Banyak isu dibangkitkan pada forum itu yang menjelaskan masih wujud kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai status Akta Hasutan.
Tidak kurang juga pihak keliru mengenai kedudukan cadangan penubuhan Akta Keharmonian Nasional. Setelah kerajaan mengisytiharkan untuk mengekalkan Akta Hasutan pada tahun 2014, timbul persoalan sama ada Akta Keharmonian Nasional masih diperlukan atau tidak.
Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Joseph Kurup juga mengumumkan draf Akta Keharmonian Nasional akan dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang, iaitu Oktober ini.
Ramai masih tidak jelas kandungan Akta Keharmonian Nasional dan adakah ia berbeza dengan Akta Hasutan jika akta itu terus dikekalkan.
Kritikan terhadap Akta Hasutan
Akta Hasutan adalah Akta 15 yang mula dibentuk pada tahun 1948 ketika era penjajahan British bagi mengawal ancaman komunis setelah Darurat diisytiharkan dan juga menghalang tuntutan kemerdekaan.
Namun, selepas negara merdeka pada tahun 1957, Akta Hasutan dikekalkan dan ditambah baik setelah rusuhan kaum meletus di Singapura pada tahun 1964 dan Kuala Lumpur pada tahun 1969.
Akta Hasutan menerima kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN). Antaranya ia dikatakan undang-undang penjajah yang harus dibubar dan diganti dengan undang-undang baharu sesuai dengan keadaan semasa.
Ada juga mengatakan peruntukan undang-undang Akta Hasutan terlalu luas dan tidak jelas dari segi interpretasi 'hasutan' itu.
Misalnya Perkara 63(4) Perlembagaan Persekutuan menafikan imuniti kepada ahli badan perundangan yang boleh dihukum mengikut Akta Hasutan terhadap isu perkauman yang mereka sebut atau bicarakan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Malah, ahli akademik juga bimbang jika perbincangan dan pandangan ilmiah di bilik kuliah berkenaan sesuatu perkara boleh dianggap sebagai melanggari Akta Hasutan.
Parti pembangkang pula mengkritik seolah-olah berlaku pengadilan terpilih dalam penguatkuasaan akta ini.
Oleh itu, melalui Program Transformasi Kerajaan, beberapa akta termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat dibubarkan pada tahun 2012. Malah,
Akta Hasutan juga dikatakan akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional. Dalam satu kenyataan akhbar oleh Pejabat Perdana Menteri bertarikh 12 September 2014 menyatakan kerajaan menerima banyak maklum balas berkaitan isu Akta Hasutan ini.
Pertama, ada permintaan Akta Hasutan dikekalkan dengan sedikit pindaan.
Kedua, ada yang meminta Akta Hasutan dihapuskan.
Ketiga, ada yang memilih menggantikan Akta Hasutan dengan Akta Keharmonian Nasional demi menjaga perpaduan rakyat dan kestabilan negara.
Keempat, ada berpendapat supaya Akta Keharmonian Nasional diwujudkan sebagai akta baharu di samping Akta Hasutan yang dikekalkan.
Bukan sekadar jaga hubungan kaum
Setakat ini, kerajaan memilih pendekatan keempat yakni mengekalkan Akta Hasutan melalui beberapa pindaan dan mewujudkan Akta Keharmonian Kaum.
Yang jelas, Akta Hasutan bukan sahaja membicarakan soal hubungan kaum, malah lebih daripada itu. Melalui pindaan tahun 2015, penghukuman di bawah Akta Hasutan akan dikenakan kepada sesiapa yang bersuara untuk membawa perpecahan kepada Persekutuan Malaysia.
Namun, Akta Hasutan juga harus dipinda bagi penambahbaikan. Misalnya Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pernah mengesyorkan peruntukan dalam Akta Hasutan 1948 yang tidak relevan dipinda atau dimansuhkan segera dengan mengambil kira keterbukaan kepemimpinan BN ketika ini.
Beliau berkata, peruntukan yang menghalang rakyat mengkritik kerajaan dan pentadbiran boleh dimansuhkan demi menyediakan ruang lebih luas kepada rakyat untuk bersuara.
Sementara itu, rakyat masih kurang jelas kandungan Akta Keharmonian Kaum.
Ada mengatakan akta ini menyediakan tribunal yang akan menyelesaikan segera sebarang perbalahan dan permasalahan antara kaum dan agama secara aman.
Malaysia juga sehingga kini tidak ada undang-undang khusus bagi menangani isu kebencian kaum seperti Racial Hatred Act di United Kingdom dan Australia.
Malah, pergaduhan kaum yang tercetus ketika insiden di Plaza Low Yat menyebabkan ramai melihat kesesuaian Akta Keharmonian Nasional ini diwujudkan.
Untuk menjadikan Malaysia aman politik dan makmur ekonominya, perlu ada mekanisme bagi menangani sebarang permasalahan yang boleh menjejaskan hubungan kaum.
Jelas, Akta Keharmonian Nasional dilihat mampu memastikan masa depan perpaduan negara kekal utuh daripada segala bentuk ancaman. Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani Berita Harian Kolumnis 25 Ogos 2015