kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berjuang tanpa senjata

Aku bukanlah seorang perwira

Gagah menjunjung senjata

Namun hati rela berjuang

Walau dengan cara sendiri

Demi cinta ini’

Itulah serangkap petikan lagu Warisan nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad. Mengangkat senjata bukanlah satu-satunya cara untuk seorang pencinta tanah air berjuang demi negara tercinta.


REPLIKA barisan pemimpin yang menyertai rombongan ke London pada Januari 1956.

Itulah yang pernah berlaku dalam sebuah peristiwa bersejarah di Dewan Men Seng, Jalan Bendahara, Melaka apabila sebuah mesyuarat tergempar telah diadakan oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bersama ahli Parti Perikatan yang lain.

Dewan tersebut telah menjadi saksi pada 18 April 1954 apabila Parti Perikatan berhasrat untuk bertemu dengan Setiausaha Tanah Jajahan British, Oliver Littleton di London akibat tidak berpuas hati selepas permohonan untuk bertemu ditolak.

Pengurus Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan (MPK), Ahmad Nadzrol Mohd Som (gambar) memberitahu, dalam persidangan tersebut orang ramai telah mendermakan pelbagai barang kemas yang berharga.

“Itu adalah pengorbanan yang telah dilakukan oleh semua pencinta tanah air termasuk Melayu, Cina dan India untuk membantu Tunku Abdul Rahman Putra pergi ke London menyampaikan hasrat rakyat.


DEWAN Men Seng dahulu menjadi saksi pengisytiharan kemerdekaan kini menjadi tumpuan pengunjung untuk mendapatkan pelbagai jenis barang keperluan rumah.

“Pada waktu itu, sebuah kain telah dibentang dan dipegang beramai-ramai untuk mengumpulkan kesemua barang kemas seperti gelang, cincin dan rantai emas termasuklah jam tangan yang didermakan oleh orang ramai.

“Seingat saya, waktu itu juga Tunku memberitahu bahawa UMNO dan Parti Perikatan tidak mempunyai dana untuk menampung kos pergi ke London, lalu orang ramai tampil memberi bantuan antaranya ialah orang penting dalam UMNO iaitu Datuk Rahmah Kasim, Datuk Borhan Md Yaman, Tan Sri Abdul Aziz Tapa dan ramai lagi,” katanya ketika ditemubual S2.

Walau bagaimanapun, menurut beliau lagi, kenangan peristiwa itu seperti semakin hilang ditelan masa. Ramai orang tidak tahu tentang kisah pejuang yang bergolok bergadai membantu Bapa Kemerdekaan Malaysia ke London.

“Kita memahami faktor masa apabila pejuang yang bergolok bergadai pada hari tersebut kebanyakannya telah meninggal dunia dan jika masih hidup pasti sudah uzur.

“Justeru usaha untuk menjejaki mereka untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang peristiwa tersebut agak sukar. Namun, pihak memorial tetap berusaha supaya para pejuang ini dikenang orang ramai dan tidak menjadi orang di sebalik tabir.

“Kini, pihak MPK sentiasa bekerjasama dengan pihak Perbadanan Muzium Negeri Melaka (Perzim), Kerajaan Negeri Melaka, dan semua pihak untuk mendapatkan peristiwa-peristiwa penting tentang kemerdekaan,” jelasnya.

Ahmad Nadzrol menambah lagi, perjuangan para pejuang dalam Dewan Men Seng pada 1954 harus dikenang kerana kejayaan Tunku selepas pulang dari London, adalah pilihan raya pertama tahun 1955 dapat diadakan.

“Mereka melemparkan barang kemas dan apa sahaja barang berharga yang dimiliki ketika itu, sedangkan mereka tahu ia pasti tidak akan diperolehi semula.

“Tambah pula situasi ekonomi pada waktu tersebut bukanlah sebaik sekarang, sebab itulah saya kata pengorbanan mereka begitu berharga dan kita wajar mengenangnya,” ujarnya.

Tags: merdeka
Subscribe

Posts from This Journal “merdeka” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments