kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Matang, rasional hadapi provokasi media sosial

SAYA mengalami sendiri peristiwa 13 Mei 1969 ketika berada di Kuala Lumpur di sekitar tarikh itu. Ketegangan antara kaum Melayu dan Cina ketika itu mengundang rusuhan berdarah di sekitar Kuala Lumpur.

Namun, dengan kebijaksanaan kerajaan dan langkah keselamatan yang berkesan diambil dengan begitu pantas, maka peristiwa berdarah berkenaan hanya berlaku dalam tempoh singkat dan tidak merebak ke luar Kuala Lumpur.

Peristiwa ini tidak berlarutan menjadi tragedi di seluruh negara atau sekurang-kurangnya di seluruh Semenanjung.




Bagaimanapun mengenangkan kembali peristiwa berdarah itu dalam konteks sekarang, saya pasti besar kemungkinan kejadian mendukacitakan berkenaan terus merebak ke seluruh pelosok negara dan kota dalam masa singkat.

Pada 13 Mei 1969 itu, kebetulan saya baru keluar dari sebuah klinik di Brickfields, mengambil ubat untuk anak kecil saya.

Ketika itulah seorang pemuda India memberitahu mengenai kekacauan yang berlaku dengan ganasnya di Kuala Lumpur dan menasihatkan saya segera pulang.

Saya bergegas balik ke rumah yang tidak jauh dari situ.

Peristiwa keganasan

Pada mulanya saya tidak mengetahui keganasan itu berlaku akibat pergeseran politik perkauman susulan keputusan pilihan raya yang baru beberapa hari berlangsung.

Kemelut perkauman inilah yang membawa kepada keganasan di sekitar Kuala Lumpur mengakibatkan kecederaan dan kematian. Saya membuka televisyen untuk mengikuti peristiwa itu kerana radio dan televisyen kerajaan sahaja yang menjadi sumber berita pada ketika itu.

Saya menonton siaran yang luar biasa, iaitu kelihatan empat juruacara duduk berbaris di depan kamera dan mereka bergilir-gilir bangun menuju ke pembesar suara dengan setiap seorang mengumumkan sesuatu dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Mereka mengumumkan secara ringkas peristiwa yang berlaku dalam versi sama, kemudian menyampaikan arahan kerajaan mengenai perintah berkurung, apa yang harus dilakukan apabila perintah berkurung dilonggarkan pada waktu siang dan nasihat mengenai peranan orang ramai bagi menjaga keharmonian kaum dengan jiran di bandar serta kota.

Suara yang menyampaikan mesej berkenaan satu sahaja iaitu daripada sumber pemerintah, terutama mengenai keselamatan negara yang telah terkawal, kemudian meminta orang ramai mematuhi undang-undang, juga tempoh berkurung. T

ernyata media kerajaan itu amat berkesan memberikan ketenangan kepada orang ramai, terutama ketika dijelaskan bahawa keganasan yang berlaku adalah kes terpencil, dalam kalangan kumpulan yang taksub dan partisan melampau serta polarisasi perkauman yang keterlaluan.

Oleh itu, rakyat umumnya yang cintakan keamanan dan keharmonian, harus bertenang serta menjauhkan sebarang provokasi yang boleh memarakkan gejala negatif dalam negara.

Dalam konteks inilah saya berpendapat jika peristiwa 13 Mei berlaku pada zaman siber dan media sosial yang berleluasa ketika ini, mungkin dalam masa beberapa saat sahaja segala sampah-sarap dan persepsi karut, akan tersebar yang mungkin membangkitkan emosi serta kekeliruan masyarakat.

Salah guna media sosial

Akibatnya, tentu tersebar berita salah serta persepsi negatif mengenai punca krisis yang sebenar dan akibatnya akan berlaku reaksi negatif daripada masyarakat umum.

Peristiwa kekeliruan dan keganasan yang berlaku akibat 'Arab Spring' dan rentetan keganasan di Mesir, berikutan kejatuhan Presiden Mursi serta keganasan lain yang merebak pantas di dunia moden hari ini, punca utamanya adalah daripada media sosial yang disalahgunakan sehingga tersebar maklumat dan gesaan keganasan yang tidak tepat.

Peristiwa 13 Mei berakhir dengan pantas dan tidak merebak ke seluruh negara berpunca daripada beberapa keadaan dan pengalaman orang ramai, antaranya kerana tiada media sosial ketika itu dan tumpuan rakyat hanya kepada sumber berita kerajaan yang sah, serta sebaran berita yang tidak menggalakkan tindakan ganas serta sentimen melulu.

Didik anak

Oleh kerana media sosial pada hari ini tidak dapat disekat dengan kemajuan yang amat pantas, jika berlaku lagi peristiwa seperti 13 Mei 1969 rakyat harus mendidik diri supaya lebih berfikiran matang dan bertindak rasional, jangan mendengar dan menyebar fitnah serta khabar angin yang negatif, malah mendidik anak mengenai manfaat dan mudaratnya media sosial.

Kerajaan juga harus bertindak dalam batasan tertentu, lebih telus dan jujur, tanpa mengenakan sekatan dan tapisan ketat bagi media sosial, bertujuan untuk menambahkan kepercayaan serta keyakinan rakyat mengenai segala tindakan kerajaan yang sebenarnya.

Jika kerajaan tidak berjaya menjelaskan secara ikhlas akan salah faham rakyat, semua yang tersebar dalam media sosial akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan mereka.
Tags: media, sosial
Subscribe

Posts from This Journal “sosial” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments