kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Menghayati keharmonian Negaraku

TERASA harmoninya berdiri bersama-sama para peniaga dan pengunjung sambil menghayati dan menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku tepat pukul 10 pagi di aras bawah Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kuala Lumpur, baru-baru ini. Sama ada mereka yang sedang lalu lalang, sedang menikmati sarapan atau yang sedang melayan pelanggan di bistro atau cafe terus saja berdiri menghormati lagu kebangsaan itu.

Turut kelihatan berhenti menjalankan tugas seketika semasa lagu kebangsaan ke udara termasuk para pekerja pembersihan, pembantu kedai, pengawal keselamatan dan pemunggah barangan jualan. Mereka terdiri daripada pelbagai kaum, keturunan dan anutan agama.

Dalam kalangan mereka bukan sahaja warga tempatan tetapi termasuk warga asing yang datang mencari makan di ibu negara Malaysia. Jelas, mereka tahu menghormati lagu Negaraku, lambang kedaulatan Malaysia. Sekali gus warga asing itu turut menunjukkan sikap ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.


PARA peniaga dan pengunjung berdiri ketika lagu kebangsaan Negaraku dinyanyikan di aras bawah Menara Mara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah sahabat-sahabat kita yang orang kurang upaya (OKU) turut menghormati lagu Negaraku dengan kadar keupayaan tersendiri. Bangga melihat semangat patriotisme mereka. Termasuk juga mereka yang mendukung bayi dan memimpin anak-anak kecil. Barangkali mereka mahu mengasuh anak-anak mereka menghormati lagu Negaraku. Baguslah begitu!

Namun, tidak dinafikan masih ada segelintir masyarakat yang mempamerkan sikap ‘kurang bertamadun’. Mereka terus berbual di meja tanpa menghiraukan Negaraku berkumandang. Ada yang terus berjalan tanpa rasa sekelumit malu dengan kebanyakan orang lain yang berdiri tegak menghormati lagu kebangsaan.

Kelihatan juga yang teragak-agak untuk bangun berdiri sambil melihat dahulu orang sekeliling. Kemudian, ada yang berdiri hanya seketika dan terus kembali duduk. Mereka ini termasuk golongan muda dan lebih dikesali ada juga kalangan dewasa. Pendek kata, hanya melalui berkumandangnya lagi Negaraku kita dapat mengukur sikap dan tabiat masyarakat kita. Lagu Negaraku adalah lagu kebangsaan. Lagu yang menjadi milik setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Sepatutnya setiap yang bergelar rakyat Malaysia bangga untuk berdiri menghormati lagu kebangsaan. Lebih elok kalau dapat menyanyikan bersama. Bukan lama pun. Tidak sempat pun merasa lenguh kaki atau badan. Pujian patut diberi kepada pihak pengurusan Mara kerana memasang lagu Negaraku setiap pukul 10 pagi. Seolah-olah sudah acara harian bagi mereka yang berada di sekitar Menara Mara yang turut berada di dalamnya Hotel Premiera dan Medan Mara.

Nyatanya, amalan memainkan lagu Negaraku setiap pagi itu memberi makna besar untuk menzahirkan semangat cintakan negara. Dapat menilai dengan mudah sikap masyarakat kita terhadap jatidiri sendiri. Malah dapat menguji sama ada masyarakat kita memiliki ‘roh’ yang membuktikan mereka benar-benar sayangkan negara.

Mereka yang memiliki semangat patriotisme merasa sedikit terganggu dan kurang senang dengan sesetengah warga Malaysia yang seolah-olah tidak mempedulikan Negaraku. Malah ada kalangan mereka bersuara.. “Jika lagu kebangsaan pun tidak dihormati, apa lagi nak mengharapkan mereka bersyukur dan menghargai kedaulatan, keamanan dan kemakmuran negara”.

Amat patut dan sesuai sekali jika semua gedung perniagaan seluruh negara memainkan lagu Negaraku setiap pukul 10 pagi setiap hari. Sepatutnya dijadikan rutin harian untuk memainkan lagu itu di pejabat atau semua institusi sebelum bermula tugas dan operasi kerja. Setidak-tidaknya, terdapat suatu waktu untuk mengajak rakyat Malaysia menghayati lagu kebangsaan.

Semoga dengan menghayati dan menghormati lagu Negaraku akan timbul kesedaran untuk mempertahankan kedaulatan negara, mengelakkan negara dari sebarang huru hara dan sengketa, menghimpunkan semangat saling memahami, saling menerima dan bekerjasama selain menghormati apa yang terkandung dalam prinsip-prinsip Rukun Negara.

Negaraku mungkin kecil pada ukuran durasi lagu tetapi impaknya cukup besar dan bermakna untuk rakyat dan negara. Tidak akan berkobar-kobar semangat juang jika Negaraku tidak berkumandang di padang bola sebelum bermula perlawanan dengan pasukan negara asing. Tidak mengalir air mata bangga dan terharu tanpa Negaraku bergema selepas meraih pingat emas oleh peserta negara di mana-mana temasya sukan peringkat antarabangsa.

Pentingnya setiap bait lagu Negaraku dihayati dengan mendalam apabila mengeluarkan suara mengalunkan lagu berkenaan. Dengan cara itu akan menyedarkan setiap warga negara tentang siapa mereka, tanggungjawab mereka serta nilai kehidupan mereka agar tertanam tekad menentukan Malaysia kekal aman, stabil, makmur dan sejahtera.

Malang jika ada warga yang mempersendakan lagu Negaraku. Mereka ini sebenarnya mempunyai nilai yang kosong terhadap negara. Barangkali yang mereka tahu hanya mengumpul kekayaan sebanyak mungkin atau bangga dengan pencapaian dalam kehidupan masing-masing.

Sedikit masa dulu, ada pihak yang kononnya berasa malu apabila terpaksa berdiri dengan kawan-kawan dari luar negara untuk menyanyikan lagu Negaraku apabila berada di pawagam. Betapa rendahnya nilai patriotisme yang ada pada diri mereka.

Mereka mungkin kurang sedar bahawa tanpa suasana negara yang aman, damai dan makmur, tiada tapak bagi mereka meraih kejayaan. Bayangkan jika negara sentiasa dalam huru hara atau sengketa yang tidak berkesudahan, tentu sukar untuk sesiapa pun berusaha, mengatur penghidupan dan seterusnya meneroka kejayaan dan kekayaan. Jadi, semangat dari gema Negaraku dapat menyimpul seribu hikmat bagi mereka yang sedar dan insaf tentang makna hidup bernegara.

Semoga Negaraku terus bersemarak, menjadi lambang kedaulatan Malaysia. Menyerlahkan manifestasi setiap rakyatnya supaya sentiasa cintakan negara, sanggup memelihara dan mempertahankan kedaulatannya serta menolak sebarang usaha memecah belah, menghindar tercetusnya huru hara atau mengelak daripada runtuhnya struktur kesepaduan yang sudah terjalin harmoni sejak sekian lama.

Semoga harmoni Negaraku mengiringi harmoninya cita rasa setiap warga negara menghimpunkan semangat sayangkan negara, cintakan kedamaian serta bersyukur dengan nikmat kemajuan yang ada. Lebih signifikan lagi, semangat ini terus disemarakkan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 yang bertemakan #Sehati Sejiwa.

Tags: harmoni, negara
Subscribe

Posts from This Journal “negara” Tag

  • Sayangilah 
negara ini

    MUKADIMAH: SELEPAS 59 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, nilai-nilai murni dan jati diri rakyat untuk terus mengekalkan kesepaduan dan…

  • Iktibar, Dr M, Bersih, Mat Tyson, Azmin Paling Di Benci

    Iktibar 4.0 Penganjuran perhimpunan Bersih 4.0 di Kuala Lumpur semalam memberikan petunjuk yang jelas tentang beberapa hal tetapi paling ketara…

  • Sehati Sejiwa untuk Malaysia

    DUA hari lagi, pada hari Isnin 31 Ogos, cukuplah 58 tahun negara kita merdeka. Dengan keadaan kesihatan yang kurang baik pasal terlebih makan, kurang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments