kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Berganding perangi jenayah rasuah

USAHA memerangi rasuah di Malaysia menjadi satu tugas yang berterusan sejak negara mencapai kemerdekaan hampir enam dekad lalu. Setiap perdana menteri mempunyai pendekatan sendiri untuk menangani rasuah.

Pembaharuan demi pembaharuan yang diperkenalkan menunjukkan bahawa negara terus mengambil pendekatan, usaha dan strategi secara konsisten bagi mencegah rasuah, bukan sahaja dalam negara malah membabitkan jenayah merentasi sempadan. Ironinya, kita tidak boleh melakukannya dalam sekelip mata. Kita tidak boleh memerangi rasuah dalam sekelip mata.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mustafar Ali (kiri) dan Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar menunjukkan poster Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) pada sidang media mengenai IACC Ke-16 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, baru-baru ini. BERNAMA

Maka, Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Kali Ke-16 yang akan berlangsung di Malaysia selama tiga hari bermula esok ini akan menjadi medan bagi berkongsi pengalaman dan kajian kes bersama peserta dari negara lain. Begitu juga Malaysia akan mempelajari pengalaman negara-negara lain bagi mendapatkan input dan idea meneruskan usaha penambahbaikan strategi memerangi rasuah. Yayasan Anti Rasuah Malaysia juga sangat teruja untuk menimba pengalaman dari pihak luar dalam menjadikan negara tercinta ini sifar rasuah suatu hari nanti.

Persediaan menganjurkan IACC Kali Ke-16, yang direalisasikan oleh kerajaan Malaysia dan SPRM dengan kerjasama Transparency International (TI) dan Transparency International Malaysia (TI-M) dimulakan sejak Oktober 2014. Dilaporkan ia akan disertai hampir 1,000 peserta dari lebih 135 negara. Malaysia dan SPRM buat julung kali menjadi tuan rumah IACC. Ia adalah pertemuan pencegahan rasuah yang terbesar di dunia.

Malaysia dipilih menjadi tuan rumah kerana dilihat sebagai negara yang memperlihatkan komitmen yang tinggi dalam usaha memerangi rasuah di rantau Asia.

IACC Kali Ke-16 menyasarkan ketetapan untuk memupuk pertukaran pengalaman global dan kaedah berkesan melawan rasuah serta berkongsi maklumat dengan rakan-rakan antirasuah dari seluruh dunia.

Malaysia juga pernah diiktiraf oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC) pada 2013 atas kejayaan dan amalan baik dalam 23 perkara berkaitan usaha memerangi rasuah.

Usaha membawa penambahbaikan strategi dan pendekatan memerangi rasuah di Malaysia dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan dan agensi yang diamanahkan - SPRM. Yayasan Anti Rasuah Malaysia sangat menghargai usaha SPRM dalam menggalakkan masyarakat menjadi benteng memerangi rasuah. Pihak yayasan juga menerima sokongan yang tidak ternilai terutamanya dari pihak SPRM untuk melibatkan masyarakat menjadi sukarelawan dalam menyalurkan maklumat.

Sebagaimana dikatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low menerusi satu kenyataan baru-baru ini, Malaysia akan berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu dan cabaran dalam memerangi rasuah selaras dengan objektif kerajaan pada IACC Kali Ke-16. Persidangan ini akan menyediakan ruang yang neutral dan kondusif untuk analisis dan membahaskan pendekatan baharu yang digunakan oleh pengamal pencegahan rasuah di seluruh dunia.

“Kerajaan Malaysia mengiktiraf keperluan untuk tambah baik bidang tadbir urus bagi menyokong transformasi ekonomi negara kepada model berpendapatan tinggi dan menjadi menjadi negara maju pada tahun 2020 menerusi Pr0gram Transformasi Ekonomi,” kata beliau baru-baru ini.

IACC Kali Ke-16 bertemakan “Mengakhiri Kesan Buruk. Rakyat. Integriti. Tindakan”. Jika dibandingkan dengan tema sambutan Hari Antirasuah Sedunia 2014, maksud tema ini tidak jauh berbeza iaitu memutuskan rantai rasuah.

Malaysia berhasrat untuk memperbaiki skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang berada pada paras 52 dan Ranking Negara yang ke-50 (daripada 175 negara) pada 2014 dan mahu muncul sebagai antara 30 negara dalam ranking CPI pada tahun 2020. Yayasan Anti Rasuah Malaysia berharap dapat memainkan peranan aktif untuk menjayakan matlamat ini.

Dengan menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa ini, Malaysia berharap untuk belajar daripada pakar-pakar tentang usaha mencegah rasuah dan melaksanakan penyelesaian yang dapat membantu negara mencapai matlamat yang ditetapkan.

“IACC juga akan menyediakan peluang untuk pentadbir awam, pemimpin korporat dan wakil masyarakat untuk melibatkan diri dengan pakar-pakar antarabangsa dalam bidang penting ini,” katanya.

IACC, merupakan forum global berkaitan pencegahan rasuah utama di dunia yang menghimpunkan ketua-ketua negara, orang awam, sektor swasta dan kumpulan berkepentingan bagi menangani cabaran yang semakin canggih akibat perlakuan jenayah rasuah.

“Pemilihan Malaysia dan SPRM sebagai tuan rumah IACC Kali Ke-16 adalah satu penghormatan. Kami menjemput semua pihak supaya menyertai kami dan berada di Malaysia untuk merealisasikan objektif konvensyen ini. Bersatu untuk mencapai bersama matlamat kita,” kata beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Antarabangsa Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah (IAACA).

IACC kali ini bakal menyaksikan penyertaan pakar-pakar terkemuka pelbagai jurusan dari seluruh dunia, yang akan berkongsi mengenai kemajuan dan cabaran dalam usaha memerangi rasuah.

Pengarah Siri dan Inisiatif IACC TI, Roberto Perez-Rocha berkata: “Kini, berbanding situasi lalu, kerajaan, sektor swasta, media dan masyarakat perlu memperkukuhkan kerjasama mereka untuk memerangi perlakuan rasuah berskala besar.”

“Inilah cabaran global yang memerlukan tindakan segera dan IACC kali ke-16 akan membantu kita untuk berbuat demikian,” kata beliau.

IACC adalah forum utama dunia yang membawa bersama ketua-ketua negara, masyarakat, sektor swasta dan yang lain untuk menangani cabaran-cabaran yang semakin sofistikated dalam usaha memerangi rasuah. IACC berlangsung setiap dua tahun sekali.

Pada April lalu, Michael Hershman, pengasas bersama TI dalam temu bual bersama media tempatan antara lain mengesyorkan agar Malaysia mendidik rakyatnya sejak di peringkat sekolah rendah lagi tentang usaha memerangi rasuah untuk membebaskan negara ini daripada perbuatan keji itu.

“Anak-anak kita perlu dididik tentang perbezaan antara perkara betul dan salah kerana rasuah tidak boleh dihapuskan semata-mata dengan menjatuhi hukuman penjara, tetapi dengan mendidik masyarakat dan mencegah mereka daripada melakukannya,” kata beliau.

Melihat kepada sejarah usaha memerangi rasuah, Malaysia memperlihatkan pelaksanaan usaha ber­terusan. Sudah pasti IACC Ke-16 akan menjadi medan untuk mempelajari pendekatan baharu demi generasi akan datang.

Tags: macc, rasuah
Subscribe

Posts from This Journal “rasuah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments