kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Malaysia masih perlukan 
tindakan afirmatif

SEHARI sebelum demonstrasi jalanan yang telah menyusahkan warga Lembah Klang, sebuah artikel yang menyalahkan dasar afirmatif di Malaysia telah diterbitkan di salah sebuah akhbar harian berpengaruh yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS). Artikel tersebut menyalahkan dasar afirmatif pro-Melayu yang mesti dibuangkan. Kononnya dasar ini telah melukakan rakyat Malaysia.

Tidak diketahui apakah niat akhbar berkenaan menerbitkan artikel tersebut sehari sebelum demonstrasi jalanan diadakan di Kuala Lumpur Sabtu lalu. Adakah ia secara kebetulan diterbitkan? Atau sengaja diterbitkan? Yang pasti, artikel itu terang-terangan menyalahkan dasar afirmatif yang pro-Melayu kononnya merupakan permasalahan semasa di Malaysia.

Artikel ini antara sebahagian artikel yang sejak kebelakangan ini menyalahkan dasar afirmatif. Secara tersirat dan tersurat sengaja ingin membuatkan kaum-kaum lain berasa marah. Kenapa pada ketika ini, akhbar-akhbar Barat terlalu kemaruk untuk menyalahkan dasar-dasar negara?

Adakah dasar-dasar di negara mereka terlalu sempurna? Mereka menyalahkan agenda membantu orang Melayu, tetapi di sebalik tabir, apakah agenda mereka? Mereka menyalahkan dasar afirmatif tetapi tidak pula mencadangkan apakah dasar terbaik untuk negara kita?

Adakah dasar meritokrasi dasar terbaik untuk dilaksanakan di Malaysia? Adakah dasar ini telah membuahkan hasil di negara AS sendiri, walhal ramai penduduk AS yang miskin? Malaysia baharu sahaja mencapai kemerdekaan selama 58 tahun. Negara seperti AS telah lama merdeka, itu pun masih ada pelbagai masalah dan isu melibatkan kaum. Senang mencari kesalahan orang lain, tetapi kesalahan sendiri buat-buat tidak nampak.

Dasar afirmatif yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia telah banyak membuahkan hasil buat kaum-kaum lain. Kalau dasar afirmatif ini hanya mementingkan orang Melayu dan Bumiputera, maka sudah lama kaum-kaum lain terabai. Sebaliknya, apa yang berlaku, dasar afirmatif yang dilaksa­nakan melalui Dasar Ekonomi Baharu (DEB) telah banyak membantu kaum-kaum lain selain membantu kaum Bumiputera.

Meritokrasi yang ekstrem boleh membahayakan sesebuah negara. Tidak akan berlaku keseimbangan. Yang kaya akan jauh kaya, manakala yang miskin akan sentiasa ke belakang jauh ke­tinggalan. Yang kaya bergelar jutawan dan hartawan akan sentiasa menguasai ekonomi, sebaliknya yang miskin tidak mampu mengubah hidup mereka apabila anak-anak mereka tidak diberi peluang untuk mengubah kehidupan keluarga. Adakah ini langkah terbaik untuk memajukan rakyat Malaysia?

Malang sekali segelintir kita terlalu teruja dengan pemikiran dan idealisme Barat yang terang-terangan liberal. Segelintir kita yang telah berjaya sudah tidak peduli nasib orang lain, maka dirasakan kejayaan yang diperoleh hasil titik peluh diri sendiri. Mana ada orang kaya-raya di Malaysia yang tidak dibantu untuk menjadi kaya?

Kajilah setiap daripada mereka tidak kira kaum, mereka ini menjadi kaya-raya kerana dibantu oleh pelbagai dasar kerajaan. Adakah sesiapa yang bergelar jutawan yang kaya-raya ini berani mengisytiharkan mereka kaya tanpa dibantu oleh sesiapa sahaja terutamanya oleh kerajaan?

Mereka menyalahkan dasar ekonomi seolah-olah telah melahirkan ramai kroni, walhal, yang menyalahkan ini jugalah yang telah berjaya kerana dasar “kroni” tersebut. Mereka juga menyalahkan dasar ekonomi kononnya tidak adil dan saksama, tetapi dasar yang tidak adil inilah yang telah melahirkan jutawan dalam kalangan mereka. Jadi, apakah istilah adil yang sebenarnya difahami oleh mereka? Adil hanya untuk diri sendiri semata-mata? Sebaliknya, tidak adil apabila orang miskin dibantu? Atau lebih jelas lagi, adil apabila mereka dapat mengaut kekayaan berlipat kali ganda sehinggakan dapat diwarisi untuk beberapa generasi mereka, manakala tidak adil apabila orang lain mendapat nikmat?

Meskipun tidak dinafikan terdapat kelemahan dalam pelaksanaan dasar-dasar tersebut tetapi bukan bermakna segala-galanya buruk. Jauh sekali dasar-dasar ini telah gagal sepenuhnya.

Menghairankan juga, masih banyak masalah di negara lain tetapi Malaysia juga menjadi sasaran. Rakyat Malaysia perlu sentiasa berhati-hati dengan pelbagai agenda yang seolah-olah telah dirancang rapi. Usah mudah dihasut dan lebih penting lagi jangan terjebak untuk menghasut orang lain membakar kelambu hanya kerana marahkan nyamuk.

Usah mudah terperangkap dengan agenda musuh yang sentiasa mengintai-intai peluang untuk membinasakan segala apa yang diusahakan oleh pemimpin terdahulu dan nenek moyang kita. Bukalah mata seluas-luasnya bahawa nikmat yang diperoleh kini bukan datang dengan mudah. Nenek moyang kita memperjudikan harta dan nyawa sedangkan mereka tidak dapat menikmati apa yang diusahakan. Kita pula lahir-lahir sahaja sudah dapat merasai pelbagai nikmat termasuk keamanan. Nikmat-nikmat ini boleh hilang begitu sahaja jika kita alpa meskipun sekejap cuma.

Segala dasar ekonomi yang direncanakan oleh pemimpin terdahulu berniat untuk membantu rakyat Malaysia. Tindakan afirmatif yang telah dilaksanakan tidak boleh dibuang begitu sahaja hanya kerana ingin memenuhi kehendak segelintir pihak. Ramai lagi yang miskin tetapi cemerlang wajib dibantu tidak kira kaum. Mengabaikan dasar afirmatif de­ngan menggantikan dasar baharu yang hanya berteraskan meritokrasi pastinya tidak akan menguntungkan semua pihak terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

Malaysia masih memerlukan dasar afirmatif dan pada masa sama dasar meritokrasi dilaksanakan beransur-ansur berasaskan peratusan komposisi kaum yang berada di Malaysia. Bukannya menerima sepenuhnya dasar meritokrasi yang dilaung-laungkan oleh Barat. Walhal meritokrasi dilaksanakan oleh mereka apabila ingin melindungi kepentingan mereka semata-mata. Itu kita perlu faham sejelas-jelasnya. Jika tidak, kita sentiasa terperangkap dengan tipu muslihat mereka yang sengaja untuk melihat negara kita dijajah se­mula. Biarlah nasib rakyat Malaysia ditentukan oleh acuan Malaysia yang tersendiri berasaskan keadilan dan kesaksamaan yang sebenar. - Dr Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 02 September 2015 12:54 AM

Tags: demokrasi, demonstrasi
Subscribe

Posts from This Journal “demonstrasi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments