kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Elak guna ‘kumpulan militan Negara Islam’

SECARA universal telah dipersetujui bahawa satu tambah satu jawapannya dua. Namun tidak mustahil dengan propaganda berterusan secara sistematik melalui media massa di seluruh dunia, ditambah lagi dengan pandangan pakar-pakar ilmu logik dan matematik, kelak jawapan 11 pun boleh diterima.

Ini realiti dunia semasa, propaganda bermaharajalela. Contohnya peristiwa serangan 11 September 2001 di New York yang mengubah landskap dunia khasnya pandangan masyarakat antarabangsa terhadap Islam.

Pada fasa awal tuduhan kononnya umat Islam yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu dilihat kurang berjaya mempengaruhi, namun ‘berkat’ propaganda berterusan dari segenap aspek, akhirnya teori asal itu diterima walaupun sehingga kini buktinya masih tidak mencukupi dan boleh dipertikaikan.

Sama dengan kes Allahyarham Saddam Hussein, kononnya alasan utama untuk memburunya adalah kerana membangunkan senjata pemusnah besar-besaran (WMD), tetapi selepas berjaya ditangkap, WMD entah ke mana. Malangnya, negara Iraq sudah huru-hara dan agak mustahil untuk kembali aman. Ini bahana propaganda.

Yang terbaharu ialah kumpulan militan Negara Islam (IS). Ulama dunia dan negara ini telah sepakat memutuskan bahawa kumpulan berpakaian dan menggunakan bendera hitam itu menyalahi syariat Islam dan jauh sekali mewakili ajaran Islam. Tetapi masalahnya kenapa kita masih menggunakan terjemahan terus daripada Islamic State - kumpulan militan Negara Islam.


Kenapa tidak digunakan istilah ‘kumpulan militan berpangkalan di Syria atau Iraq’. Jangan kita terpengaruh dengan propaganda Barat atau musuh Islam. Natijahnya, jika setiap hari, setiap masa dan detik dihidangkan dengan benda sama, akhirnya masyarakat akan menelan dan menghadam bulat-bulat bahawa Islam mengajar dan memartabatkan keganasan.

Seelok-eloknya jangan langsung kaitkan mereka dengan Islam. Perkara ini telah menjadi gurau-senda di laman sosial bahawa IS itu singkatan nama daripada Islam. Mahukah umat Islam dimomokkan dengan gelaran sedemikian?

Sementara itu, dalam dua tiga hari ini tersebar satu gambar dalam aplikasi WhatsApp dakwaan mengenai delegasi pemimpin Syiah dari Iran mengadakan perbincangan dengan pimpinan Majlis Agama Islam Wilayah Yala, Selatan Thailand - berdasarkan kepada backdrop majlis itu.

Keterangan gambar dalam bahasa Arab itu berbunyi: “Pemuda Syiah telah sampai ke Yala dan Patani, mereka ingin luaskan pengaruh mereka hingga akan terbina sebuah masjid pertama di Patani. Didoakan semoga pengaruh ini tidak merebak ke negara kita.”

Kesahihan gambar dan matlamat lawatannya masih boleh dipertikaikan. Tetapi pihak berkuasa tidak boleh memandang mudah kerana secara geografinya Selatan Thailand itu berjiran dengan Kelantan, Perlis dan Kedah atau lebih tepat lagi Malaysia yang mengamalkan pegangan Sunni.

Benteng perlu diperkuatkan, bukan sekadar dari sudut penguatkuasaan undang-undang sahaja tetapi jati diri pemuda Sunni di negara ini juga perlu dimantapkan. Cukuplah pemuda Sunni di negara ini menyibukkan diri dengan pelbagai benda melalaikan seperti program hiburan realiti, lawak realiti dan sebagainya.

Tidak salah untuk berfikir luar kotak. Kebarangkalian tibanya pemuda Syiah itu ialah untuk mengisi lohong yang ditinggalkan pemuda Sunni di negara jiran sebelum dipanjangkan pula ke negara bersempadan.

Memetik satu komen daripada rakan kumpulan WhatsApp itu: “Jangan terkejut jika selepas ini akan muncul rumah-rumah muta’ah di Selatan Thailand bagi mentalbiskan (belitan tipu daya iblis atau mengelirukan) pelacuran haram atas dasar mut’ah yang halal. Semoga Allah memelihara saudara kita di Selatan Thailand daripada malapetaka ini dan jauhkan daripada melewati negara kita,”.

Tags: terrorist
Subscribe

Posts from This Journal “terrorist” Tag

  • She was an idealist, not a terrorist

    SITI Aishah Abdul Wahab, the innocent girl who left Malaysia 40 years ago on a government scholarship to study in London, but became an ardent…

  • Lessons from the terror-fic teacher

    FORMER physical education teacher Salim Mohamed Nasir has traded in his sports shoes for weighty lesson plans on how to keep at bay the…

  • Persepsi wujudnya pengganas

    MEMANG benar seperti yang ditegaskan oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bahawa spekulasi mengenai penahanan dua rakyat Malaysia di Lebanon…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments