jabatan di bawah kementerian. Kita akan menggandakan lagi kempen dan program dialog. Semua jabatan seperti JASA, Jabatan Penerangan akan turun ke bawah untuk menerangkan kepentingan menggunakan internet secara beradab untuk kebaikan semua. Ini satu proses berterusan. Kita ada media yang sudah lama wujud dan mahu masyarakat mengikuti media ini. Mungkin kita perlu ubah suai program dan menambah baik penyampaian. Ini semua perlu kita lihat.

S: Kalau dilihat kepada tabiat masyarakat hari ini, mereka cenderung meluahkan pandangan dan pendapat berbaur cercaan serta penghinaan di dalam media sosial kerana beranggapan apa sahaja yang kerajaan jelaskan tidak telus dan tidak benar. Apa pendapat Datuk Seri?

J: Hakikatnya, kerajaan sudah menerangkan banyak perkara atau isu secara terbuka dan telus seperti dalam isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion. Tetapi hari ini kerajaan bersaing dengan pihak yang memanipulasi apa sahaja isu menerusi media sosial. Inilah masalahnya. Maka kementerian perlu mencari kaedah terbaik untuk sampaikan maklumat tepat dan betul kepada semua pihak dengan sebaiknya. Hari ini, media sosial memanipulasi isu besar ini untuk mempengaruhi rakyat. Saya berpegang kepada konsep 'pemikiran yang jelas'. Hari ini, pihak lawan memaksa kita - kerajaan dan rakyat untuk menerima semua pandangan mereka. Sepanjang masa lawan ini tidak berpuas hati dengan kerajaan. Mereka ada motif tertentu. Mereka gunakan isu derma dan pelaburan 1MDB sebagai bahan politik. Maka, kalau rakyat tidak berhati-hati dan membandingkan maklumat diterima di media sosial, mereka akan terpengaruh dan percaya.

S: Sementara menunggu pindaan akta itu dilaksanakan, masih banyak portal berita dan media sosial menyebarkan laporan yang tidak tepat apabila menyentuh isu berkaitan kerajaan. Apa tindakan kerajaan dalam hal ini?

J: Walaupun pindaan belum dilakukan, kita masih ada kuasa tertentu untuk mengambil tindakan seperti Seksyen 233. Kerajaan juga memberi amaran kepada pihak tertentu dengan meminta mereka perbetulkan apa yang berlaku. Ini semua kita lakukan. Jika ada cukup bukti, kita akan kemuka kepada Jabatan Peguam Negara untuk ambil tindakan sewajarnya, yang penting kita ada bahan sebagai bukti.

S: Jika mahu mendidik dan memperbetulkan persepsi rakyat, kerajaan memerlukan jentera yang berkesan. Apakah Datuk Seri berpuas hati dengan jentera yang ada sekarang?

J: Saya masih menilai semua kaedah yang diamalkan. Seperti biasa kami sebagai kakitangan kerajaan bertanggungjawab menyampaikan dasar kerajaan dengan sebaik-baiknya dan berkesan. Kita tidak memiliki 'cybertrooper', maka kita harus gandakan penggunaan media sosial juga untuk memberi penjelasan agar rakyat boleh buat perbandingan maklumat.

S: Menyentuh aspek penyampaian dasar kerajaan kepada rakyat, ada dakwaan mengatakan kemunculan saluran televisyen berbayar dilihat menyukarkan usaha kerajaan mendidik masyarakat untuk lebih bersopan menggunakan media sosial. Apa pandangan Datuk Seri?

J: Kita sebenarnya tidak dapat lari daripada perkembangan semasa ini. Televisyen berbayar ini sudah meluas perkhidmatannya. Ia menjadi satu trend. Kita juga sudah menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi televisyen berbayar. Apa yang penting, mereka bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej tertentu kepada pengguna agar mengutamakan kepentingan negara.

S: Mungkinkah kementerian mahu mewajibkan syarikat televisyen berbayar menyelitkan slot khas untuk menyampaikan mesej kepada rakyat agar memahami aspirasi kerajaan?

J: Kita sentiasa mengadakan perbincangan dengan mereka, saya fikir mereka tidak ada masalah untuk berbuat demikian. Pemiliknya juga rakyat Malaysia. Sudah tentu mereka mahu menjadikan Malaysia negara yang aman dan harmoni. Kita akan cuba berbincang dengan mereka bagi bentuk program yang bersesuaian untuk menyampaikan mesej dan dasar kerajaan. Mungkin ada slot program mereka yang perlu ditambah masanya.

S: Berhubung ancaman anonymous pada hujung bulan ini, apa tindakan kerajaan setakat ini untuk menghadapinya?

J: Kita serahkan perkara itu kepada polis untuk menyiasat dan tentukan tindakan sewajarnya. Saya juga sudah mengarahkan SKMM memantau dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menghadapi ancaman anonymous. Mereka ada kaedah tertentu untuk menghadapinya.
Tags: akta, ict
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments