kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Antara tukang sebar dan tukang kritik

MUNGKIN tidak ada adik beradik, saudara mara atau kawan-kawan kita yang didakwa dan meringkuk dalam lokap atau penjara ketika ini kerana kesalahan menyebarkan berita-berita palsu dan fitnah dalam media sosial, maka perbuatan itu pun semakin menjadi-jadi.

Kalau setakat memberi amaran keras atau amaran biasa saja, kepada kebanyakan kita, apalah sangat. Sesiapa pun sudah tidak gerun dengan amaran sekarang ini. Budak-budak sekali pun. Zaman telah berubah. Banyak berubah. Kedegilan dan keberanian pun meningkat luar biasanya.

Sekarang ini, macam sudah jadi kebiasaan pula, orang ramai akan berkongsi apa saja maklumat atau gambar setiap kali menerimanya dalam WhatsApp, Telegram, WeChat dan lain-lain. Tidak kiralah apa saja berita, mungkin berpegang kepada konsep sharing is caring kononnya dan kita yang menerimanya pun jenuh untuk memadamkannya dalam telefon pintar setiap kali ada waktu terluang.

Perkara pertama yang bermain dalam kepala setiap kali menerima berita atau gambar itu, bukannya soal betul atau palsu berita itu. Yang penting, kongsi kepada kawan-kawan dulu agar dilihat menjadi orang pertama yang menyampaikan maklumat tersebut. Betul atau tidak, itu boleh cerita kemudian.

Sebenarnya, isu ini sudah banyak pun diperkatakan. Ramai orang pun suka menulis mengenai isu ini. Tetapi yang kita mampu buat tulis sajalah. Yang lain-lain sendiri mahu fikir dan ingat selain perlunya tindakan yang tegas daripada pihak berkuasa. Amaran saja sudah tentu tidak cukup.

Tetapi itulah, kadang-kadang yang jadi tukang nasihat itu pun dua kali lima saja. Ini termasuklah pihak admin dalam mana-mana group medial sosial. Mudah juga terpengaruh dengan maklumat dan berita palsu, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan kepentingan diri sendiri atau dekat dengan dirinya. Yang itu semua dianggap betul pula.

Yang suka berkongsi hal-hal keagamaan, hadis dan sunah pun begitu juga. Terus saja kongsi tanpa memikirkan, betul atau palsu. Semua pun boleh dipalsukan sekarang ini. Penyebaran maklumat palsu kini bukan saja membabitkan isu-isu politik, ekonomi dan sosial, malah hal-hal berkaitan gangguan bekalan air pun boleh dipalsukan, orang yang tidak meninggal dunia dikatakan telah meninggal dunia atau orang yang elok-elok sihat tengah bekerja pun dikata sedang terlantar di hospital kerana menghidap penyakit kronik.

Sekarang ini, ada juga trend terutamanya dalam Facebook, tajuk berita saja sudah gempar. Mukadimah atau pendahuluan cerita untuk menarik orang ramai membaca pun bukan main lagi, selebriti berpakaian seksi, meninggal dunia, sakit atau mendera. Tetapi apabila dibuka link berita itu, tidak ada apa pun. Berita biasa-biasa saja. Tiada siapa yang meninggal dunia, tiada gambar seksi pun, tiada yang sakit dan tiada siapa pun yang cedera.

Ini semua taktik atau strategi untuk menaikkan rating iklan atau blog mereka, jadi gunalah cara paling keji itu. Paling menjengkelkan beritanya tiada, cuma yang ada iklan yang entah apa-apa. Silap-silap jika dibuka link tersebut, telefon pintar kita yang akan diserang virus.

Jadi kepada yang tidak suka membaca, cuma membaca di permukaan saja, sudah tentu terus anggap perkara yang diuar-uarkan pada tajuk berita itu benar. Sekarang pun, orang lebih suka baca tajuk saja. Lepas itu terus buat kesimpulan. Berita penuh tidak mahu baca. Selepas itu mulalah komen yang bukan-bukan.

Perkara ini memang saya selalu amati dalam mana-mana berita online. Tidak kiralah berita arus perdana atau propembangkang. Pembaca kebanyakannya hanya komen berdasarkan tajuk. Tidak baca pun berita selanjutnya. Dan saya rasa cukup kagum tanpa membaca berita penuh mereka boleh membuat kesimpulan yang macam-macam. Macam gelagat bomoh pula, belum cakap, dia sudah tahu sakit apa. Kalau baca berita itu betul-betul tentu malu sendiri sebab sudah tersilap komen.

Begitulah gelagat sebahagian besar daripada kita dalam media sosial. Ada yang gemar jadi tukang sebar, tukang kritik, tukang komen dan tukang nasihat. Walau apa pun peranan kita itu, yang penting jangan jadi tukang sebar fitnah. Bukan saja kita boleh memburukkan lagi keadaan tetapi boleh dapatlah sekali ‘sahamnya’ di akhirat nanti. Yang ini kita patut gerun.   - Fauziah Arof Utusan Malaysia Rencana 02 September 2015 12:53 AM

Tags: fitnah
Subscribe

Posts from This Journal “fitnah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments