kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Masalah rakyat jadi penentu Pilihan Raya Umum

SENARIO politik antara dua ji­ran iaitu Singapura dan Ma­laysia adalah begitu se­la­ri dan unik kerana per­ta­lian sejarah lampau yang di­anggap begitu rapat. Sebab itu, amat sukar untuk diketepikan andaian bahawa setiap peristiwa berkaitan politik yang melanda sama ada di Singapura atau Malaysia sudah agak pasti sedikit sebanyak memberi kesan antara satu sama lain.

Sebab itu, rakyat Malaysia amat teruja apabila mendapat berita Presiden Singapura, Tony Tan Keng Yam di atas nasihat Perdana Menteri, Lee Hsien Loong telah membubarkan parlimen untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum (PRU) yang bakal berlangsung pada 11 September ini. Walaupun mandat parti memerintah iaitu Parti Tindakan Rak­yat (PAP) hanya akan berakhir pada Januari 2017, tetapi Hsien Loong mengambil keputusan mengadakan PRU lebih awal kerana beberapa faktor yang dikatakan memberi manfaat kepada PAP.


Rakyat Singapura menyambut Hari Kebangsaan ke-50 negara itu baru-baru ini. Parlimen Singapura dibubarkan kelmarin untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum. AFP

Paling mencuri perhatian rakyat Malaysia ialah apabila Hsien Loong menggunakan ucapan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 23 Ogos lepas untuk memberi isyarat awal kepada rakyat Singapura bahawa PRU bakal berlangsung tidak lama lagi. Menarik bukan sahaja ke­rana pertalian sejarah kemerdekaan kedua-dua negara yang saling ber­kait tetapi kerana Malaysia bakal menempuh hari tersebut hanya beberapa hari sahaja lagi.

Cuma ada sedikit perbezaan da­lam sambutan Hari Kebangsaan ke­dua-dua negara dari sudut faktor politik. Sambutan di Singapura lazimnya disertai juga oleh parti politik yang berbeza ideologi dengan PAP dan diketepikan buat sementara perbezaan yang wujud. Cuma PAP tahun ini dikatakan mencuri peluang sentimen rakyat Singapura dengan beberapa strategi yang menjurus kepada yang berkepentingan politik.

Berbeza pula dengan senario di Malaysia di mana sambutan Hari Kebangsaan melebarkan lagi jurang perbezaan ideologi politik apabila wujud pihak yang bertegas menggunakan tema yang berbeza dengan tema kebangsaan iaitu Sehati Sejiwa.

Jika rakyat Singapura sudah be­­gitu serasi dengan kerajaan PAP yang telah memerintah sejak merdeka begitu juga dengan rakyat Malaysia yang sudah lazim dengan tadbir urus kerajaan Barisan Nasional (BN). Begitu jua dengan parti pembangkang Singapura seperti Parti Pekerja (WP), Parti Demokratik Singapura (SDP) dan beberapa parti lain yang mewujudkan kerjasama tidak rasmi khusus untuk menghadapi PRU serupa juga senario parti pembangkang di Malaysia.

Cuma yang berbeza parti pembangkang Singapura menghadapi ke­­kangan dalam bentuk sistem pi­­lihan raya untuk merampas ke­ru­si milik PAP tetapi di Malaysia pem­bangkang sudah menguasai pemerintahan tiga negeri. Jika parti pembangkang Malaysia mempunyai peluang sama rata dengan BN untuk meraih kemenangan di kawasan bertanding, pembangkang Singapura menghadapi kesukaran dalam bentuk kawasan bertanding berkelompok (GRC).

Pada ketika ini terdapat 16 GRC yang mempunyai sama ada 4, 5 atau 6 calon untuk satu kawasan yang dipertandingkan. Setiap parti yang bertanding kerusi GRC dikehendaki mempunyai calon dari kumpulan minoriti iaitu sama ada Melayu atau India lazimnya. Kesukaran parti pembangkang adalah untuk mendapatkan calon berwibawa dari kumpulan minoriti ini. Konsep GRC sebenarnya memberi kelebihan kepada PAP yang mempunyai pilihan calon kumpulan minoriti yang lebih luas.

Tetapi persamaan senario politik Singapura dan Malaysia yang paling menarik dan bakal menjadi penentu dalam PRU 11 September akan datang ialah mengenai kos sara hidup yang tinggi. Harga tempat kediaman yang begitu mahal umpamanya antara salah satu faktor utama mengapa undi yang diperoleh oleh PAP merosot pada PRU 2011 kerana hanya mampu meraih 60.1 peratus jumlah undi. Keputusan pilihan raya ini disifatkan terburuk sejak lima dekad PAP memerintah Singapura.

Sebab itu, antara inti pati ucapan Hari Kebangsaan Hsien Loong beberapa hari lepas ialah mengenai beberapa insentif yang digubal oleh kerajaan bagi memudahkan rakyat Singapura memiliki flat awam HDB. Hsien Loong juga mengumumkan beberapa dasar mengenai pengambilan pekerja asing yang merunsingkan rakyat Singapura pada ketika ini kerana peluang pekerjaan yang menjadi begitu terhad kerana terpaksa bersaing dengan rakyat asing.

Begitu juga dengan jurang perbezaan di antara yang kaya dan miskin yang dikatakan makin melebar diberi perhatian khusus oleh Hsien Loong supaya kekayaan Singapura dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

Senario politik PRU Singapura mempamerkan bahawa masalah asas seharian yang dihadapi oleh rakyat akan menjadi penentu pilihan pengundi ketika membuat ke­putusan di peti undi. Hsien Loong telah belajar daripada kesilapan PRU 2011 kerana tidak begitu memberi perhatian kepada masalah kos sara hidup yang tinggi yang dihadapi Singapura dan pengundi telah menghukum Hsien Loong.

Apabila Hsien Loong mengumumkan insentif mengenai pemilikan flat HDB, strategi sebegini sebenarnya mampu mengurangkan kesan kos sara hidup kerana kos pemilikan tempat tinggal di Singapura adalah begitu tinggi sekali.

Hampir 2.5 juta rakyat Singapura akan keluar mengundi pada PRU 11 September ini dan tanggungjawab berat dipikul oleh setiap pengundi kerana seperti amanat Hsien Loong yang disampaikan pada ucapan Hari Kebangsaan bahawa keputusan pilihan raya kali ini bukan akan hanya menentukan kerajaan yang meme­rintah selama lima tahun tetapi bakal menentukan hala tuju Singapura 50 tahun akan datang.

Sebab itu, begitu kritikal rakyat Singapura menggunakan hak mengundi dan membuat keputusan mengikut kepentingan negara dan bukan perasaan semata-mata hanya untuk memberi peluang kepada parti pembangkang. Apa yang pasti adalah keputusan PRU Singapura akan diperhatikan dengan penuh minat oleh rakyat Malaysia.

Tags: merdeka, pilihanraya, pru
Subscribe

Posts from This Journal “pilihanraya” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments